Kesempurnaan

Ditulis dengan penuh kasih sayang dan tulus ikhlas oleh penulis anonim.

flower-tree-growing-concrete-pavement-105Seringkali yang kita harapkan dan doakan, adalah bimbingan dan petunjuk yang jelas dari Allah. Dunia yang kelihatannya terlalu mencabar bagi sebatang pohon iman untuk tumbuh dengan subur dan teguh membuatkan jiwa-jiwa yang pernah tersentuh hidayah, terus mengharapkan secebis keimanan itu terus hidup dan mengharum. Sekurang-kurangnya, agar masih mampu meniup semangat untuk pengislahan diri. At least.

Baru sahaja ingin bangkit sekejap cuma, datang ribut taufan melayukan dahan.

Hampir-hampir sahaja tercabut akarnya.

Dipaksakan bertahan, nyaris secebis iman ini terkorban.

Pedih, sakit yang tidak tertahan.

Terkadang nafsu yang mendorong, terkadang biah yang menggoda.

Namun, jelas, bukan itu yang wajar dipersalahkan.

Bukankah telah Allah nukilkan? Kisah agung pemuda kahfi. Buat inspirasi jiwa-jiwa iman yang terbelenggu dalam kebrantakan jahiliyyah. Tauhid yang dipegang, digasak oleh pemerintah yang zalim. Lantas, mereka melarikan diri ke gua lalu berdoa. Doa penuh harap dari seorang hamba kepada Rabb-nya.

(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”.

(18:10)

Mereka memohon agar dikurniakan RAHMAT dan disempunakan PETUNJUK  yang telah Allah berikan. Agar bila sakratul maut menjenguk, mereka tetap dalam keimanan dan tidak berganjak walau sedikit.

Agar secebis iman itu tetap mekar, walau terpaksa bersembunyi dari kezaliman.

Agar tidak terus hanyut dengan hasutan nafsu dan syaitan bila memilih untuk terpisah dari nikmat dunia.

Kerana, kita semua pernah disentuh oleh hidayah. Pintu-pintu hati kita pernah diketuk untuk mengenal Pencipta yang Agung. Namun, yang mencabarnya adalah untuk terus meletakkan hidayah itu pada tempatnya, untuk memastikan hidayah itu terus menetap di hati dalam bentuk nya yang paling sempurna. Boleh jadi, hidayah itu pernah hadir namun disebabkan kelalaian kita untuk menjaga dan memeliharanya, justeru ia terus pergi meninggalkan jiwa. Lalu, kembalilah sang jiwa itu menyukai perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dan membenci perkara-perkara yang dicintai Allah. Naudzubillah.

Doa pemuda kahfi mengajar kita banyak perkara:

  1. Hidayah itu mahal pada pemeliharaannya dan penjagaannya
  2. Hidayah yang mengetuk jiwa pada hentakan pertama tidak semestinya hadir dalam bentuknya yang paling sempurna.

Kesempurnaan hidayah itu perlu diusahakan. Ia hadir untuk menyedarkan namun jika jiwa itu tidak bermujahadah untuk mengekalkan hidayah, tidak mustahil ia akan hilang. Hidayah akan terus subur dengan tadabbur, tafakkur dan taqarrub ilallah. Ia tidak betah untuk hidup dalam jiwa yang merindui kemaksiatan dan kekufuran. Dan, tidak dinafikan,  doa yang penuh khusyuk dan kesungguhan agar disempurnakan hidayah yang telah Allah berikan merupakan senjata yang utuh bagi seorang mukmin.

Mudah-mudahan.

Semua orang bermula dengan sesuatu, melalui jalan dan cara yang tertentu namun, sungguh kita semua menginginkan yang satu.

Agar kematian kita, kematian yang baik.

Agar pengakhiran kita, pengakhiran yang indah.

Agar akhirnya, kita berjaya menjejakkan kaki di dalam syurga Allah bersama para anbiya’ dan orang-orang yang soleh.

Dan agar hidayah yang kita miliki hari ini, tetap dan terus menerus berada bersama kita setiap saat.

Allahumma ameen.

Halangan? Jadilah kapal pemecah es!

Bismillahirrahmanirrahim.

Di sebuah negri di seberang laut, terdapat seorang ikhwah. Sekarang, umurnya sudah melayakkannya dipanggil sheikh. Ceritanya, pada awal perkahwinannya dulu, dia dan isteri nekad untuk sewa rumah berasingan dari parents masing-masing. Sebabnya: nak belajar berdikari, dan paling penting sekali, supaya berada dalam suasana kondusif untuk menjaga iman mereka. Rasanya, mereka yang baru back for good dan masih tinggal dengan parents mungkin boleh relate dengan situasi ni. Ada masanya, mungkin akan ada perasaan nak lari, cari kerja dan sewa rumah lain atau paling drastik sekali, kahwin. Eherher. Supaya takde halangan nak ke program, usrah, etc.

Berbalik kepada cerita tadi… ada sekali tu, ikhwah berkenaan nak keluar rumah (untuk hal dakwah). Isterinya (yang juga seorang akhawat) mula masam muka, nangis-nangis, tak bagi suami dia keluar macam dah tak ingat dah pasal dakwah. Aduh, suami mana yang tahan tengok isteri dia sedih? Hati sang ikhwah ini mula berperang. Seperti Juraij yang diuji dengan “solatku atau ibuku?” dia pula diuji dengan “zauji au da’wati-isteriku atau dakwahku?” Aish. Gimana sih. Kalau keluar, zauji ane merajuk. TAPI masa mereka kahwin dulu, dia sendiri sedar dengan norma ketika itu: tiada murabbi yang dapat pulang malam, kerana kebiasaannya murabbi mesti pulang lewat dari 12 malam (baca: awal pagi).  Maka dia katakan pada isterinya:

“Kita ini dipertemukan oleh Allah dan kita menemukan cinta dalam dakwah.

Apa pantas sesudah dakwah menemukan kita, lalu kita meninggalkan dakwah?

