Mak, saya dah besarlah!?

Bismillahirrahmanirrahim

Masa saya kecik dulu, zaman-zaman sekolah rendah dululah; saya selalu tak puas hati sebab mak saya tak pernah bagi saya masak. Tak pernah bagi saya gosok baju sekolah sendiri. Padahal kawan-kawan saya ada yang dah pandai goreng nasi, masak ikan. Tapi saya, goreng telur pon tak pernah. Takat tolong kacau kuah yang mak tengah masak je.

Pertama kali saya rasa saya memasak ialah bila kami beli ketuhar gelombang mikro masa saya darjah lima. Jadilah. ‘Masak’ sosej dan buat piza daripada roti. Baju sekolah pulak, mak saya yang gosokkan. Setiap hari. Sampailah masuk tingkatan satu. Lepastu, barulah merasa melecur, panas, berpeluh ketiak menggosok baju-baju sekolah dan uniform taekwondo.

Memang tak puas hati. Rasa macam loser. Tapi, emak saya, kalau saya tanya kenapa dia tak pernah bagi, mesti dia ada sebabnya.

Entahkan takut dapur tu meletup sebab saya main api ke (dan memang bila saya di rumah nenek saya dan ‘tolong’ dia masak, saya akan habiskan masa main api dekat dapur arang kayu dia :p) Masa saya sekolah rendah dulu, seterika kami terletak dalam bilik kecil tingkat atas. Pantang ada dalam bilik tu sorang-sorang, mulalah, buat eksperimen dengan seterika. Tuang air atas papan seterika, lepastu lekap dengan seterika panas. Ataupon cairkan lilin guna seterika. Macam-macamlah.

Jadi, tepatlah keputusan emak saya untuk tak bagi saya buat semua tu. Dia lebih kenal dengan perangai anak dia ni. Tau kemampuan anak dia. Maka, dia tak bagi, walaupon saya tak puas hati. Sebab pengalaman dan pengetahuan dia membolehkan dia menilai saya, dan decide untuk tak bagi, walaupon saya rasa, saya mampu.

“Dah besarlah mami, orang lain dah masak seniri dah! Alaahh, iron baju je. Takkan takleh buat seniri?” Tapi dalam hati jelah. ehee.

Nak berdikari lah konon. Rasa dah besar. Padahal benda-benda paling basic pon tak tahu. Paling epik, saya tak tahu pon, yang saya tak tahu! Lagi mau eksyen, tak puas hati. Haish.

Begitu juga, di jalan tarbiyyah dan dakwah ini. Dahulu semasa awal-awal berkenalan dengan tarbiyyah; anda tak tahu apa-apa. Setiap pengisian; membuka mata dan memberi anda pengetahuan dan kefahaman baru. Kemudian, sampai satu tahap; daripada hanya menerima, anda jadi tak selesa jika tak memberi juga. Daripada hanya mendengar, anda sudah punya kemahuan untuk juga menjadi penyampai; berdiri sebaris dengan murabbi-murabbi yang selama ni bersusah payah, berhabis masa dan keringat mentarbiyyah anda.

Sampai satu tahap lagi, para murabbi anda yang sudah tafahum benar dengan anda, tahu ke mana nak mentaujihkan segala logam dan potensi anda tu, tsiqah dengan anda lalu memberi anda taklifan-taklifan da’awi. Mulalah anda jadi tukang masaknya, tukang fotostetnya, si penyampainya ke, atau penyibuk pemeriah majlis ke. Daripada dulu single and available, anda sudah diberi anak-anak usrah. Anda pula bergelar murabbi. Emak usrah. Anda pula merancang program untuk anak-anak usrah anda.

Perkara ini pon berlarutan seberapa lama. Kini, anda duduk sama berbincang dengan murabbi-murabbi anda tentang program. Ke mana hadafnya. Apa projection audiencenya. Bahan prerequisite yang audience pernah lalui. Korek modul, bedah buku, selak tafsir itu ini. Mula-mula dulu, anda ikut menyibuk je dalam syura. Dengar dulu, nak ambil pengalaman; kata murabbi. Sekarang, mungkin andalah mc nya, entah-entah andalah amirah program itu.

Itu antara corak tumbesaran yang normal di jalan ini. Jika anda terselamat dari serangan-serangan syaitan yang membisikkan yang bukan-bukan ke telinga anda, terselamat dari dzan-dzan buruk dan ujian yang bertimpa-timpa, satu hari nanti, anda akan dapati anda sudah pon tua, bertongkat tapi masih lagi menjelajah ke seluruh dunia memberi taujihat kepada kader-kader baru di jalan ini.

