Abadan abada

Bismillahirrahmanirrahim

Lama Ayyid duduk bertafakur sesudah solat asarnya. Jauh dia mengelamun. Esok ada usrah. Selalunya, hari yang ada usrah merupakan hari yang paling ditunggu-tunggunya. Duduk dengan adik beradik usrah, bertemu murabbi, oh! gembiranya. Walaupon setiap hari dia mendoakan mereka, walaupon sering saja dia menghantar mesej wasep kepada mereka, terutamanya murabbinya, dia akan ternanti-nanti setiap sesi usrah berikutnya.

Tapi itu dulu. Lebih tiga bulan dulu. Waktu itu murabbinya masih seronok. Masa awal-awal dulu, masa Ayyid, Amar, Dani dan Idham baru sampai di pulau hujung selatan tu,  dia selalu datang rumah mereka, tengah malam bukan penghalang. Bila mereka berlima serumah, murabbinya sering memasak untuk mereka, datang berborak di bilik, kadangkala sekadar menghadiahkan secawan bubble tea dari Momo selepas pulang berjoging pon ada. Waktu itu, usrah pon seronok. Basah hatinya setiap kali usrah. Dia terasa seperti singa. Bersemangat. Mahu menimba sebanyak ilmu yang mungkin. Mahu belajar agama sebanyak mungkin. Mahu baiki diri sebaik mungkin, setiap kali lepas usrah.

Kini murabbinya bertukar. Bukan lagi abang Ibrahim atau mesra dipanggil bang Berahim oleh mereka empat ‘beradik’: Ayyid, Amar, Dani dan Idham. Tapi abang Umar. Awal-awal dulu, murabbinya tinggal tak jauh dari rumah mereka.  Sepuluh minit berjalan kaki lenggang kangkung, atau paling malas pon lima minit menaiki kereta. Kemudian, mereka berempat berpindah. Serumah dengan bang Berahim. Nak bertemu hari-hari pon boleh; apatah lagi mereka belajar di universiti yang sama.

Bang Berahim lah yang hampir dua tahun bersabar mendidik mereka. Daripada kosong, tak tahu apa-apa, tak pernah peduli apa-apa, hinggalah mereka akhirnya melihat tarbiyyah itu sesuatu yang paaaling penting sekali dalam hidup mereka. Tapi itu dulu. Setelah bang Berahim pulang ke Malaysia sebaik berjaya menamatkan Degree of Mechanical Engineering nya dengan First Class Honours, abang Umar pula mengambil tempatnya.

Tapi Abang Umar tak sama. Abang Umar tinggal di seberang pulau sana, di tanah besar sana, paling cepat sejam lima belas minit naik kapal terbang. Abang Umar tak dapat lawat hari-hari, tak dapat belanja makan Nando’s, tak dapat pergi makan Momo sama-sama atau borak-borak masa joging malam-malam di unifield. Abang Umar tak tinggal di rumah Ayyid macam bang Berahim, abang Umar tak pernah sama-sama dengan Ayyid bangun tahajjud sama-sama hujung malam winter dan kemudian solat sebelah-sebelah dalam sleeping bag masing masing macam bang Berahim.

Usrah dengan abang Umar pulak, online saja. Kadangkala dengar suara je kalau tak buat video call. Putus-putus, call dropped, kadangkala tertangguh di saat akhir kerana tuntutan di tempat abang Umar lebih besar. Dahlah tu, usrah dengan abang Umar penat. Asyik kena bincang pasal orang ini orang itu. Dah disentuh tarbiyah ke belum orang ni? Apa  yang mereka dah buat minggu tu? Sejauh mana hafazan? Buku apa baca minggu ni? Tidak lagi hanya berbincang tentang mujahadah masing-masing di rumah, atau apa kata emak bila balik dan tiba-tiba setiap pagi solat subuh berjemaah di surau. Basah masih basah. Tapi penat.

Tidak ada lagi gurau-gurau atau inside joke yang hanya difahami antara mereka. Hanya mesej wasep dan emel yang panjang dan kadangkala tersalah ertikan. Yelah, wasep dan emel tu cuma medium menggunakan perkataan, dia pula menulis dengan intonasi percakapan yang manalah mungkin abang Umar dapat mendengarnya. Salah faham selalu saja ada.

Lagi satu. Tak seperti bang Berahim yang mengambil Degree of Mechanical Engineering, abang Umar sedang menyambung pelajaran dalam bidang psikologi. PhD. Ayyid dan adik-beradiknya seringkali terasa seperti murabbi mereka itu pandai saja membaca setiap maksud tersirat dalam intonasi dan nada percakapan mereka. Dan bila bertemu sebulan sekali, bila abang Umar datang melawat mereka, lagilah. Mereka terasa seperti setiap tingkah laku mereka dapat ditafsirkan oleh abang Umar.

“Psycho.” pernah sekali Dani berbisik. Dan Ayyid mengiyakan. Psycho. Dan scary.

“Woi Ayyid!” teriakan Amar mengejutkan Ayyid daripada lamunannya.

“Apanya? Kau ni, terkejot aku.” Ayyid memandang Amar dengan mata menyinga, dan kedua-dua mereka tahu Ayyid sedang mengajuk siapa. Mereka tertawa.

“Pandainya kau. Ni haa. Ada parcel dari dia. Baru dapat. Dia tulis bukak sama-sama depan semua. Aku dah panggil Dani dengan Idham dah.” kata Amar sambil berlalu ke dapur.

Ayyid segera bangun. Parcel? Menarik! Pernah sekali abang Umar mengepos empat kotak cokolat Aldi dari mainland sana. Rasanya sebijik Kinder Bueno. Tapi jauh lagi murah. Wahh besnya.

Di dapur, Idham dan Dani sudah pon duduk menunggu Amar dan Ayyid di meja makan.

“Pe lagi Dani, Idham? Bukak la wei” kata Ayyid sebaik ternampak mereka.

Dani segera mengoyak bungkusan itu. Masing masing tertanya-tanya apakah isi parcel yang kecil itu (dan masing-masing mengharapkan adalah hendaknya sebatang dua cokolat Aldi tu walaupon nampak macam tak mungkin).

“Haa? Apa yang dia bagi kita ni?’

Di dalam parcel yang dibungkus kemas itu, rupa-rupanya ialah sebungkus serbuk sabun mencuci pakaian.

Ayyid yang tiba-tiba faham maksud tersirat ‘hadiah’ itu menelan air liur.

Dia, Amar dan Idham berpandangan. Cuak terlihat jelas di riak wajah masing-masing.

“Aku tak fahamlahh. Apa sabun ni? Kenapa?” Dani memandang mereka bertiga, keliru.

“Maksudnya..Abang Umar, nak basuh kita lah wei!”

Bulat mata Dani mendengarnya.

“Habeslah kitaa..”

*** bersambung ***

umbrellas_to_heaven_by_systemabnormality-d519itj

[Kredit]

Abadan-abada: selama-lamanya 🙂

Sambungan-sambungannya^^:

Abadan abada II

Abadan abada III

Advertisements