Saya cinta kamu, dan kamu cinta saya; tapi kita pun cinta Allah.”

*muzik dramatik sinetron berkumandang*

Lalu ikhwah tersebut keluar.

Apabila dia pulang, sudah semestinya-lah sang isteri masam muka merajuk. Tapi, dua tiga hari lepas tu, baik semula macam biasa. Beberapa tahun kemudian, bila sang ikhwah ni penat, dah rasa lesu, isteri dan anak-anaknya yang mengingatkan.

“Eh, takde usrah ke malam ni?”

“Kenapa abi kat rumah malam ni, takde apa-apa ke?”

Berbeza pula kisahnya daripada sepasang lagi suami isteri ikhwah akhawat. Ujian yang sama berlaku, tetapi cara menanggapinya berbeza. Maka hasilnya pun berbeza. Sama, isteri masam muka, nangis-nangis, tak bagi suami keluar. Setelah berperang hebat dalam hatinya, sang ikhwah akhirnya tinggal di rumah. Aduh pedihnya tertinggal daripada liqa’. Malam itu sang ikhwah menangis-nangis muhasabah, sambil janji pada diri dia sendiri: esok tak kiralah hujan ke ribut ke apabenda ke, dia MESTI jugak hadir buat kerja-kerja dakwah.

Tengok-tengok, esoknya, baru saja dia nak keluar, bapa mertua pula datang berziarah. Gimana sih. Daddy-in-law kot. Ane kawen dengan anak dia, takkanlah bila dia datang rumah ane, ane tak layan. Maka dia pun tinggal di rumah, muhasabah nangis-nangis lagi, dan berjanji bahawa esok kalau hujan, ribut, banjir ke, taufan ke dia PASTI akan keluar jugak tak kira apa. Namun, sayangnya, setiap kali sang ikhwah ini hendak berangkat, ada saja ujian yang datang dan dia tertewas, lalu akhirnya dia tetap tidak hadir, tetap tidak keluar dan  tetap tidak menyertai ikhwah lain dalam kegiatan dakwah mereka. Kata sheikh tadi, sampai sekarang dia masih belum melihat ikhwah ini menjadi seorang yang komited.

Kadangkala, apa yang menyesakkan hati kita bila menghadapi ujian-ujian yang macam ni, ialah berlakunya pertembungan antara sebab (reason) dan alasan (excuse). Lebih buruk lagi apabila kita mula memberi justifikasi untuk alasan-alasan yang kita ciptakan. Contohnya: tidak turut serta program sebab berlaku kecemasan keluarga versus tidak hadir kerana ibu bapa tak senang dengan lokasinya yang jauh, malam pulak tu. Jika ibu bapa tidak suka, bukan ke masih boleh berpakat dengan akhawat lain untuk tolong ambil atau hantar, atau apa-apalah arrangement lain. Bukankah perkara ini boleh diubah dan dibawa berbincang?

Mengapa begitu cepat mengalah dengan situasi-situasi yang menghalang kita? Kalau dapat tawaran biasiswa tapi kena hadir dulu ambil duit dan turunkan tandatangan di sebuah pejabat di Johor, sedangkan kita tinggal di Terengganu. Rasanya tak ramai yang akan pilih untuk diam saja di Terengganu kan? Kita lebih tahu, yang mana satu sebenarnya sebab yang benar, yang mana satu hanya alasan yang kita beri untuk tidak turut serta. Dan Allah lebih tahu justifikasi yang kita berikan untuk sedapkan hati kita itu tidak akan dapat menyelamatkan kita pada hari pengadilan kelak.

Allah akan sentiasa menguji kita di titik-titik kelemahan kita, supaya kita jadi hambaNya yang lebih kuat. Tempoh masa satu paper dalam exam tak pernah lebih lama daripada tempoh satu hari suntuk kelas, tapi  ada orang yang tak tahan sabar, stress melampau-lampau, banyak merungut macam exam tu lamanya tiga belas minggu dan kelas cuma tiga jam dalam satu semester.

Nikmat yang Allah bagi kita rasa, family time, dapat kerja elok, bos baik, study bagus; kita dapat rasa semua ni jauh lebih lama dari tempoh sakitnya kita menahan ujian yang Allah bagi di jalan dakwah ni. Program sejam dua je, banding dengan berapa jam sehari kita dapat spend dengan keluarga. Syuranya pun bukan setiap malam pun. Nak kena infaq, bukan diminta seluruh harta bahkan separuh pun tidak. Berapa percent je. Bahkan nikmat-nikmat itu sendiri adalah ujian untuk kita, untuk tengok siapa yang lebih bersabar dan bersyukur.

Tapi kenapa kita yang kena susah? Kenapa tidak akhawat lain yang bagi kita ruang, kenapa tidak mereka yang mudahkan untuk kita? Kenapa mereka yang suka-suka letak expectation tinggi sangat pada kita, padahal bukan kenal kita sangat pun?

Wahai saudaraku, bukankah kita yang tatkala membaca ayat 111 surah at-Taubah, kita katakan, “wahai Allah, aku jualkan jiwa dan hartaku kepadaMu untuk syurgamu?”

Bukankah kita yang mengingatkan mutarabbi-mutarabbi kita tentang “infiru khifafan wa thiqalan?”

Bukankah kita yang dahulu paling bersemangat melompat-lompat bila membicarakan ayat 133-135 surah Ali Imran, terutama tentang bersegera dan infaq di waktu lapang mahupun sempit?

Bukankah kita yang dalam sujud tahajud dan dalam doa rabitah bersama, kita yang memohon kepada Allah supaya menghidupkan dan mematikan kita di jalan dakwah ini?

Bukan kita ke?

Maka pada saat halangan datang, wahai saudaraku. Tetapkanlah azammu dan rempuhlah ia dengan azam seteguh batu. Apa saja yang paaaling tidak menyenangkanmu dan paaaling kau beralasan untuk tidak serta, yang itulah yang paaaling kau perlu utamakan.

