Kesempurnaan

Ditulis dengan penuh kasih sayang dan tulus ikhlas oleh penulis anonim.

flower-tree-growing-concrete-pavement-105Seringkali yang kita harapkan dan doakan, adalah bimbingan dan petunjuk yang jelas dari Allah. Dunia yang kelihatannya terlalu mencabar bagi sebatang pohon iman untuk tumbuh dengan subur dan teguh membuatkan jiwa-jiwa yang pernah tersentuh hidayah, terus mengharapkan secebis keimanan itu terus hidup dan mengharum. Sekurang-kurangnya, agar masih mampu meniup semangat untuk pengislahan diri. At least.

Baru sahaja ingin bangkit sekejap cuma, datang ribut taufan melayukan dahan.

Hampir-hampir sahaja tercabut akarnya.

Dipaksakan bertahan, nyaris secebis iman ini terkorban.

Pedih, sakit yang tidak tertahan.

Terkadang nafsu yang mendorong, terkadang biah yang menggoda.

Namun, jelas, bukan itu yang wajar dipersalahkan.

Bukankah telah Allah nukilkan? Kisah agung pemuda kahfi. Buat inspirasi jiwa-jiwa iman yang terbelenggu dalam kebrantakan jahiliyyah. Tauhid yang dipegang, digasak oleh pemerintah yang zalim. Lantas, mereka melarikan diri ke gua lalu berdoa. Doa penuh harap dari seorang hamba kepada Rabb-nya.

(Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”.

(18:10)

Mereka memohon agar dikurniakan RAHMAT dan disempunakan PETUNJUK  yang telah Allah berikan. Agar bila sakratul maut menjenguk, mereka tetap dalam keimanan dan tidak berganjak walau sedikit.

Agar secebis iman itu tetap mekar, walau terpaksa bersembunyi dari kezaliman.

Agar tidak terus hanyut dengan hasutan nafsu dan syaitan bila memilih untuk terpisah dari nikmat dunia.

Kerana, kita semua pernah disentuh oleh hidayah. Pintu-pintu hati kita pernah diketuk untuk mengenal Pencipta yang Agung. Namun, yang mencabarnya adalah untuk terus meletakkan hidayah itu pada tempatnya, untuk memastikan hidayah itu terus menetap di hati dalam bentuk nya yang paling sempurna. Boleh jadi, hidayah itu pernah hadir namun disebabkan kelalaian kita untuk menjaga dan memeliharanya, justeru ia terus pergi meninggalkan jiwa. Lalu, kembalilah sang jiwa itu menyukai perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dan membenci perkara-perkara yang dicintai Allah. Naudzubillah.

Doa pemuda kahfi mengajar kita banyak perkara:

  1. Hidayah itu mahal pada pemeliharaannya dan penjagaannya
  2. Hidayah yang mengetuk jiwa pada hentakan pertama tidak semestinya hadir dalam bentuknya yang paling sempurna.

Kesempurnaan hidayah itu perlu diusahakan. Ia hadir untuk menyedarkan namun jika jiwa itu tidak bermujahadah untuk mengekalkan hidayah, tidak mustahil ia akan hilang. Hidayah akan terus subur dengan tadabbur, tafakkur dan taqarrub ilallah. Ia tidak betah untuk hidup dalam jiwa yang merindui kemaksiatan dan kekufuran. Dan, tidak dinafikan,  doa yang penuh khusyuk dan kesungguhan agar disempurnakan hidayah yang telah Allah berikan merupakan senjata yang utuh bagi seorang mukmin.

Mudah-mudahan.

Semua orang bermula dengan sesuatu, melalui jalan dan cara yang tertentu namun, sungguh kita semua menginginkan yang satu.

Agar kematian kita, kematian yang baik.

Agar pengakhiran kita, pengakhiran yang indah.

Agar akhirnya, kita berjaya menjejakkan kaki di dalam syurga Allah bersama para anbiya’ dan orang-orang yang soleh.

Dan agar hidayah yang kita miliki hari ini, tetap dan terus menerus berada bersama kita setiap saat.

Allahumma ameen.

Halangan? Jadilah kapal pemecah es!

Bismillahirrahmanirrahim.

