Jangan tidur dulu!

Bismillahirrahmanirrahim.

[Disclaimer: Ini adalah sebuah cubaan menulis cerpen seram]

Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Bunyi-bunyi di luar biliknya menandakan rakan serumahnya sudah bangun dan sedang menggunakan bilik air.  Ringtone ‘walk in the forest’ berbunyi dari telefon pintarnya, mematikan lamunan Shak. Rakaat pertama tadi, punyalah nikmat Shak rasakan bila dapat berdoa panjang-panjang, puas-puas. Lama-lama lebih banyak berangan daripada doa. Sampailah sujud terakhir solat witirnya, tanpa sedar Shak sudah separa terlelap sehinggalah dikejutkan alarm tadi. Takpelah, still okeilah qiam belum miss lagi bulan ni.

Sesudah solat Subuh, Shak cepat-cepat bersiap untuk ke kerja. Jadualnya sedikit padat hari ini. Ada mesyuarat guru hingga pukul 4 petang, kemudian malam nanti pukul 8 dia ada usrah. Walaupun dia hanya guru gantian, namun keadaan sekolah tempatnya bertugas yang kekurangan guru menyebabkan beban kerjanya agak banyak juga. Pun begitu, Shak berasa bahagia dalam kesibukannya. Guru-guru lain di sekolah itupun, menerimanya dengan baik. Mengenakan shawl atau tudung labuh tapi berperwatakan bersahaja dan ceria, tentu sekali Shak disenangi dan disayangi guru-guru lain yang lebih senior lebih-lebih lagi kerana dia juga seorang yang ringan tulang.

Sehingga petang itu, so far, so good. Semua kerjanya beres dan murid-muridnya seperti berkelakuan lebih baik daripada biasa. Hari ini dia tidak perlu berleter kepada si Adamia 4 Dahlia tu, yang selalunya akan tertinggal buku latihan di rumah. Dan kerja sekolah si Hanif 5 Anggerik tu pula lebih kemas dan siap sepenuhnya, tidak seperti selalu. Selalunya, mutu kerja si Hanif tu pasti akan menyebabkan darahnya naik. “Dahlah tak siap, comot, lambat hantar pulak tu!” selalu menjadi komentar dalamannya untuk kerja sekolah Hanif.

Harapnya mesyuarat harini cepat habis. Bolehla masak then rehat kejap before usrah. Yezz tak sabar nak usrah. Harini bincang topic favourite.

Seminggu yang lalu, naqibahnya telah menugaskan dia dan adik-beradik seusrahnya untuk melakukan sedikit pembacaan sebagai persediaan usrah minggu ini. Pada hari itu juga Shak menghabiskan bacaan itu, siap buat nota dan dan menulis ulasan di blognya. Nak katanya punyalah bersemangatnya. Namun-hampa. Pada pukul 7.03 petang, naqibahnya menghantar mesej ke group whatsapp usrahnya:

“Assalamualaikum adik2 yg disayangi kerana Allah. Akak mohon maaf kerana x dapat meneruskan perjumpaan kita malam ni. Kesihatan akak x mengizinkan *emoji muka sedih berpeluh* *emoji heartbreak*

Mohon PM akak ya homework yang akak kasi. Jzkk “

Adoyaii tak jadi pulakk. Cepat saja Shak membalas mesej itu dengan

“Syafakillah akakk *emoji bunga ros*”

dan kemudiannya dalam masa kurang 3 minit selesai menghantar gambar nota-notanya dalam mesej peribadi kepada naqibahnya.

Hmmm.. bosanlah. Apa kata kita..Kita baca bukulah. Takyah bukak laptop. Kalau tengok laptop tu ada tendency untuk..

Tangan Shak pantas menghidupkan komputer riba yang hampir setiap masa ada di atas meja tulisnya. Dia dan komputer riba itu mempunyai sejarah yang panjang bersama. Sejak ‘zaman jahiliyah’nya, itulah komputer riba yang digunakan. Games, chatting, drama Korea, muat turun filem secara haram, dan macam-macam laman web yang pelik-pelik sudah dia lawati dengan komputer riba itu. Setelah dia mengenal tarbiyyah, itulah juga yang digunakannya untuk menyampaikan daurah, berusrah online serta membaca dan menonton bahan tarbawi. Orang lain sudah bertukar komputer riba setelah tamat zaman belajar, namun komputer ribanya yang satu ini masih gagah dan berfungsi seperti baru. Shak selalu berasa bahawa komputer ribanya itu panjang umur kerana dia masih belum sehabis baik memanfaatkannya.

Bayyinah Institute, Quran Weekly, Merciful Servant. Khusyuk Shak melayan video-video di saluran-saluran YouTube tersebut hingga tak sedar azan Isyak sudah berkumandang. Pada suatu ketika, Shak menghentikan sebentar video yang sedang ditontonnya lalu menanggalkan earphone di telinga.

Macam ada orang ketuk pintu tadi.. ada orang nak ajak solat kot tadi Hmm takpelah.

Shak kembali menonton video tadi. Sekonyong-konyong matanya terpandang jam di bucu monitor komputer ribanya. Tapi dah pukul sembilan ni… aku belum solat lagi. Okay, ni last video.

*Enam (atau lapan kot.Entahlah) video kemudian*

Ya Allah, dah pukul 10 lebih! Gila lah. Terbayang-bayang di benaknya wajah naqibahnya dan apa yang mungkin dikatakannya kepada Shak jika dia melihat perbuatan Shak sekarang. Shak segera menekan butang sign out dan menunggu halaman tersebut dihalakan semula ke halaman asal sebelum dia memadamkan rekod pautan-pautan yang telah dilawatinya hari itu. Tabiatnya dari dulu: sign out, clear history. Ataupun incognito mode. Tak perlu padam-padam. Dan Allah pula memelihara aibnya. Tak pernah kantoi. Belum sempat dia menutup tab YouTube itu, matanya terpandang senarai video-video yang sedang trending.