Jadilah seperti kapal pemecah ais. Jika kapal diam saja tidak bergerak, ais tidak akan pecah. Kemudian bila suhu makin sejuk, ais akan makin tebal dan berkemungkinan kapal itu sendiri tidak boleh lagi lepas. Tetapi, jika kapal terus meluncur laju memecahkan ais yang masih nipis, ais itu sendiri akan ‘membuka laluan’ untuknya.

[Inspirasi daripada buku Untukmu Kader Dakwah (versi pdf)]

——-

Tak mampu nak sambung Tiga paksi penyampaian dalam masa terdekat. Maaf. Hee

Tiga paksi penyampaian #1

Bismillahirrahmanirrahim.

Perlukah sesi bedah tafsir dalam liqa’ usrah memakan masa hingga lebih sejam, kemudian tak cukup dengan itu, bersambung pula hingga dua, tiga liqa’ usrah? Tu untuk satu surah. Kalau nak cover satu juz? Atau paling kurang, surah-surah pilihan. Berapa liqa’ habis untuk bincang tafsir sahaja, sedangkan tak semestinya anda berupaya untuk adakan liqa’ sampai 52 kali setahun? Itu kalau nak ambil kira bilangan minggu dalam setahunlah.

Perlukah pula membentangkan setiap butir sirah nabawi, sirah sahabat dan sirah tabi’in kata-per-kata? Kemudian, untuk memastikan mutarabbi anda faham, anda suruh pula mereka baca sebelum liqa’ usrah dan pastikan mereka memiliki buku yang bakal digunakan. Pembentangan sudah seberapa lama, kemudian anda mahukan mereka bincangkan pula applikasi untuk situasi-situasi masa kini. Belum masuk lagi sesi soal jawab, sudah ambil banyak masa. Bila pula hendak qadhaya? Bertanya khabar? Akhirnya jadilah liqa’ itu seperti kelas, setiap minggu bentang bab itu, bab ini; akhirnya akan keluarlah komen-komen seperti: ‘Setakat begini lebih baik beli saja buku dan baca sendiri, tak perlu pun pergi usrah.’ Astaghfirullah.

Bagaimana dengan hadis? Majmu’ rasail? Bila pula hendak bincang tentang akhlak? Keakhawatanlah, kesihatanlah, amal jamaie-lah; isu-isu ummah lagi, baitul muslim lagi. Hendak buat baca baris demi baris kemudian bergilir-gilir baca? Sempat ke nak habiskan semua bahan? Perlu diingat, untuk peningkatan dijalankan, yang penting ialah seseorang mutarabbi itu menguasai bahan. Bukan sekadar telah ‘melalui’ bahan. Jadi, perlukah seorang murabbi itu membentangkan segala-galanya dalam liqa’ usrah?

3 paksi 1.3

[Kredit]

Maka, di situlah letaknya pentingnya keupayaan seorang murabbi mengolah bahan dengan berkesan. Adalah penting untuk seorang murabbi itu untuk mengambil bahan sedia ada-yang banyak, yang luas interpretasinya, dan, let’s face it- yang kadangkala ‘kering’ jika tak kena cara penyampaiannya; kemudian menjadikannya pengisian yang berfokus dan membina. Kerana kita perlukan rijal yang mantap kefahamannya, bukan sekadar luas pengetahuannya. Kita perlukan rijal yang menterjemahkan kefahaman itu kepada amal, yang mahu dan mampu berbakti di medan, yang boleh diharapkan untuk menambahbaik dirinya secara kendiri tanpa perlunya leteran murabbi. Sudah tiba masanya kita melahirkan rijal yang membawa penyelesaian kepada masalah dan mampu terjun ke dalam masyarakat untuk mengusahakannya, bukan rijal yang hanya pandai mengenalpasti masalah.

Andainya seorang murabbi berjaya mengolah pengisiannya menjadi berfokus dan membina, tidak perlu lagi ada slot pengisian di dalam liqa’ usrah di mana waktu sejam diperuntukkan untuk membentang satu-satu bahan daripada A hingga Z, kemudian diakhiri dengan soal jawab atau bengkel (di mana kadangkala mutarabbi pun sudah penat atau overwhelmed dengan banyaknya informasi atau fikrah yang diberi.)  Dengan ini, tidak perlu lagi seorang murabbi itu membentangkan semua perkara; cukup dengan membentangkan perkara-perkara yang perlu sahaja. Maka, tidaklah mengambil masa hingga dua tiga tahun semata-mata hendak menghabiskan kesemua bahan di dalam sesebuah marhalah itu.  Masa murabbi juga tidak lagi hanya dihabiskan untuk memastikan mutarabbi sudah ‘melalui’ bahan, tetapi kini boleh difokuskan pula terhadap penguasaan bahan.

Bagaimana hendak mengolah bahan supaya berfokus dan membina? Salah satu caranya: olah bahan yang anda hendak bentangkan berdasarkan tiga paksi pengolahan ini:

  1. Iman dan ibadah
  2. Aklak dan tingkah laku
  3. Dakwah dan harakah

Apa sahaja bahan yang anda mahu bawa untuk pengisian liqa’ anda, bentangkan isi-isi yang memenuhi tiga paksi ini. Ada enam points di dalam 3 paksi ini, boleh sahaja jika anda hendak perincikan satu isi di bawah iman, satu isi di bawah ibadah, satu di bawah akhlak, dan seterusnya. Boleh juga jika anda hendak gabungkan isi-isi untuk iman dan ibadah bersama, isi-isi untuk akhlak dan tingkah laku bersama, dan seterusnya. Ikutlah kreativiti anda, dan ikutlah kesesuaian bahan. Pokoknya, ketiga-tiga paksi ini perlu anda penuhi dalam setiap pengisian.

Anda juga boleh mencubanya sekarang. Andaikan anda hendak membentangkan tafsir surah al-Ikhlas. Apakah isi-isi yang akan anda bentangkan di bawah setiap paksi di atas? Dalam penulisan akan datang, saya akan membawakan contoh bagaimana hendak mengolah bahan berdasarkan tiga paksi ini. Insyaallah.