Di sebuah negri di seberang laut, terdapat seorang ikhwah. Sekarang, umurnya sudah melayakkannya dipanggil sheikh. Ceritanya, pada awal perkahwinannya dulu, dia dan isteri nekad untuk sewa rumah berasingan dari parents masing-masing. Sebabnya: nak belajar berdikari, dan paling penting sekali, supaya berada dalam suasana kondusif untuk menjaga iman mereka. Rasanya, mereka yang baru back for good dan masih tinggal dengan parents mungkin boleh relate dengan situasi ni. Ada masanya, mungkin akan ada perasaan nak lari, cari kerja dan sewa rumah lain atau paling drastik sekali, kahwin. Eherher. Supaya takde halangan nak ke program, usrah, etc.

Berbalik kepada cerita tadi… ada sekali tu, ikhwah berkenaan nak keluar rumah (untuk hal dakwah). Isterinya (yang juga seorang akhawat) mula masam muka, nangis-nangis, tak bagi suami dia keluar macam dah tak ingat dah pasal dakwah. Aduh, suami mana yang tahan tengok isteri dia sedih? Hati sang ikhwah ini mula berperang. Seperti Juraij yang diuji dengan “solatku atau ibuku?” dia pula diuji dengan “zauji au da’wati-isteriku atau dakwahku?” Aish. Gimana sih. Kalau keluar, zauji ane merajuk. TAPI masa mereka kahwin dulu, dia sendiri sedar dengan norma ketika itu: tiada murabbi yang dapat pulang malam, kerana kebiasaannya murabbi mesti pulang lewat dari 12 malam (baca: awal pagi).  Maka dia katakan pada isterinya:

“Kita ini dipertemukan oleh Allah dan kita menemukan cinta dalam dakwah.

Apa pantas sesudah dakwah menemukan kita, lalu kita meninggalkan dakwah?

Saya cinta kamu, dan kamu cinta saya; tapi kita pun cinta Allah.”

*muzik dramatik sinetron berkumandang*

Lalu ikhwah tersebut keluar.

Apabila dia pulang, sudah semestinya-lah sang isteri masam muka merajuk. Tapi, dua tiga hari lepas tu, baik semula macam biasa. Beberapa tahun kemudian, bila sang ikhwah ni penat, dah rasa lesu, isteri dan anak-anaknya yang mengingatkan.

“Eh, takde usrah ke malam ni?”

“Kenapa abi kat rumah malam ni, takde apa-apa ke?”

Berbeza pula kisahnya daripada sepasang lagi suami isteri ikhwah akhawat. Ujian yang sama berlaku, tetapi cara menanggapinya berbeza. Maka hasilnya pun berbeza. Sama, isteri masam muka, nangis-nangis, tak bagi suami keluar. Setelah berperang hebat dalam hatinya, sang ikhwah akhirnya tinggal di rumah. Aduh pedihnya tertinggal daripada liqa’. Malam itu sang ikhwah menangis-nangis muhasabah, sambil janji pada diri dia sendiri: esok tak kiralah hujan ke ribut ke apabenda ke, dia MESTI jugak hadir buat kerja-kerja dakwah.

Tengok-tengok, esoknya, baru saja dia nak keluar, bapa mertua pula datang berziarah. Gimana sih. Daddy-in-law kot. Ane kawen dengan anak dia, takkanlah bila dia datang rumah ane, ane tak layan. Maka dia pun tinggal di rumah, muhasabah nangis-nangis lagi, dan berjanji bahawa esok kalau hujan, ribut, banjir ke, taufan ke dia PASTI akan keluar jugak tak kira apa. Namun, sayangnya, setiap kali sang ikhwah ini hendak berangkat, ada saja ujian yang datang dan dia tertewas, lalu akhirnya dia tetap tidak hadir, tetap tidak keluar dan  tetap tidak menyertai ikhwah lain dalam kegiatan dakwah mereka. Kata sheikh tadi, sampai sekarang dia masih belum melihat ikhwah ini menjadi seorang yang komited.

Kadangkala, apa yang menyesakkan hati kita bila menghadapi ujian-ujian yang macam ni, ialah berlakunya pertembungan antara sebab (reason) dan alasan (excuse). Lebih buruk lagi apabila kita mula memberi justifikasi untuk alasan-alasan yang kita ciptakan. Contohnya: tidak turut serta program sebab berlaku kecemasan keluarga versus tidak hadir kerana ibu bapa tak senang dengan lokasinya yang jauh, malam pulak tu. Jika ibu bapa tidak suka, bukan ke masih boleh berpakat dengan akhawat lain untuk tolong ambil atau hantar, atau apa-apalah arrangement lain. Bukankah perkara ini boleh diubah dan dibawa berbincang?

