Tiga paksi penyampaian #1

Bismillahirrahmanirrahim.

Perlukah sesi bedah tafsir dalam liqa’ usrah memakan masa hingga lebih sejam, kemudian tak cukup dengan itu, bersambung pula hingga dua, tiga liqa’ usrah? Tu untuk satu surah. Kalau nak cover satu juz? Atau paling kurang, surah-surah pilihan. Berapa liqa’ habis untuk bincang tafsir sahaja, sedangkan tak semestinya anda berupaya untuk adakan liqa’ sampai 52 kali setahun? Itu kalau nak ambil kira bilangan minggu dalam setahunlah.

Perlukah pula membentangkan setiap butir sirah nabawi, sirah sahabat dan sirah tabi’in kata-per-kata? Kemudian, untuk memastikan mutarabbi anda faham, anda suruh pula mereka baca sebelum liqa’ usrah dan pastikan mereka memiliki buku yang bakal digunakan. Pembentangan sudah seberapa lama, kemudian anda mahukan mereka bincangkan pula applikasi untuk situasi-situasi masa kini. Belum masuk lagi sesi soal jawab, sudah ambil banyak masa. Bila pula hendak qadhaya? Bertanya khabar? Akhirnya jadilah liqa’ itu seperti kelas, setiap minggu bentang bab itu, bab ini; akhirnya akan keluarlah komen-komen seperti: ‘Setakat begini lebih baik beli saja buku dan baca sendiri, tak perlu pun pergi usrah.’ Astaghfirullah.

Bagaimana dengan hadis? Majmu’ rasail? Bila pula hendak bincang tentang akhlak? Keakhawatanlah, kesihatanlah, amal jamaie-lah; isu-isu ummah lagi, baitul muslim lagi. Hendak buat baca baris demi baris kemudian bergilir-gilir baca? Sempat ke nak habiskan semua bahan? Perlu diingat, untuk peningkatan dijalankan, yang penting ialah seseorang mutarabbi itu menguasai bahan. Bukan sekadar telah ‘melalui’ bahan. Jadi, perlukah seorang murabbi itu membentangkan segala-galanya dalam liqa’ usrah?

3 paksi 1.3

[Kredit]

Maka, di situlah letaknya pentingnya keupayaan seorang murabbi mengolah bahan dengan berkesan. Adalah penting untuk seorang murabbi itu untuk mengambil bahan sedia ada-yang banyak, yang luas interpretasinya, dan, let’s face it- yang kadangkala ‘kering’ jika tak kena cara penyampaiannya; kemudian menjadikannya pengisian yang berfokus dan membina. Kerana kita perlukan rijal yang mantap kefahamannya, bukan sekadar luas pengetahuannya. Kita perlukan rijal yang menterjemahkan kefahaman itu kepada amal, yang mahu dan mampu berbakti di medan, yang boleh diharapkan untuk menambahbaik dirinya secara kendiri tanpa perlunya leteran murabbi. Sudah tiba masanya kita melahirkan rijal yang membawa penyelesaian kepada masalah dan mampu terjun ke dalam masyarakat untuk mengusahakannya, bukan rijal yang hanya pandai mengenalpasti masalah.

Andainya seorang murabbi berjaya mengolah pengisiannya menjadi berfokus dan membina, tidak perlu lagi ada slot pengisian di dalam liqa’ usrah di mana waktu sejam diperuntukkan untuk membentang satu-satu bahan daripada A hingga Z, kemudian diakhiri dengan soal jawab atau bengkel (di mana kadangkala mutarabbi pun sudah penat atau overwhelmed dengan banyaknya informasi atau fikrah yang diberi.)  Dengan ini, tidak perlu lagi seorang murabbi itu membentangkan semua perkara; cukup dengan membentangkan perkara-perkara yang perlu sahaja. Maka, tidaklah mengambil masa hingga dua tiga tahun semata-mata hendak menghabiskan kesemua bahan di dalam sesebuah marhalah itu.  Masa murabbi juga tidak lagi hanya dihabiskan untuk memastikan mutarabbi sudah ‘melalui’ bahan, tetapi kini boleh difokuskan pula terhadap penguasaan bahan.

Bagaimana hendak mengolah bahan supaya berfokus dan membina? Salah satu caranya: olah bahan yang anda hendak bentangkan berdasarkan tiga paksi pengolahan ini:

  1. Iman dan ibadah
  2. Aklak dan tingkah laku
  3. Dakwah dan harakah

Apa sahaja bahan yang anda mahu bawa untuk pengisian liqa’ anda, bentangkan isi-isi yang memenuhi tiga paksi ini. Ada enam points di dalam 3 paksi ini, boleh sahaja jika anda hendak perincikan satu isi di bawah iman, satu isi di bawah ibadah, satu di bawah akhlak, dan seterusnya. Boleh juga jika anda hendak gabungkan isi-isi untuk iman dan ibadah bersama, isi-isi untuk akhlak dan tingkah laku bersama, dan seterusnya. Ikutlah kreativiti anda, dan ikutlah kesesuaian bahan. Pokoknya, ketiga-tiga paksi ini perlu anda penuhi dalam setiap pengisian.

Anda juga boleh mencubanya sekarang. Andaikan anda hendak membentangkan tafsir surah al-Ikhlas. Apakah isi-isi yang akan anda bentangkan di bawah setiap paksi di atas? Dalam penulisan akan datang, saya akan membawakan contoh bagaimana hendak mengolah bahan berdasarkan tiga paksi ini. Insyaallah.

Advertisements