[Dari arkib] Bebaskah?

[Post 3 September 2013]

Diterbitkan semula bersempena hari kemerdekaan ke-59

————–

Bismillahirrahmanirrahim

Pada suatu masa itu, lebih 1400 tahun lalu, seorang wanita, hamba. Diikat di hadapan anak terchenta. Tangan dan kaki ditarik-tarik dan diregangkan jauh-jauh. Disuruh meninggalkan agama barunya. Disuruh menghina tuhannya dengan mengakui,”Allah bukan tuhan! Tetapi Hubal adalah tuhan, atau Manat adalah Tuhan, atau ‘Uzza, atau  Latta adalah tuhan.” Tidak! Sekali-kali tidak! Tiada tuhan selain Allah. Hanya Allah! Maka syahidlah dia, disaksikan anaknya.

Pada suatu masa itu, lebih 1400 tahun lalu, seorang lelaki, hamba. Dikeringkan di tengah padang pasir, di bawah terik. Disebat. Berkali-kali. Dicerca. Berkali-kali. Disuruh meninggalkan agama barunya. Disuruh menghina tuhannya dengan mengakui ada tuhan selainNya. Namun, sekalipon batu panas lagi berat menghempap dada, lidah beliau tak pernah kelu, untuk berkata “Ahad! Ahad!” Tiada tuhan selain Allah. Allahu Ahad!

Pada suatu masa itu, lebih 1400 tahun kemudian. Seorang gadis di tanah yang merdeka, merenung-renung stok pakaiannya. Sudah lama terbeli t-shirt itu, sudah berbulan usia tudung ‘baru’ itu. Namun dirinya tidak sanggup memakainya, walau hatinya meronta-ronta mahu memberikan yang lebih baik untuk tuhannya. Ya, dia tahu pakaiannya tidak sempurna, sebab itu dia membeli t-shirt dan tudung itu, yang lebih labuh dari pakaian biasanya. Tetapi oh! Tak sanggup rasanya, apa yang mereka akan kata, samakah layanan mereka jika tiba-tiba dia berpakaian sebegitu? Ah. Nantilah.  Bam! Pintu almari ditutup. Alangkah! Jika ia mampu berkata-kata, mungkin pedas juga telinga si gadis itu mendengarnya! Alangkah!

_ _ _ _ _ _ _

Ya, mereka hamba! Hamba sahaya. Buat kerja sampai separuh nyawa, tapi tak diberi upah. Diberi makan pon mujur. Tido tidak di katil, tapi mungkin di bangsal, dengan kuda, dengan unta, kotor, panas. Bukan seperti kita, hendak makan buka peti sejuk da boleh kenyang. Hendak tido, katil sampai penuh dengan bantal, selimut, plush toys bagai. Heater blanket. Sleeping bag. Bukak heater lagi. Itu kalau winter. Kalau summer, jangan ceritala tentang kipas dan air-cond.

Mungkin, manusia lain memandang mereka sebagai hamba. Ya, badan mereka hamba! Disuruh bekerja, mereka bekerja. Biar penat, biar lelah, asal kerja siap. Kalau tak, teruk kena belasah. Badan mereka hamba. Tetapi jiwa mereka tidak! Bebas! Bebas bagai burung di langit biru sana!

Dan kita. Kita merdeka. Takde manusia boleh layan kita seperti mana mereka dilayan. Takde manusia boleh paksa kita kerja separuh mati tanpa sesuap makan pon. Takde! Kita rasa kita bebas. Tapi bebaskah kita? Kita tau Allah suruh buat mende tu, tapi, sebab takutkan orang kata apa, kita sanggup tak buat. Sanggup ingkar perintah tuhan kerana takut cercaan makhluk. Bebaskah kita?

Mereka akan bunuh kita ke kalau kita ikut perintah Allah? Mereka akan sebat kita? Akan hempap batu panas? Akan seksa kita? Apa alasan kita di hadapan Allah nanti?

Di Mesir sana. Di Syria sana. Di Palestin sana. Mereka tidak buta. Mereka tidak bebal. Mereka tahu, kena peluru boleh mati. Kena pukul boleh sakit. Tapi kenapa mereka berdegil jugak tunjukkan penentangan mereka? Diam-diam dalam rumah kan lagi selamat? Kenapa mereka sanggup sakit, sanggup mati?

Kerana, mereka tahu, siapa tuhan. Dan mereka tahu, siapa mereka. Mereka hamba Allah. Bukan hamba as-Sisi, bukan hamba Assad, bukan hamba Zionis, bukan juga hamba Hubal, Manat, ‘Uzza, Latta, Che Kiah potpet atau Pak Cik Meon sebelah rumah yang suka mengata.eh.

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya?

Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”

Surah al-Jathiyah ayat 23 [45:23]

Apa yang kita rugi, kalau manusia di seluruh bumi ini menghina kita, tapi Allah memuji-muji kita di hadapan seluruh malaikatNya?

Apa yang kita dapat, kalau manusia di seluruh bumi ini memuji kita, tapi Allah menghina kita, malahan melaknat kita di hadapan seluruh malaikatNya?

Siapa yang hendak kita puaskan?

Hawa nafsu kita?

Orang sekeliling kita?

Atau Allah semata-mata?

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka),

kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.

Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu?

Bukankah Allah Hakim yang seadil-adilnya?”

Surah at-Tin ayat 4-8 [95:4-8]

Bebasnya manusia itu, bukanlah bila ia tak berada dalam cengkaman penjajah. Bukanla merdeka itu bila tertulis dalam ic mereka warganegara bebas. Bebasnya manusia itu, bila ia tidak hidup untuk makhluk lain, bila tidak bertuhankan selain Allah. Bila manusia itu bebas dari perhambaan sesama makhluk, saat itulah ia merdeka.

Maka, sudah bebaskah kita?