Mengapa begitu cepat mengalah dengan situasi-situasi yang menghalang kita? Kalau dapat tawaran biasiswa tapi kena hadir dulu ambil duit dan turunkan tandatangan di sebuah pejabat di Johor, sedangkan kita tinggal di Terengganu. Rasanya tak ramai yang akan pilih untuk diam saja di Terengganu kan? Kita lebih tahu, yang mana satu sebenarnya sebab yang benar, yang mana satu hanya alasan yang kita beri untuk tidak turut serta. Dan Allah lebih tahu justifikasi yang kita berikan untuk sedapkan hati kita itu tidak akan dapat menyelamatkan kita pada hari pengadilan kelak.

Allah akan sentiasa menguji kita di titik-titik kelemahan kita, supaya kita jadi hambaNya yang lebih kuat. Tempoh masa satu paper dalam exam tak pernah lebih lama daripada tempoh satu hari suntuk kelas, tapi  ada orang yang tak tahan sabar, stress melampau-lampau, banyak merungut macam exam tu lamanya tiga belas minggu dan kelas cuma tiga jam dalam satu semester.

Nikmat yang Allah bagi kita rasa, family time, dapat kerja elok, bos baik, study bagus; kita dapat rasa semua ni jauh lebih lama dari tempoh sakitnya kita menahan ujian yang Allah bagi di jalan dakwah ni. Program sejam dua je, banding dengan berapa jam sehari kita dapat spend dengan keluarga. Syuranya pun bukan setiap malam pun. Nak kena infaq, bukan diminta seluruh harta bahkan separuh pun tidak. Berapa percent je. Bahkan nikmat-nikmat itu sendiri adalah ujian untuk kita, untuk tengok siapa yang lebih bersabar dan bersyukur.

Tapi kenapa kita yang kena susah? Kenapa tidak akhawat lain yang bagi kita ruang, kenapa tidak mereka yang mudahkan untuk kita? Kenapa mereka yang suka-suka letak expectation tinggi sangat pada kita, padahal bukan kenal kita sangat pun?

Wahai saudaraku, bukankah kita yang tatkala membaca ayat 111 surah at-Taubah, kita katakan, “wahai Allah, aku jualkan jiwa dan hartaku kepadaMu untuk syurgamu?”

Bukankah kita yang mengingatkan mutarabbi-mutarabbi kita tentang “infiru khifafan wa thiqalan?”

Bukankah kita yang dahulu paling bersemangat melompat-lompat bila membicarakan ayat 133-135 surah Ali Imran, terutama tentang bersegera dan infaq di waktu lapang mahupun sempit?

Bukankah kita yang dalam sujud tahajud dan dalam doa rabitah bersama, kita yang memohon kepada Allah supaya menghidupkan dan mematikan kita di jalan dakwah ini?

Bukan kita ke?

Maka pada saat halangan datang, wahai saudaraku. Tetapkanlah azammu dan rempuhlah ia dengan azam seteguh batu. Apa saja yang paaaling tidak menyenangkanmu dan paaaling kau beralasan untuk tidak serta, yang itulah yang paaaling kau perlu utamakan.

Jadilah seperti kapal pemecah ais. Jika kapal diam saja tidak bergerak, ais tidak akan pecah. Kemudian bila suhu makin sejuk, ais akan makin tebal dan berkemungkinan kapal itu sendiri tidak boleh lagi lepas. Tetapi, jika kapal terus meluncur laju memecahkan ais yang masih nipis, ais itu sendiri akan ‘membuka laluan’ untuknya.

[Inspirasi daripada buku Untukmu Kader Dakwah (versi pdf)]

——-

Tak mampu nak sambung Tiga paksi penyampaian dalam masa terdekat. Maaf. Hee

Laki laki

Ditulis dengan penuh kasih sayang dan tulus ikhlas oleh Nailah.

Penulis merupakan blogger tetap di blog nailahweb.wordpress.com.