Namun, setiap perkara, pasti ada alternate endingnya. Kalau tidak buruk, baik. Kalau tidak baik, buruk. Di pertengahan jalan pon, yakni di mana anda berada sekarang ini pon… Boleh jadi, ada perkara yang tidak kena…

Di antara anda, ada yang merasakan sesuatu yang anda tidak puas hati. Anda baru jee pon terlibat dalam gerak kerja da’awi ni, hijau lagi, belum lagi menjadi ‘syuyukh bertongkat’ macam gambaran di atas. Tapi anda… Perasan sesuatu.

Pehal kakak-kakak ni macam tak cerita semua benda? Apasal ada syura aku tak diajak sekali?

Aku dah bawak usrah dah kot? In fact, aku antara orang yang awal masuk usrah ni. Aku yang ajak kawan-kawan aku. Aku yang tarbiyyah diorang. Aku bukan adik lagi.

Aku bukan adik lagi.

Astaghfirullah.

Bagaimana boleh jadi begini?

Ini ke yang dapat dalam usrah? Eh.

baby-facepalm

[Kredit]

Aduuhh kenapalah diorang layan aku cam budak kecik lagi ni? Aku nampak macam budak kecik ke haaa?

Jalan dakwah ini, panjang. Paaanjangg. Di atasnya, berbagai-bagai ujian. Jalan ini susah. Ia bukan untuk orang manja, semua mahu disuap. Bukan untuk orang yang bermalas-malasan dan selesa bergelumang dengan jahiliyahnya. Bukan untuk orang yang merasakan tak mengapa beringan-ringan dalam mujahadahnya.

Bukan. Tidak sekalipon begitu.

Yang malas akan ketinggalan. Para murabbi berkejaran memenuhi tuntutan mutarabbi-mutarabbi yang kuantitinya jauh melebihi kuantiti murabbi. Apa, anda ingat anda saja kelaparan?

Yang penuh dengan jahiliyyah, tahu salah tapi tidak berusaha meninggalkannya akan tertapis. Mana mungkin para pejuang agama Allah boleh dibiarkan berjalan dengan jahiliyyah seolah-olah tertampal pada dahinya. Pasti akan dibersihkan.

Yang beringan ringan dalam mujahadahnya, akhirnya akan kefuturan; kerana syaitan itu menunggu-nunggu saja saat insan itu kalah dengan dirinya sendiri. Akhirnya keciciran.

Anda pon tahu itu.

Dan hei, kata anda. Anda telah melaluinyalah!

Tabiat jalan yang susah ini, yang keras ini, kadangkala ada kesan sampingan pada para pejalannya. Sebahagian kecil para pejalannya itu, yang sudah teruk bertubi-tubi dilanda keperitan dan ujian; setelah berjaya mengharungi semua itu dan akhirnya terselamat; berasa bagus terhadap dirinya.

Rasa anda besar, otai dan sudah lama di jalan dakwah.

Rasa berjasa kerana diri anda antara ‘sabiqun al-awalun’ di waqi’ anda.

Rasa seperti jika tiada anda, mad’u anda mungkin tidak ada di mana mereka berada sekarang.

Rasa dah banyak berhabis, bermatian dan berpenatan; “nasib baik sekarang masih hidup dan aku masih tsabat.”

Rasa sudah jauh berlari, sehingga anda rasa; mereka yang dulu di belakang anda masih lagi ketinggalan di belakang anda dan anda pula masih yang paling terkedepan. Kalau dulu anda pernah jadi naqibah, atau mas’ulah, atau amirah, ape-apelah; bila sampai waqi’ baru anda masih rasa anda sudah cukup ‘kakak’, dan ‘adik-adik’ anda dulu masih ‘adik’ lagi forever.

Rasa sudah banyak bekerja, sudah banyak tahu, banyak faham, sehingga anda merasakan, murabbi-murabbi anda sepatutnya acknowledge kedudukan anda.

Saya bukan budak kecil lagi. Saya sudah patut tahu itu. Tahu ini. Akak patut sudah bagitahu saya ini.

Kenapa saya belum dapat pengisian buku itu? Benda yang kita cover dalam usrah ni basic lah mak naqibah terchenta! Saya laparr dan kerringg dengan kebasic-an nya!

Anda di kedudukan anda sekarang, dengan mutabaah amal anda sekarang; pastinya tahu kisah Musa dan seorang hamba Allah yang soleh yang diceritakan dalam surah Al-Kahfi ayat 60 hingga ayat 82. Jika tidak kerana membacanya setiap Jumaat pon, pasti paling lama pon dua hari daripada sebulan yang anda ambil masa untuk khatam quran itu; anda pernah membacanya. Kalau tidak, mungkin anda belum patut membaca post ini. Heh.