Laki laki

Ditulis dengan penuh kasih sayang dan tulus ikhlas oleh Nailah.

Penulis merupakan blogger tetap di blog nailahweb.wordpress.com.

–  –  –  –  –  –  –  –

laki laki

 

“Duhai, malangnya aku, akankah suatu malam nanti

Aku bermalam di Fakh, dikelilingi pohon idzkhir dan jalil,

Akankah suatu hari nanti aku minum air Mijannah

Akankah aku melihat lagi pergunungan Syamah dan Thafil”

 

Itulah bait-bait, gurindam rindu pengumandang seruan langit. Bilal bin Rabah.

Sang Bilal yang tersangat rindukan Makkah. Rintihannya dari hati yang paling dalam. Sesiapa sahaja yang mendengarkan rintihan ini bisa mengalirkan air mata kerinduan.

 

Kenapa? Kenapa harus Sang Bilal merindukan Makkah?

Kenapa harus Sang Bilal begitu mendambakan Makkah?

 

Walhal, di Makkah sana, dia digelar Ibnu Sauda’.

Walhal, di Makkah sana, tempat dia diseksa oleh Umayyah bin Khalaf.

Walhal, di Makkah sana, dia dipaksa untuk memuji Latta dan ‘Uzza.

 

Kerana dia adalah laki laki.

Kerana dia adalah ar-rijal. Ar-rijal dakwah.

Cerminan sebuah tanggungjawab, komitmen, kepekaan dan kepedulian.

 

Kerana rasa tanggungjawabnya dan komitmen dia terhadap Makkah, menyebabkan Bilal bin Rabah tak berhenti berfikir tentang segenap ceruk dan penjuru Makkah yang belum disinari Islam.

Kerana kepekaan dan kepeduliannya terhadap dakwah di Makkah, Bilal bin Rabah ingin sesegera mungkin kembali ke sana menyudahkan tugasan yang belum selesai.

 

Cuma saja saat itu, Allah belum mengizinkan.

 

“Di antara sebahagian orang-orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, lalu di antara mereka ada yang gugur; dan di antara mereka pula ada yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya”

Al Ahzab : 23

 

Masa untuk kita memilih, menjadi sebahagian dari orang mukmin yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.

Di mana jua kita berada, perjanjian kita dengan Allah telah termeteri.

 

Untuk kita menjadi seperti Bilal bin Rabah, yang tetap dambakan tanah asalnya.

 

Walau di sana banyak kekurangan dan kelemahan,

Walau di sana banyak kesusahan dan keperitan,

Walau di sana banyak kenangan pahit dan jerih,

 

Selagi mana belum selesai janjinya kepada Allah.

 

“Ahadun Ahad”

 

Jangan tidur dulu!

Bismillahirrahmanirrahim.

[Disclaimer: Ini adalah sebuah cubaan menulis cerpen seram]

Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Bunyi-bunyi di luar biliknya menandakan rakan serumahnya sudah bangun dan sedang menggunakan bilik air.  Ringtone ‘walk in the forest’ berbunyi dari telefon pintarnya, mematikan lamunan Shak. Rakaat pertama tadi, punyalah nikmat Shak rasakan bila dapat berdoa panjang-panjang, puas-puas. Lama-lama lebih banyak berangan daripada doa. Sampailah sujud terakhir solat witirnya, tanpa sedar Shak sudah separa terlelap sehinggalah dikejutkan alarm tadi. Takpelah, still okeilah qiam belum miss lagi bulan ni.

Sesudah solat Subuh, Shak cepat-cepat bersiap untuk ke kerja. Jadualnya sedikit padat hari ini. Ada mesyuarat guru hingga pukul 4 petang, kemudian malam nanti pukul 8 dia ada usrah. Walaupun dia hanya guru gantian, namun keadaan sekolah tempatnya bertugas yang kekurangan guru menyebabkan beban kerjanya agak banyak juga. Pun begitu, Shak berasa bahagia dalam kesibukannya. Guru-guru lain di sekolah itupun, menerimanya dengan baik. Mengenakan shawl atau tudung labuh tapi berperwatakan bersahaja dan ceria, tentu sekali Shak disenangi dan disayangi guru-guru lain yang lebih senior lebih-lebih lagi kerana dia juga seorang yang ringan tulang.

Sehingga petang itu, so far, so good. Semua kerjanya beres dan murid-muridnya seperti berkelakuan lebih baik daripada biasa. Hari ini dia tidak perlu berleter kepada si Adamia 4 Dahlia tu, yang selalunya akan tertinggal buku latihan di rumah. Dan kerja sekolah si Hanif 5 Anggerik tu pula lebih kemas dan siap sepenuhnya, tidak seperti selalu. Selalunya, mutu kerja si Hanif tu pasti akan menyebabkan darahnya naik. “Dahlah tak siap, comot, lambat hantar pulak tu!” selalu menjadi komentar dalamannya untuk kerja sekolah Hanif.

Harapnya mesyuarat harini cepat habis. Bolehla masak then rehat kejap before usrah. Yezz tak sabar nak usrah. Harini bincang topic favourite.

Seminggu yang lalu, naqibahnya telah menugaskan dia dan adik-beradik seusrahnya untuk melakukan sedikit pembacaan sebagai persediaan usrah minggu ini. Pada hari itu juga Shak menghabiskan bacaan itu, siap buat nota dan dan menulis ulasan di blognya. Nak katanya punyalah bersemangatnya. Namun-hampa. Pada pukul 7.03 petang, naqibahnya menghantar mesej ke group whatsapp usrahnya:

“Assalamualaikum adik2 yg disayangi kerana Allah. Akak mohon maaf kerana x dapat meneruskan perjumpaan kita malam ni. Kesihatan akak x mengizinkan *emoji muka sedih berpeluh* *emoji heartbreak*

Mohon PM akak ya homework yang akak kasi. Jzkk “

Adoyaii tak jadi pulakk. Cepat saja Shak membalas mesej itu dengan

“Syafakillah akakk *emoji bunga ros*”

dan kemudiannya dalam masa kurang 3 minit selesai menghantar gambar nota-notanya dalam mesej peribadi kepada naqibahnya.

