Halangan? Jadilah kapal pemecah es!

Bismillahirrahmanirrahim.

Di sebuah negri di seberang laut, terdapat seorang ikhwah. Sekarang, umurnya sudah melayakkannya dipanggil sheikh. Ceritanya, pada awal perkahwinannya dulu, dia dan isteri nekad untuk sewa rumah berasingan dari parents masing-masing. Sebabnya: nak belajar berdikari, dan paling penting sekali, supaya berada dalam suasana kondusif untuk menjaga iman mereka. Rasanya, mereka yang baru back for good dan masih tinggal dengan parents mungkin boleh relate dengan situasi ni. Ada masanya, mungkin akan ada perasaan nak lari, cari kerja dan sewa rumah lain atau paling drastik sekali, kahwin. Eherher. Supaya takde halangan nak ke program, usrah, etc.

Berbalik kepada cerita tadi… ada sekali tu, ikhwah berkenaan nak keluar rumah (untuk hal dakwah). Isterinya (yang juga seorang akhawat) mula masam muka, nangis-nangis, tak bagi suami dia keluar macam dah tak ingat dah pasal dakwah. Aduh, suami mana yang tahan tengok isteri dia sedih? Hati sang ikhwah ini mula berperang. Seperti Juraij yang diuji dengan “solatku atau ibuku?” dia pula diuji dengan “zauji au da’wati-isteriku atau dakwahku?” Aish. Gimana sih. Kalau keluar, zauji ane merajuk. TAPI masa mereka kahwin dulu, dia sendiri sedar dengan norma ketika itu: tiada murabbi yang dapat pulang malam, kerana kebiasaannya murabbi mesti pulang lewat dari 12 malam (baca: awal pagi).  Maka dia katakan pada isterinya:

“Kita ini dipertemukan oleh Allah dan kita menemukan cinta dalam dakwah.

Apa pantas sesudah dakwah menemukan kita, lalu kita meninggalkan dakwah?

Saya cinta kamu, dan kamu cinta saya; tapi kita pun cinta Allah.”

*muzik dramatik sinetron berkumandang*

Lalu ikhwah tersebut keluar.

Apabila dia pulang, sudah semestinya-lah sang isteri masam muka merajuk. Tapi, dua tiga hari lepas tu, baik semula macam biasa. Beberapa tahun kemudian, bila sang ikhwah ni penat, dah rasa lesu, isteri dan anak-anaknya yang mengingatkan.

“Eh, takde usrah ke malam ni?”

“Kenapa abi kat rumah malam ni, takde apa-apa ke?”

Berbeza pula kisahnya daripada sepasang lagi suami isteri ikhwah akhawat. Ujian yang sama berlaku, tetapi cara menanggapinya berbeza. Maka hasilnya pun berbeza. Sama, isteri masam muka, nangis-nangis, tak bagi suami keluar. Setelah berperang hebat dalam hatinya, sang ikhwah akhirnya tinggal di rumah. Aduh pedihnya tertinggal daripada liqa’. Malam itu sang ikhwah menangis-nangis muhasabah, sambil janji pada diri dia sendiri: esok tak kiralah hujan ke ribut ke apabenda ke, dia MESTI jugak hadir buat kerja-kerja dakwah.

Tengok-tengok, esoknya, baru saja dia nak keluar, bapa mertua pula datang berziarah. Gimana sih. Daddy-in-law kot. Ane kawen dengan anak dia, takkanlah bila dia datang rumah ane, ane tak layan. Maka dia pun tinggal di rumah, muhasabah nangis-nangis lagi, dan berjanji bahawa esok kalau hujan, ribut, banjir ke, taufan ke dia PASTI akan keluar jugak tak kira apa. Namun, sayangnya, setiap kali sang ikhwah ini hendak berangkat, ada saja ujian yang datang dan dia tertewas, lalu akhirnya dia tetap tidak hadir, tetap tidak keluar dan  tetap tidak menyertai ikhwah lain dalam kegiatan dakwah mereka. Kata sheikh tadi, sampai sekarang dia masih belum melihat ikhwah ini menjadi seorang yang komited.