–  –  –  –  –  –  –  –

laki laki

 

“Duhai, malangnya aku, akankah suatu malam nanti

Aku bermalam di Fakh, dikelilingi pohon idzkhir dan jalil,

Akankah suatu hari nanti aku minum air Mijannah

Akankah aku melihat lagi pergunungan Syamah dan Thafil”

 

Itulah bait-bait, gurindam rindu pengumandang seruan langit. Bilal bin Rabah.

Sang Bilal yang tersangat rindukan Makkah. Rintihannya dari hati yang paling dalam. Sesiapa sahaja yang mendengarkan rintihan ini bisa mengalirkan air mata kerinduan.

 

Kenapa? Kenapa harus Sang Bilal merindukan Makkah?

Kenapa harus Sang Bilal begitu mendambakan Makkah?

 

Walhal, di Makkah sana, dia digelar Ibnu Sauda’.

Walhal, di Makkah sana, tempat dia diseksa oleh Umayyah bin Khalaf.

Walhal, di Makkah sana, dia dipaksa untuk memuji Latta dan ‘Uzza.

 

Kerana dia adalah laki laki.

Kerana dia adalah ar-rijal. Ar-rijal dakwah.

Cerminan sebuah tanggungjawab, komitmen, kepekaan dan kepedulian.

 

Kerana rasa tanggungjawabnya dan komitmen dia terhadap Makkah, menyebabkan Bilal bin Rabah tak berhenti berfikir tentang segenap ceruk dan penjuru Makkah yang belum disinari Islam.

Kerana kepekaan dan kepeduliannya terhadap dakwah di Makkah, Bilal bin Rabah ingin sesegera mungkin kembali ke sana menyudahkan tugasan yang belum selesai.

 

Cuma saja saat itu, Allah belum mengizinkan.

 

“Di antara sebahagian orang-orang mukmin itu ada orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, lalu di antara mereka ada yang gugur; dan di antara mereka pula ada yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya”

Al Ahzab : 23

 

Masa untuk kita memilih, menjadi sebahagian dari orang mukmin yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah.

Di mana jua kita berada, perjanjian kita dengan Allah telah termeteri.

 

Untuk kita menjadi seperti Bilal bin Rabah, yang tetap dambakan tanah asalnya.

 

Walau di sana banyak kekurangan dan kelemahan,

Walau di sana banyak kesusahan dan keperitan,

Walau di sana banyak kenangan pahit dan jerih,

 

Selagi mana belum selesai janjinya kepada Allah.

 

“Ahadun Ahad”

 

Ramadhan: bulan daie bertapa?

Bismillahirrahmanirrahim.

Masa sememangnya tidak pernah menunggu sesiapa, dan tanpa sedar kita sudahpun makin dekat dengan pertengahan bulan Ramadhan yang mulia ini. Pastinya group chat masing-masing juga sudah penuh mesej-mesej peringatan dan tazkirah yang panjang sejak awal Ramadhan lagi. Yang membaca al-Quran satu juzuk sehari, pasti sudah hampir menghabiskan juz 15 bukan? Bagi yang gemar masjid-hopping, pasti sudah ada beberapa masjid yang anda lewati dan ada masjid kegemaran di hati. Yang menyimpan jurnal doa Ramadhan, log book tadabbur, dan sebagainya, mungkin sudah separuh buku anda tulis.

Dan tentu sekali, bagi kebanyakan daripada kita; tentu sudah setengah bulan tidak ada usrah kan?

Jika tidak ada jilsah ruhiyah, atau jika anda yang tidak hadir; dan anda tidak pula menziarahi mereka, pasti sudah setengah bulan anda tidak bertemu murabbi, adik beradik seusrah dan mutarabbi-mutarabbi anda bukan?

Bagi yang tinggal di luar negara atau yang tinggal dalam suasana asrama, liqa’ usrah mungkin tidak begitu terkesan dengan Ramadhan. Masih boleh bertemu murabbi dan usrahmates semasa iftar atau terawih di masjid atau musolla. Ada je yang boleh mengadakan liqa’, selepas subuh atau sebelum iftar misalnya; lebih-lebih lagi bagi yang mengikuti usrah secara online. Tapi selalunya, memang liqa’ usrah akan direhatkan sepanjang bulan Ramadhan untuk memberi tumpuan kepada ibadah di bulan Ramadhan.