Hmmm.. bosanlah. Apa kata kita..Kita baca bukulah. Takyah bukak laptop. Kalau tengok laptop tu ada tendency untuk..

Tangan Shak pantas menghidupkan komputer riba yang hampir setiap masa ada di atas meja tulisnya. Dia dan komputer riba itu mempunyai sejarah yang panjang bersama. Sejak ‘zaman jahiliyah’nya, itulah komputer riba yang digunakan. Games, chatting, drama Korea, muat turun filem secara haram, dan macam-macam laman web yang pelik-pelik sudah dia lawati dengan komputer riba itu. Setelah dia mengenal tarbiyyah, itulah juga yang digunakannya untuk menyampaikan daurah, berusrah online serta membaca dan menonton bahan tarbawi. Orang lain sudah bertukar komputer riba setelah tamat zaman belajar, namun komputer ribanya yang satu ini masih gagah dan berfungsi seperti baru. Shak selalu berasa bahawa komputer ribanya itu panjang umur kerana dia masih belum sehabis baik memanfaatkannya.

Bayyinah Institute, Quran Weekly, Merciful Servant. Khusyuk Shak melayan video-video di saluran-saluran YouTube tersebut hingga tak sedar azan Isyak sudah berkumandang. Pada suatu ketika, Shak menghentikan sebentar video yang sedang ditontonnya lalu menanggalkan earphone di telinga.

Macam ada orang ketuk pintu tadi.. ada orang nak ajak solat kot tadi Hmm takpelah.

Shak kembali menonton video tadi. Sekonyong-konyong matanya terpandang jam di bucu monitor komputer ribanya. Tapi dah pukul sembilan ni… aku belum solat lagi. Okay, ni last video.

*Enam (atau lapan kot.Entahlah) video kemudian*

Ya Allah, dah pukul 10 lebih! Gila lah. Terbayang-bayang di benaknya wajah naqibahnya dan apa yang mungkin dikatakannya kepada Shak jika dia melihat perbuatan Shak sekarang. Shak segera menekan butang sign out dan menunggu halaman tersebut dihalakan semula ke halaman asal sebelum dia memadamkan rekod pautan-pautan yang telah dilawatinya hari itu. Tabiatnya dari dulu: sign out, clear history. Ataupun incognito mode. Tak perlu padam-padam. Dan Allah pula memelihara aibnya. Tak pernah kantoi. Belum sempat dia menutup tab YouTube itu, matanya terpandang senarai video-video yang sedang trending.

Return of Batman Episode #444 *New* Watch Sang Ilkuk…. 97k views

No, Shak. Kita dah tinggalkan dunia tu. Tutup tab tu cepat! Better kau solat. Tilawah tak abes lagi kan?  Hmm tadi baru tengok kat Facebook kata parenting skills dia orang Barat pon puji.

Hmmm…

Apa salahnya. Parenting skills pon ilmu bermanfaat. No, Shak! Not too late untuk tutup! *open in new tab*

Kalau tadi semasa dia sedang menonton video Islami Shak terdengar-dengar seperti orang mengetuk pintu untuk mengajaknya solat, kali ini lain pula. Terasa.. diperhatikan. Sekejap-sekejap Shak memandang pintunya, untuk melihat samada biliknya berkunci atau tidak. Sekali dua dia bangun dan memastikan pintunya rapat dan tombolnya berkunci. Sekejap-sekejap dia menghentikan sebentar video. Macam dengar bunyi kat pintu tadi. Setiap kali habis satu video, dia membiarkan sahaja YouTube memainkan video yang ada dalam playlist berkenaan. (Padahal kalau video Islami pasti dia akan klik ‘Autoplay off’.)

0:00 AM. Seriously, Shak? Kau ni, mengalahkan anak usrah kau! Sayonara jahiliyah konon.

Terus Shak terbayangkan satu persatu wajah anak usrahnya yang bersebelas itu. Teringat lagi bagaimana reaksi mereka sewaktu dia menyampaikan tajuk Sayonara Jahiliyah dalam usrah beberapa bulan yang lalu.  Tiba-tiba, bunyi-bunyi asing yang bukan dalam bahasa Korea kedengaran di telinganya, menyebabkan Shak kembali fokus kepada video yang sedang bermain di monitornya.

Sekali pandang saja, Shak tahu dia tidak patut menonton video itu. Orang Islam yang tak ikut usrah pon tahu berdosa tengok, Shak! Namun entahlah. Entahkan salahnya pada solatnya kah. Entahkan salahnya pada qiamnya kah. Atau tilawahnya kah. Entahkan pada usrahnya. Entahlah silapnya di mana, namun Shak tewas dalam mujahadahnya malam itu. Dunia silam Shak yang kelam, yang sudah bertahun dia tinggalkan sejak ditarbiyyah, pada malam itu seperti meraikan kepulangan Shak. Satu demi satu ditontonnya, dan setiap kali, hatinya diserang rasa resah dan bersalah tetapi dia seakan-akan tak berdaya berbuat apa-apa.

Hatchuu!

Alhamdulillah.”

Spontan kalimah itu meluncur daripada mulut Shak setelah bersin. Shak tersentak. Kau bersin, kau sebut nama Allah konon kau ingat Allah lah. Yet relax je kau buat maksiat ye? Berhentilahh, Shak.  Solat. Then solat taubat sekali before tido tu.

Ustaz Ilyas Uthman (bukan nama sebenar) pernah berpesan dalam salah satu daurah yang pernah Shak hadiri. Katanya, salah satu amalannya: selepas muhasabah sebelum tidur, dia akan menilai samada hari itu lebih baik atau lebih buruk dari semalam. Jika lebih buruk, dia akan bangun daripada katilnya dan solat sunat taubat dua rakaat dahulu baru tidur. Shak sering berkongsi pesanan itu kepada anak-anak usrahnya dan adik-beradik usrahnya yang baru.