Surah Kahfi terbahagi kepada empat kisah, dan salah satunya memaparkan kisah Nabi Musa ini. Ada kisah Nabi Musa yang diceritakan beberapa kali dalam bahagian-bahagian lain dalam al-Quran, seperti kisah Nabi Musa bertemu Firaun, pertemuannya dengan Allah, tetapi kisah Nabi Musa bertemu hamba Allah yang soleh ini, hanya diceritakan dalam surah al-Kahfi.

Dalam kisah ini, Nabi Musa ingin berguru dengannya; kerana dia telah diajarkan Allah ilmu yang tidak diajarkan kepada Nabi Musa.

Awal-awal, dia sudah menolak. Katanya; Kau takkan mampu sabar; sebab kau belum tahu. Namun, setelah didesak Nabi Musa, dia bersetuju, tapi dengan syarat Nabi Musa takkan bertanya sebelum masanya tiba untuk hamba Allah yang soleh ini sendiri yang menceritakan.

Anda pon tahu bukan, bagaimana pengakhirannya. Nabi Musa tidak mampu sabar.

Begitu juga, anda dan murabbi anda. Ada perkara yang mereka buat, yang anda tak faham pon kenapa perlu mereka buat macam tu.

Ada perkara yang mereka takkan beritahu anda, sekuat mana anda mendesak mereka sekalipon. Cukup ditepis dengan senyum atau emotikon sengih dengan mata bentuk hati saja pertanyaan-pertanyaan naif anda itu.

Jadilah baik macam mana sekalipon dengan mereka, masak lah apa pon yang murabbi anda suka, rasuahlah dengan apa sekalipon, ada benda yang memang murabbi akan simpan kemas-kemas dari pengetahuan anda.

Mengapa?

Kerana mereka tidak mahu menjadi al-mutahammisunal muta‘jiluw yang dikatakan oleh Hasssan al-Banna dalam risalahnya Muktamar Kelima. Beliau dengan tegas mengingatkan kita, bahawa beliau tidak akan bersama golongan ini, yang terlalu gopoh hendak memetik buah yang belum masak sebelum waktunya.

Hendak memberi komitmen pon anda struggle, takkan mereka sudah mahu memberi taklifan-taklifan da’awi yang besar kepada anda?

Fikrah asasi pon anda belum kuasai, takkan murabbi sudah mahu menyumbat anda dengan fikrah tambahan pula?

Baru bagi satu dua pengisian, kemudian sudah merungut penat atau bising hebohkan pada orang yang anda sudah buat kerja. Kan lebih masuk akal untuk murabbi meng-ilaj atau mentazkiyyah anda dulu, bukan memberi anda tugas baru?

Anda nak pergi program yang murabbi sediakan untuk anda pon liat, adakah tepat jika mereka mahu libatkan anda dalam syura perancangan program pula? Hatta audiencenya sekadar ‘adik-adik baru di bawah anda’ sekalipon.

Kerana anda belum layak. Bukan di tempat anda untuk berada di situ.

Ibarat muntalaq pon tak tahu apakah makhluk itu? Sudah mahu menuntut murabbi memberi pengisian dari kitab al-Masar kepada anda. Memang taklah.

Tarbiyyah itu salah satu daripada ciri-cirinya, mutadarrijah. Sudah lepas satu, baru datang satu. Berperingkat-peringkat. Bukan suka hati sayalah saya nak bagi apa, dia suka bahan camtu, saya bagilah. Tidak sama sekali.

Ada sebabnya murabbi anda belum memberitahu anda perkara tertentu, atau anda tidak diberi tugasan tertentu, atau anda tidak diajak ke program tertentu, atau tidak dilibatkan dalam syura tertentu. Ada sebabnya. Mereka lihat anda belum bersedia, jadi mereka perlu persiapkan anda dahulu.

Jika mereka gopoh, dan memberi anda apa yang anda mahu, padahal anda belum bersedia, akan jadilah malapetaka. Anda tidak akan mampu sabar. Datang ujian, anda mudah mengalah kerana tiada driving force yang lahir dari kefahaman yang mantap yang sepatutnya lahir sebelum anda diberi taklifan itu.

Anda tidak lagi faham sepenuhnya, tetapi disuruh buat, lalu anda buat dengan terpinga-pinga. Buat tanpa kefahaman. Padahal, manhaj kita bukan untuk melahirkan rijal yang beramal semberono, tapi rijal yang beramal dengan basirah! Jelas dengan apa yang dibuat, kenapa dan ke mana hala tujunya!