Return of Batman Episode #444 *New* Watch Sang Ilkuk…. 97k views

No, Shak. Kita dah tinggalkan dunia tu. Tutup tab tu cepat! Better kau solat. Tilawah tak abes lagi kan?  Hmm tadi baru tengok kat Facebook kata parenting skills dia orang Barat pon puji.

Hmmm…

Apa salahnya. Parenting skills pon ilmu bermanfaat. No, Shak! Not too late untuk tutup! *open in new tab*

Kalau tadi semasa dia sedang menonton video Islami Shak terdengar-dengar seperti orang mengetuk pintu untuk mengajaknya solat, kali ini lain pula. Terasa.. diperhatikan. Sekejap-sekejap Shak memandang pintunya, untuk melihat samada biliknya berkunci atau tidak. Sekali dua dia bangun dan memastikan pintunya rapat dan tombolnya berkunci. Sekejap-sekejap dia menghentikan sebentar video. Macam dengar bunyi kat pintu tadi. Setiap kali habis satu video, dia membiarkan sahaja YouTube memainkan video yang ada dalam playlist berkenaan. (Padahal kalau video Islami pasti dia akan klik ‘Autoplay off’.)

0:00 AM. Seriously, Shak? Kau ni, mengalahkan anak usrah kau! Sayonara jahiliyah konon.

Terus Shak terbayangkan satu persatu wajah anak usrahnya yang bersebelas itu. Teringat lagi bagaimana reaksi mereka sewaktu dia menyampaikan tajuk Sayonara Jahiliyah dalam usrah beberapa bulan yang lalu.  Tiba-tiba, bunyi-bunyi asing yang bukan dalam bahasa Korea kedengaran di telinganya, menyebabkan Shak kembali fokus kepada video yang sedang bermain di monitornya.

Sekali pandang saja, Shak tahu dia tidak patut menonton video itu. Orang Islam yang tak ikut usrah pon tahu berdosa tengok, Shak! Namun entahlah. Entahkan salahnya pada solatnya kah. Entahkan salahnya pada qiamnya kah. Atau tilawahnya kah. Entahkan pada usrahnya. Entahlah silapnya di mana, namun Shak tewas dalam mujahadahnya malam itu. Dunia silam Shak yang kelam, yang sudah bertahun dia tinggalkan sejak ditarbiyyah, pada malam itu seperti meraikan kepulangan Shak. Satu demi satu ditontonnya, dan setiap kali, hatinya diserang rasa resah dan bersalah tetapi dia seakan-akan tak berdaya berbuat apa-apa.

Hatchuu!

Alhamdulillah.”

Spontan kalimah itu meluncur daripada mulut Shak setelah bersin. Shak tersentak. Kau bersin, kau sebut nama Allah konon kau ingat Allah lah. Yet relax je kau buat maksiat ye? Berhentilahh, Shak.  Solat. Then solat taubat sekali before tido tu.

Ustaz Ilyas Uthman (bukan nama sebenar) pernah berpesan dalam salah satu daurah yang pernah Shak hadiri. Katanya, salah satu amalannya: selepas muhasabah sebelum tidur, dia akan menilai samada hari itu lebih baik atau lebih buruk dari semalam. Jika lebih buruk, dia akan bangun daripada katilnya dan solat sunat taubat dua rakaat dahulu baru tidur. Shak sering berkongsi pesanan itu kepada anak-anak usrahnya dan adik-beradik usrahnya yang baru.

Shak melihat jam. Sudah pukul 2.30 pagi.

Kalau tido dulu, then bangun before masuk Subuh, solat Isyak pastu solat taubat. Dah kira qiam. Lagi untung.

Jangan Shak. Kau pon tahu kalau tido sekarang mesti terbangun lepas azan Subuh. Solat je lah sekarang. Lagipon, kalau mati time tido camana

Ahh tido dululah. Shak mematikan komputer ribanya dan menekan suis lampu lalu terus berbaring atas katilnya. Nikmatnyaa baring.. sakit tengkuk. Dalam separa kegelapan, Shak terkebil-kebil menetapkan alarm baru dalam Galaxy Note-nya. 4.00AM, 4.30AM, 5.00AM. Paling last before Subuh, 5.40AM. Tolong bangun okei, Shak. Kau tak solat Isyak lagi ni. Kot ye pon tak sempat solat taubat tu at least kena solat Isyak. Keluar dari aplikasi jam, Shak terpandang pula ikon aplikasi Instagram. Woi tidolah! Nanti tak bangun karang. Shak memadamkan telefon pintarnya dan menutup matanya. Tak sampai setengah minit kemudian, Shak terus terlelap.

Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Bunyi-bunyi di luar bilik Shak menandakan rakan serumah Shak sudah bangun. Ringtone ‘walk in the forest’ kedengaran dari bilik Shak buat kali keempat pagi itu. Cuma saja seorang Shak sudah tidak mampu lagi mematikan alarm itu. Seorang Shak sudahpun pergi menghadap Allah kurang tiga jam yang lalu.

certot

[Kredit]

——

Cerpen yang diinspirasikan oleh sebuah status twitter (gambar). Banyak tema yang saya cuba selitkan dalam cerpen ni. Terbuka kepada interpretasi masing-masing.

p.s: Kalau anda tak faham kenapa dengan ayat-ayat yang di strikethrough itu: kononnya situasi mujahadah melawan nafsu lah :B

p.p.s: Maaflah kalau bukan seperti cerita seram yang anda jangkakan.Wahaha

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s