Pernah suatu masa dahulu, saya tertanya-tanya: mengapa jika pada bulan ini, kesemua ibadah dilipatgandakan, tetapi usrah ditiadakan. Bukankah ada keperluan yang lebih banyak di bulan ini untuk saling memperingati, saling check mutabaah masing-masing supaya Ramadhan dapat dioptimakan sebaik mungkin? Bukankah pada usrah juga kita boleh mendapatkan bekalan ruhiyyah dan motivasi untuk taqarrub ilallah? Tetapi setiap kali Ramadhan tiba, begitulah. Pasti pada liqa’ terakhir sebelum Ramadhan, murabbi akan berkata sesuatu seperti :

“Ini liqa’ kita yang terakhir sebelum bulan Ramadhan. Most likely kita takde usrah bulan puasa nanti, untuk kita fokus kat ibadah. Maybe kita akan buat short session sekali dua just borak-borak, tilawah tadabbur ke (selalunya takde pon sebab kekangan masa dan urusan masing-masing). Keep in touch.” 

Lama-lama, saya belajar bahawa, bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling menuntut tarbiyyah zatiyyah seseorang. Pada bulan inilah kita diberi ruang untuk memantapkan tarbiyyah zatiyyah kita sebagai bekalan untuk 11 bulan yang akan datang. 11 bulan akan datang nanti, tarbiyyah zatiyyah masih perlu berjalan seperti biasa, kerana liqa’ usrah memang bukan tempat untuk mendapat segala-galanya. Di bawah manhaj tarbiyyah, jemaah memang cuba sedaya upaya untuk mentarbiyyah ahli-ahlinya melalui wasail yang ada.

Tetapi, realitinya, untuk menyampaikan kesemuanya hatta melalui ketujuh-tujuh wasail itupun adalah tidak mungkin, baik kerana keterbatasan waktu dan kesempatan mahupun kerana adanya tuntutan-tuntutan lain yang perlu dipenuhi para murabbi. Tarbiyyah zatiyyah-lah yang akan memenuhi keterbatasan-keterbatasan itu. Jadi, setiap ahli bertanggungjawab untuk melaksanakan tarbiyyah zatiyyah untuk memastikan dirinya terjaga, berkembang dan mampu menyumbang, bukan hanya menunggu suapan murabbi.

Maka, jika pada bulan yang kita diberi ruang untuk fokus terhadap tarbiyah zatiyyah kita pun, kita tak mampu untuk memberi komitmen terhadapnya, bagaimana nanti bila ruang untuk fokus itu sudah tiada apabila Ramadhan berakhir? Masa kita akan dipenuhi pula dengan program da’awi dan program tarbawi, liqa’ usrah sendiri dan liqa’ usrah mutarabbi, program umum, program untuk mustawa sendiri dan sebagainya. Tuntutan kerja dan keluarga pula sudah tentulah ada sepanjang tahun bukan? We are creatures of habit. Jika pada waktu lapang, kita tidak terbiasa untuk melakukan sesuatu amal, jangan haraplah kita akan mahu melakukannya apabila kita tidak punya banyak waktu.

Jadi, wahai duat, gunakanlah ruang yang diberikan pada bulan ini untuk memperbaiki hubunganmu dengan Allah, hubunganmu dengan al-Quran: baik tilawahnya, tadabburnya dan hafazannya. Mantapkan qiyamullailmu, kerana kekuatan seorang daie itu antaranya, datang dari ‘qiam dan siam’: bangun malam (untuk solat) dan puasa. Jika selama 11 bulan yang lalu anda merengek tidak punya cukup waktu untuk membaca bahan bacaan di luar bidang anda, Ramadhan inilah masanya untuk membaca buku-buku fikrah, fiqh dakwah, sirah, buku motivasi, buku peningkatan skills dan sebagainya. Janganlah hanya membaca blog-blog dan bahan bacaan ringan semata-mata; simpan itu semua untuk waktu-waktu anda sudah penat membaca bahan bacaan yang lebih berat.

 quran rose   [Kredit]

Saya setuju jika dikatakan fokus kepada ibadah di bulan Ramadhan ini. Akan tetapi, itu tidaklah bermakna pada bulan Ramadhan, seorang daie itu hanya duduk bertapa di rumah atau di masjid dan memencilkan dirinya daripada masyarakat. Baca al-Quran hingga 3 juzuk sehari, beriktikaf di masjid siang dan malam tetapi tidak sedikitpun menyantuni ibu sendiri yang masih belum bertudung, atau si abang yang terang-terangan merokok di waktu siang (contohhhh saje). Ini bertentangan dengan tarbiyyah yang diajarkan oleh Rasulullah saw yang bersifat harakiyyah. Kita tidak akan duduk diam-diam dan beribadah sendiri-sendiri sementara kemungkaran berlaku terang-terangan depan mata kita.