Anda ingat murabbi anda tidak mahu ke tengok anda laju?

Adalah menjadi cita-cita setiap murabbi untuk melihat mutarabbinya berada seangkatan dengannya malah berdiri lebih tinggi dari dirinya sendiri.

Anda ingat mereka tidak penat, banyak perkara kena perlahan-lahan, ikut step, bersabar?

Benda ini bukan perkara kecil. Membina manusia bukan seperti buat tom yam, campak saja, kemudian letak kiub dan daun limau sudah sedap. Mereka mahu membina anda supaya anda mampu membina manusia yang mampu membina manusia yang mampu membina manusia (yang mampu membina manusia. the list goes on till infinity.)

Jadi mereka tidak boleh gopoh. Bangunan yang hendak dibina bukan pondok jaga pakai plywood tepi jalan tu. Tapi mahu membina bangunan islam. Dan batu-batunya afradul muslim yang mantap muwasofatnya, yang ditarbiyyah dan didakwah dengan susah payah. Ini bukan perkara main-main!

Maka, anda yang sudah menyahut seruan mereka ini, yang berjanji mahu jadi para penegak agama Allah ini, yang bercita-cita mahu berada seangkatan dengan para pembina manusia ini, perlulah bersabar. Bersabarlah. Bukan sekadar bersabar dengan ujian, tapi juga bersabar dengan perancangan tarbiyyah yang dijalankan murabbi anda untuk anda.

Anda mungkin sudah bergelar murabbi. Tapi anda juga masih merupakan mutarabbi kepada murabbi anda. Mereka sedang cuba sedaya upaya membesarkan anda. Ada masanya, mereka berlapar (literally atau figuratively) supaya anda kenyang. Kadangkala, hak mereka sendiri terabai, semata-mata untuk memastikan hak anda terpenuhi. Bersabarlah.

Mungkin anda rasa anda sudah tahu banyak, faham banyak, dan murabbi anda terlalu perlahan dalam mendidik anda. Ingatlah, sepatutnya, makin banyak yang kita belajar, makin banyak kita sedar yang kita tak tahu sebenarnya. Bukanlah sifat seorang mukmin untuk berasa besar dengan apa yang dia ada. Malahan, para tabiin, para ilmuwan islam, yang ilmunya dan kefaqihannya jauh menggunung dari kita, begitu tawadhuk, walaupon bila berhadapan dengan orang awam yang tidak berilmu sepertinya.

Ke mana hilangnya sangka baik, cinta sesama mukmin, berlapang dada, yang anda terkesan benar masa di awal tarbiyyah dulu? Jangan kata ujian dan kesusahan telah menanggalkan itu semua dari anda. Para sahabat radhiallahu ‘anhum yang berganda ujiannya, begitu mantap dengan kesemua itu hingga ke akhir hayat mereka.

Bersabarlah. Antara kunci kepada tsabat ialah sabar dan taat. Bukan banyak mana yang kita tahu dan amal apa yang kita buat. Ya, mungkin anda lebih dahulu mengenal tarbiyyah dari orang lain. Anda dahulu yang bersusah, orang lain makan hasilnya senang-senang je. Janganlah biarkan syaitan mencampakkan rasa riak dan ujub itu ke dalam diri anda sehingga akhirnya amal-amal itu pon musnah.

Anda mungkin rasa anda sudah lama, tetapi hakikatnya, lama atau tidak kita di jalan ini, tidak menjamin pengakhiran kita masih di jalan ini. Dan lagipon.. Ehee. Kalau kita katakan kita sudah lama, saya pasti para syuyukh akan tergelak besar mendengarnya. “Apa? Lama di jalan ini? Ulang sekali lagi boleh?”

Bersabarlah. Jadilah seperti seorang anak kecil yang tidak sabar menunggu hari esok dan sentiasa bergembira dan menerima apa yang dia pelajari pada hari itu. Akan tiba satu hari nanti, anda sendiri akan menggelakkan diri anda yang terburu-buru hendak cepat besar ini.

Sebelum ia menjadi barah, ubatilah, rawatilah.

_ _ _ _ _ _

Moga Allah redha. Sengaja menggunakan kata ganti nama anda. Setiap perkataan yang ditujukan kepada sesiapa saja, tak kiralah anda, kamu, saya, kita atau mereka, telinga ini terlebih dahulu bergema dengannya.

*Sambungan Biar betul kau ni #1 dah ada. Saja tak nak publish. Sebab belum tulis. ahaha