Shak melihat jam. Sudah pukul 2.30 pagi.

Kalau tido dulu, then bangun before masuk Subuh, solat Isyak pastu solat taubat. Dah kira qiam. Lagi untung.

Jangan Shak. Kau pon tahu kalau tido sekarang mesti terbangun lepas azan Subuh. Solat je lah sekarang. Lagipon, kalau mati time tido camana

Ahh tido dululah. Shak mematikan komputer ribanya dan menekan suis lampu lalu terus berbaring atas katilnya. Nikmatnyaa baring.. sakit tengkuk. Dalam separa kegelapan, Shak terkebil-kebil menetapkan alarm baru dalam Galaxy Note-nya. 4.00AM, 4.30AM, 5.00AM. Paling last before Subuh, 5.40AM. Tolong bangun okei, Shak. Kau tak solat Isyak lagi ni. Kot ye pon tak sempat solat taubat tu at least kena solat Isyak. Keluar dari aplikasi jam, Shak terpandang pula ikon aplikasi Instagram. Woi tidolah! Nanti tak bangun karang. Shak memadamkan telefon pintarnya dan menutup matanya. Tak sampai setengah minit kemudian, Shak terus terlelap.

Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Bunyi-bunyi di luar bilik Shak menandakan rakan serumah Shak sudah bangun. Ringtone ‘walk in the forest’ kedengaran dari bilik Shak buat kali keempat pagi itu. Cuma saja seorang Shak sudah tidak mampu lagi mematikan alarm itu. Seorang Shak sudahpun pergi menghadap Allah kurang tiga jam yang lalu.

certot

[Kredit]

——

Cerpen yang diinspirasikan oleh sebuah status twitter (gambar). Banyak tema yang saya cuba selitkan dalam cerpen ni. Terbuka kepada interpretasi masing-masing.

p.s: Kalau anda tak faham kenapa dengan ayat-ayat yang di strikethrough itu: kononnya situasi mujahadah melawan nafsu lah :B

p.p.s: Maaflah kalau bukan seperti cerita seram yang anda jangkakan.Wahaha

Ramadhan: bulan daie bertapa?

Bismillahirrahmanirrahim.

Masa sememangnya tidak pernah menunggu sesiapa, dan tanpa sedar kita sudahpun makin dekat dengan pertengahan bulan Ramadhan yang mulia ini. Pastinya group chat masing-masing juga sudah penuh mesej-mesej peringatan dan tazkirah yang panjang sejak awal Ramadhan lagi. Yang membaca al-Quran satu juzuk sehari, pasti sudah hampir menghabiskan juz 15 bukan? Bagi yang gemar masjid-hopping, pasti sudah ada beberapa masjid yang anda lewati dan ada masjid kegemaran di hati. Yang menyimpan jurnal doa Ramadhan, log book tadabbur, dan sebagainya, mungkin sudah separuh buku anda tulis.

Dan tentu sekali, bagi kebanyakan daripada kita; tentu sudah setengah bulan tidak ada usrah kan?

Jika tidak ada jilsah ruhiyah, atau jika anda yang tidak hadir; dan anda tidak pula menziarahi mereka, pasti sudah setengah bulan anda tidak bertemu murabbi, adik beradik seusrah dan mutarabbi-mutarabbi anda bukan?

Bagi yang tinggal di luar negara atau yang tinggal dalam suasana asrama, liqa’ usrah mungkin tidak begitu terkesan dengan Ramadhan. Masih boleh bertemu murabbi dan usrahmates semasa iftar atau terawih di masjid atau musolla. Ada je yang boleh mengadakan liqa’, selepas subuh atau sebelum iftar misalnya; lebih-lebih lagi bagi yang mengikuti usrah secara online. Tapi selalunya, memang liqa’ usrah akan direhatkan sepanjang bulan Ramadhan untuk memberi tumpuan kepada ibadah di bulan Ramadhan.

Pernah suatu masa dahulu, saya tertanya-tanya: mengapa jika pada bulan ini, kesemua ibadah dilipatgandakan, tetapi usrah ditiadakan. Bukankah ada keperluan yang lebih banyak di bulan ini untuk saling memperingati, saling check mutabaah masing-masing supaya Ramadhan dapat dioptimakan sebaik mungkin? Bukankah pada usrah juga kita boleh mendapatkan bekalan ruhiyyah dan motivasi untuk taqarrub ilallah? Tetapi setiap kali Ramadhan tiba, begitulah. Pasti pada liqa’ terakhir sebelum Ramadhan, murabbi akan berkata sesuatu seperti :

“Ini liqa’ kita yang terakhir sebelum bulan Ramadhan. Most likely kita takde usrah bulan puasa nanti, untuk kita fokus kat ibadah. Maybe kita akan buat short session sekali dua just borak-borak, tilawah tadabbur ke (selalunya takde pon sebab kekangan masa dan urusan masing-masing). Keep in touch.” 

Lama-lama, saya belajar bahawa, bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling menuntut tarbiyyah zatiyyah seseorang. Pada bulan inilah kita diberi ruang untuk memantapkan tarbiyyah zatiyyah kita sebagai bekalan untuk 11 bulan yang akan datang. 11 bulan akan datang nanti, tarbiyyah zatiyyah masih perlu berjalan seperti biasa, kerana liqa’ usrah memang bukan tempat untuk mendapat segala-galanya. Di bawah manhaj tarbiyyah, jemaah memang cuba sedaya upaya untuk mentarbiyyah ahli-ahlinya melalui wasail yang ada.

Tetapi, realitinya, untuk menyampaikan kesemuanya hatta melalui ketujuh-tujuh wasail itupun adalah tidak mungkin, baik kerana keterbatasan waktu dan kesempatan mahupun kerana adanya tuntutan-tuntutan lain yang perlu dipenuhi para murabbi. Tarbiyyah zatiyyah-lah yang akan memenuhi keterbatasan-keterbatasan itu. Jadi, setiap ahli bertanggungjawab untuk melaksanakan tarbiyyah zatiyyah untuk memastikan dirinya terjaga, berkembang dan mampu menyumbang, bukan hanya menunggu suapan murabbi.