Maka, bagi saya, bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan untuk mendidik dakwah zatiyyah kita. Dakwah zatiyyah bukanlah dakwah fardiyyah yang bermaksud dakwah kepada individu. Tetapi dakwah zatiyyah ialah sebuah perasaan (yang membuahkan kepada amal) untuk membuat dakwah, walaupun ketika berseorangan. Contohnya, jika ia ke masjid di bulan Ramadhan dan melihat sebuah peluang untuk mengadakan sesi tazkirah sementara menunggu waktu Isyak, ia tak perlu menunggu arahan naqibah untuk melaksanakannya.  Semestinya ia perlu berbincang dan meminta izin naqibahnya. Pointnya di sini, ia mencari inisiatif sendiri untuk melakukan dakwah, bukan hanya menunggu arahan semata-mata.

Apabila peluang dakwah sudah terbuka depan mata dan hanya ada waktu yang sangat sekejap (tak sempat hatta untuk wasep naqiboh sekalipon!) untuk mengambil keputusan samada mahu atau tidak mengambil peluang itu, kefahaman yang terbina hasil usaha tarbiyyah zatiyyah mampu untuk membantu kita dalam membuat keputusan yang matang dan bernas. Membantu kita untuk berfikir di luar skop perbincangan liqa’ usrah.

Namun itu tidaklah bermakna seorang daie itu bebas untuk melanggar adab-adab amal jamaie seperti isti’zan dan syura atas nama dakwah zatiyyah. Tidaklah bermakna ia boleh bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan arahan qiyadah. Seorang daie itu perlu bijak menyeimbangkan antara meningkatkan kapasiti tarbiyyah dan dakwahnya dengan mematuhi prinsip-prinsip dan adab-adab amal jamaie. Dan keseimbangan itu tidak akan datang melainkan dengan pemerhatian ke atas orang-orang yang lebih lama dan melalui pengalaman. Maka wahai duat, beramallah, jangan hanya merancang. Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana daripada kesilapan itu kita akan belajar.

Jika Nabi Yusuf semasa dipenjarakan mampu berdakwah kepada teman sepenjaranya, jika Jaafar bin Abi Talib semasa di Habsyah boleh berhujah kepada Raja Najasyi walaupun berada jauh dari Rasulullah saw, jika Mus’ab bin Umair boleh menyampaikan islam ke Madinah tanpa adanya Rasulullah saw di sisinya; maka seharusnya dakwah seorang daie di bulan Ramadhan juga tidak patut pudar.

Bulan ini adalah bulan di mana semua orang berlumba-lumba untuk kebaikan dan berlumba-lumba untuk menjadi baik. Jika anda selama ini mahu terapkan solat berjemaah di rumah anda tetapi tidak berani, inilah masanya! Jika anda selama ini teringin mengajak rakan sekerja anda mengikuti usrah tetapi segan, inilah masanya! Jika selama ini anda mahu memberi taujihat di sekolah atau kolej lama anda, inilah masanya! Jika anda selama ini mahu menyantuni kejiranan anda tetapi tidak ada kesempatan, inilah masanya!

Inilah masanya, wahai duat;  untuk menggandakan kapasiti tarbiyyah dan dakwahmu. Rebutlah peluang yang berbaki 15 hari ini!

 

Ayat pembakar di malam hari #2

Bismillahirrahmanirrahim.

Betapa ramai murabbi di luar sana yang pernah berasa kecewa dengan binaannya…

Anda pernah mengalaminya?

Sudah kering anak tekak memberi taujihat, habis duit, habis tenaga asyik duk bonding sesh la muayasyah la ‘ngeteh’la dengan mutarabbi, tapi mutarabbi anda tetap juga tak mau ‘makan saman’, masih juga ada masalah komitmen, masih lagi tidak memberikan anda kethiqahan dan kechentaan yang anda idam-idamkan.