Kadangkala, apa yang menyesakkan hati kita bila menghadapi ujian-ujian yang macam ni, ialah berlakunya pertembungan antara sebab (reason) dan alasan (excuse). Lebih buruk lagi apabila kita mula memberi justifikasi untuk alasan-alasan yang kita ciptakan. Contohnya: tidak turut serta program sebab berlaku kecemasan keluarga versus tidak hadir kerana ibu bapa tak senang dengan lokasinya yang jauh, malam pulak tu. Jika ibu bapa tidak suka, bukan ke masih boleh berpakat dengan akhawat lain untuk tolong ambil atau hantar, atau apa-apalah arrangement lain. Bukankah perkara ini boleh diubah dan dibawa berbincang?

Mengapa begitu cepat mengalah dengan situasi-situasi yang menghalang kita? Kalau dapat tawaran biasiswa tapi kena hadir dulu ambil duit dan turunkan tandatangan di sebuah pejabat di Johor, sedangkan kita tinggal di Terengganu. Rasanya tak ramai yang akan pilih untuk diam saja di Terengganu kan? Kita lebih tahu, yang mana satu sebenarnya sebab yang benar, yang mana satu hanya alasan yang kita beri untuk tidak turut serta. Dan Allah lebih tahu justifikasi yang kita berikan untuk sedapkan hati kita itu tidak akan dapat menyelamatkan kita pada hari pengadilan kelak.

Allah akan sentiasa menguji kita di titik-titik kelemahan kita, supaya kita jadi hambaNya yang lebih kuat. Tempoh masa satu paper dalam exam tak pernah lebih lama daripada tempoh satu hari suntuk kelas, tapi  ada orang yang tak tahan sabar, stress melampau-lampau, banyak merungut macam exam tu lamanya tiga belas minggu dan kelas cuma tiga jam dalam satu semester.

Nikmat yang Allah bagi kita rasa, family time, dapat kerja elok, bos baik, study bagus; kita dapat rasa semua ni jauh lebih lama dari tempoh sakitnya kita menahan ujian yang Allah bagi di jalan dakwah ni. Program sejam dua je, banding dengan berapa jam sehari kita dapat spend dengan keluarga. Syuranya pun bukan setiap malam pun. Nak kena infaq, bukan diminta seluruh harta bahkan separuh pun tidak. Berapa percent je. Bahkan nikmat-nikmat itu sendiri adalah ujian untuk kita, untuk tengok siapa yang lebih bersabar dan bersyukur.

Tapi kenapa kita yang kena susah? Kenapa tidak akhawat lain yang bagi kita ruang, kenapa tidak mereka yang mudahkan untuk kita? Kenapa mereka yang suka-suka letak expectation tinggi sangat pada kita, padahal bukan kenal kita sangat pun?

Wahai saudaraku, bukankah kita yang tatkala membaca ayat 111 surah at-Taubah, kita katakan, “wahai Allah, aku jualkan jiwa dan hartaku kepadaMu untuk syurgamu?”

Bukankah kita yang mengingatkan mutarabbi-mutarabbi kita tentang “infiru khifafan wa thiqalan?”

Bukankah kita yang dahulu paling bersemangat melompat-lompat bila membicarakan ayat 133-135 surah Ali Imran, terutama tentang bersegera dan infaq di waktu lapang mahupun sempit?

Bukankah kita yang dalam sujud tahajud dan dalam doa rabitah bersama, kita yang memohon kepada Allah supaya menghidupkan dan mematikan kita di jalan dakwah ini?

Bukan kita ke?

Maka pada saat halangan datang, wahai saudaraku. Tetapkanlah azammu dan rempuhlah ia dengan azam seteguh batu. Apa saja yang paaaling tidak menyenangkanmu dan paaaling kau beralasan untuk tidak serta, yang itulah yang paaaling kau perlu utamakan.

Jadilah seperti kapal pemecah ais. Jika kapal diam saja tidak bergerak, ais tidak akan pecah. Kemudian bila suhu makin sejuk, ais akan makin tebal dan berkemungkinan kapal itu sendiri tidak boleh lagi lepas. Tetapi, jika kapal terus meluncur laju memecahkan ais yang masih nipis, ais itu sendiri akan ‘membuka laluan’ untuknya.

[Inspirasi daripada buku Untukmu Kader Dakwah (versi pdf)]

——-

Tak mampu nak sambung Tiga paksi penyampaian dalam masa terdekat. Maaf. Hee