Maka, jika pada bulan yang kita diberi ruang untuk fokus terhadap tarbiyah zatiyyah kita pun, kita tak mampu untuk memberi komitmen terhadapnya, bagaimana nanti bila ruang untuk fokus itu sudah tiada apabila Ramadhan berakhir? Masa kita akan dipenuhi pula dengan program da’awi dan program tarbawi, liqa’ usrah sendiri dan liqa’ usrah mutarabbi, program umum, program untuk mustawa sendiri dan sebagainya. Tuntutan kerja dan keluarga pula sudah tentulah ada sepanjang tahun bukan? We are creatures of habit. Jika pada waktu lapang, kita tidak terbiasa untuk melakukan sesuatu amal, jangan haraplah kita akan mahu melakukannya apabila kita tidak punya banyak waktu.

Jadi, wahai duat, gunakanlah ruang yang diberikan pada bulan ini untuk memperbaiki hubunganmu dengan Allah, hubunganmu dengan al-Quran: baik tilawahnya, tadabburnya dan hafazannya. Mantapkan qiyamullailmu, kerana kekuatan seorang daie itu antaranya, datang dari ‘qiam dan siam’: bangun malam (untuk solat) dan puasa. Jika selama 11 bulan yang lalu anda merengek tidak punya cukup waktu untuk membaca bahan bacaan di luar bidang anda, Ramadhan inilah masanya untuk membaca buku-buku fikrah, fiqh dakwah, sirah, buku motivasi, buku peningkatan skills dan sebagainya. Janganlah hanya membaca blog-blog dan bahan bacaan ringan semata-mata; simpan itu semua untuk waktu-waktu anda sudah penat membaca bahan bacaan yang lebih berat.

 quran rose   [Kredit]

Saya setuju jika dikatakan fokus kepada ibadah di bulan Ramadhan ini. Akan tetapi, itu tidaklah bermakna pada bulan Ramadhan, seorang daie itu hanya duduk bertapa di rumah atau di masjid dan memencilkan dirinya daripada masyarakat. Baca al-Quran hingga 3 juzuk sehari, beriktikaf di masjid siang dan malam tetapi tidak sedikitpun menyantuni ibu sendiri yang masih belum bertudung, atau si abang yang terang-terangan merokok di waktu siang (contohhhh saje). Ini bertentangan dengan tarbiyyah yang diajarkan oleh Rasulullah saw yang bersifat harakiyyah. Kita tidak akan duduk diam-diam dan beribadah sendiri-sendiri sementara kemungkaran berlaku terang-terangan depan mata kita.

Maka, bagi saya, bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan untuk mendidik dakwah zatiyyah kita. Dakwah zatiyyah bukanlah dakwah fardiyyah yang bermaksud dakwah kepada individu. Tetapi dakwah zatiyyah ialah sebuah perasaan (yang membuahkan kepada amal) untuk membuat dakwah, walaupun ketika berseorangan. Contohnya, jika ia ke masjid di bulan Ramadhan dan melihat sebuah peluang untuk mengadakan sesi tazkirah sementara menunggu waktu Isyak, ia tak perlu menunggu arahan naqibah untuk melaksanakannya.  Semestinya ia perlu berbincang dan meminta izin naqibahnya. Pointnya di sini, ia mencari inisiatif sendiri untuk melakukan dakwah, bukan hanya menunggu arahan semata-mata.

Apabila peluang dakwah sudah terbuka depan mata dan hanya ada waktu yang sangat sekejap (tak sempat hatta untuk wasep naqiboh sekalipon!) untuk mengambil keputusan samada mahu atau tidak mengambil peluang itu, kefahaman yang terbina hasil usaha tarbiyyah zatiyyah mampu untuk membantu kita dalam membuat keputusan yang matang dan bernas. Membantu kita untuk berfikir di luar skop perbincangan liqa’ usrah.

Namun itu tidaklah bermakna seorang daie itu bebas untuk melanggar adab-adab amal jamaie seperti isti’zan dan syura atas nama dakwah zatiyyah. Tidaklah bermakna ia boleh bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan arahan qiyadah. Seorang daie itu perlu bijak menyeimbangkan antara meningkatkan kapasiti tarbiyyah dan dakwahnya dengan mematuhi prinsip-prinsip dan adab-adab amal jamaie. Dan keseimbangan itu tidak akan datang melainkan dengan pemerhatian ke atas orang-orang yang lebih lama dan melalui pengalaman. Maka wahai duat, beramallah, jangan hanya merancang. Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana daripada kesilapan itu kita akan belajar.

Jika Nabi Yusuf semasa dipenjarakan mampu berdakwah kepada teman sepenjaranya, jika Jaafar bin Abi Talib semasa di Habsyah boleh berhujah kepada Raja Najasyi walaupun berada jauh dari Rasulullah saw, jika Mus’ab bin Umair boleh menyampaikan islam ke Madinah tanpa adanya Rasulullah saw di sisinya; maka seharusnya dakwah seorang daie di bulan Ramadhan juga tidak patut pudar.

Bulan ini adalah bulan di mana semua orang berlumba-lumba untuk kebaikan dan berlumba-lumba untuk menjadi baik. Jika anda selama ini mahu terapkan solat berjemaah di rumah anda tetapi tidak berani, inilah masanya! Jika anda selama ini teringin mengajak rakan sekerja anda mengikuti usrah tetapi segan, inilah masanya! Jika selama ini anda mahu memberi taujihat di sekolah atau kolej lama anda, inilah masanya! Jika anda selama ini mahu menyantuni kejiranan anda tetapi tidak ada kesempatan, inilah masanya!

Inilah masanya, wahai duat;  untuk menggandakan kapasiti tarbiyyah dan dakwahmu. Rebutlah peluang yang berbaki 15 hari ini!