Ulang tahun dan selamat kembali

Still miss those blue skies sometimes

Still miss those blue skies sometimes

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya tertarik dengan sebuah ‘teori’ yang saya jumpai di sebuah halaman Instagram baru-baru ini, yang mengatakan bahawa masa itu kita rasakan berlalu semakin pantas kerana semakin umur kita meningkat, nisbah umur kita kepada tahun yang sedang kita lalui menjadi semakin besar. Untuk seorang bayi yang baru berumur 2 tahun, nilai setahun itu adalah separuh hidupnya, maka setahun itu terasa begitu panjang. Untuk seseorang yang berusia 50 tahun, setahun itu hanyalah sebahagian yang sangat kecil jika hendak dibandingkan dengan 50 tahun yang telah berlalu, maka masa itu dirasakan seolah-olah berlalu dengan jauh lebih pantas daripada waktu ia berumur 20-an atau 30-an.

Pada umur 24 tahun ini, tanpa disedari sudah 4 tahun berlalu sejak saya mula-mula membuka akaun di WordPress ini. Tahun lepas, blog ini langsung tidak terisi. Bukanlah perkara yang mudah untuk menulis tanpa rasa, dan jujurnya, rasa yang hilang dan datang dengan turun naiknya semangat dan atas dorongan orang yang tersayang itu hampir tidak ada tahun lepas. Pendek katanya, jika saya diberi peluang untuk meng-delete setahun dari hidup saya, tanpa ragu saya akan delete tahun 2015. Bukanlah kerana semuanya buruk, tetapi detik-detik indah itu terlalu dibayangi perkara-perkara yang perit dan menyakitkan. Tetapi cukuplah kisah itu sekadar di situ sahaja. Biarkan parut-parut sahaja mengingatkan kita betapa tingginya nilai pengajaran-pengajaran yang datang bersamanya.

Jika 4 tahun lepas saya memulakan blog ini dalam keadaan baru tamat pengajian di kolej persediaan dan dalam keadaan berdebar-debar menunggu keputusan akan ke luar negara atau tidak, tahun ini saya sudahpun kembali ke tanah kelahiran yang tercinta. Dahulu semasa di zaman kolej, orang panggil mereka yang pulang setelah tamat pengajian sebagai back for good atau ‘BFG’, kemudian ada pula yang memanggilnya back for jihad dan sebagainya. Namun saya lebih sukakan back for good, yang jika diterjemah secara literalnya bermaksud kembali untuk kebaikan.

Semasa di Australia dahulu, ramai yang memberi persiapan mindset untuk pulang. Sering sekali kami diingatkan tentangnya. Kena banyak bersabar; mungkin tidak serasi dengan macik-macik. Lain gerak kerjanya. Mungkin tidak serasi dengan usrahmate. Lain gaya tumbesarannya. Tak kisah sepopular mana, sehebat mana di Australia, balik Malaysia tiada orang kenal pun siapa kita. Kena banyak ‘mencapub’, banyak jadi over confident, kena banyak volunteer walaupun rasa segan ke out of place ke. Akan rasa lost sebab dah tiada akhawat yang kita biasa.

Alhamdulillah, tarbiyah telah mengajar saya menghargai hidup berjemaah, juga mengajar saya untuk terbiasa berdikari. Tarbiyah membiasakan saya untuk perlu bermula di tempat yang tiada siapa yang dikenali (dan tiada siapa yang mengenali). Untuk menyumbang tenaga dan fikiran di tempat yang langsung kita tidak tahu bagaimana kebiasaannya, tradisinya, sensitivitinya. Semuanya menakutkan, mendebarkan namun perasaan itu nikmatnya lazat tak terkata. Lebih manis lagi apabila keluarga baru di sini menerima seadanya dengan tangan terbuka. Dan tentulah, saya tidak akan mampu untuk ‘move on’ dengan begitu cepat tanpa adanya teman-teman seperjuangan lama yang sering berbalas mesej dan bertanya khabar. Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Saya selalu berpendapat bahawa apa yang berlaku pada kita hari ini, merupakan persiapan yang Allah berikan untuk kita lalui hari kemudian. Dan benar, 2015, dan setiap detik indah dan pahit-manis yang telah berlalu selama 4 tahun sudah, menjadi bekalan yang sangat berharga untuk meneruskan perjalanan di bumi tercinta ini.

Maafkan saya jika saya pernah membuat sesiapapun dari anda mahu meng-delete detik-detik bersama saya. Moga Allah ganjari kesabaran anda dengan setinggi-tinggi ganjaran dan menghimpunkan kita semua suatu hari nanti dalam keadaan yang lebih baik.

Jazakunnalllah khair buat semua yang setia di sisi selama 4 tahun ini. Dan yang telah dan masih bersama dengan diri ini lebih lama dari itu, salamun alaikum bima sobartum.  Buat anda semua, ketahuilah, anda sentiasa dalam doaku. Setiap satu dari anda.

Salam alaik dari saudaramu yang telah pulang untuk kebaikan. Ane menanti antunna semua untuk kembali bersama ane 🙂

Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. Bertakwalah kepada Tuhanmu”.

Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan.

Dan bumi Allah itu adalah luas.

Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.

Surah az-Zumar ayat 10 [39:10]

Advertisements