Itu belum lagi dikira masa yang habis untuk membina mutarabbi anda, padahal, kalau anda mahu, keseluruhan masa itu boleh saja digunakan untuk diri anda sendiri, tidak perlu dibahagi-bahagi untuk mereka. Nak bawa mereka ke sana-sini, melayan curahan hati mereka, nak dengar recording sejam tiga (itu kalau tak perlu repeat) lagi, semata-mata untuk memberi yang terbaik untuk mereka. Tup-tup mutarabbi anda tetap juga sama seakan-akan tak ada apa-apa yang berlaku.

Anda penat?

Tipu la kan kalau kata tak.

Anda kecewa?

Tipu la kalau kata tak jugak.

Mesti ada punya perasaan-perasaan ini, kalau tak banyak pon, sekelumit cuma. (Kalau langsung takde, mungkin anda perlu pergi kat cermin dan tengok ada tak bayang-bayang anda.wahaha)

Adalah normal untuk seorang murabbi berasa penat dan kecewa. Murabbi itu juga seorang manusia, walau betapa kuat dan machonya dia di hadapan para mutarabbinya. Hakikatnya, ia juga punya hati dan perasaan. Ada masanya, ia juga akan berasa down dan sedih, lebih-lebih lagi apabila ia merasakan sudah berhabis semua tapi masih tidak nampak apa-apa hasil.

Prof Dr Hammam Said dalam menggariskan prinsip dakwah yang ketiga dalam bukunya, Qawaid Dakwah Ilallah, menyatakan: pahala berdakwah terletak pada usaha dakwah, bukan pada penerimaan.

Maksudnya, pahala itu, bukan diberikan hanya apabila mad’u itu mula berubah, barulahh anda dapat pahala; dan kalau tiada apa-apa perubahan, maka anda tak dapat pahala. Tidak. Asalkan ada usaha anda menyeru mad’u anda, anda sudah dapat pahala, tak kiralah dia buat atau tidak seruan anda itu. Jika dia buat, anda dapat lebih; kalau dia tak buat, anda sudah dapat pahala suruh atau ajak dia buat. Gittuuh.

Pahala itu diberikan tak kisahlah berapa ramai mad’u yang menerima seruan anda. Bukan anda ada tiga orang mad’u, maka anda dapat kurang pahala berbanding orang ada tujuh mad’u. Yang penting, apa usaha anda terhadap mad’u anda ini. Jika yang ada tujuh madu tapi usaha pon sambil lewa, acuh tak acuh; tapi anda yang ada tiga mad’u usaha macam ada tiga ribu mad’u, maka pahala yang diberi adalah berdasarkan usaha anda.

Maka anda, wahai sang murabbi, janganlah kecewa sangat bila binaan anda seakan-akan tak menjadi berbanding binaan murabbi lain. Janganlah sedih sangat bila anak-usrah orang lain dah jadi penyampai mukaddimah muntalaq, anak usrah anda mukaddimah fi zilal pon tak lepas-lepas lagi. Tak perlulah anda down sangat bila mutarabbi anda asyik tak dapat datang daurah, hingga anda pon asyik pening macam mana nak topup, berbanding mutarabbi orang lain yang sudah ada daurah khas pula untuk mereka dek komitmen mereka yang begitu mengembang kempiskan lubang idung murabbi mereka.

Ya, ia normal untuk anda rasa sedih sikit, dan kecewa sikit. Anda juga manusia biasa bukan? Nangeslah kalau perlu, tapi jangan la sedih sangat. Okei? (Nah ambil tisu ni. Lap air mata kat muka tu)  Jiwa seorang daie itu kena besar. Perasaan daie’yah itu jangan pudar, biarpon pada produktivitinya nampak mandul. Kerana Allah mengganjari usaha anda, tidak kiralah apa pon natijah usaha anda itu.

Pon begitu…ahem.

Apabila mutarabbi anda seakan-akan tak menjadi, seakan-akan tak kena; mungkin anda juga ada sesuatu yang tak kena. Treng teng tengg.

“Mana tilawah antum?

Qiam antum buat tak?

Puasa sunat antum buat tak?

Macam mana mutarabbi antum nak jadi, kalau amal fardhi antum tak buat??!!” *tumbuk dinding*

Begitu seorang syuyukh menyentap kami dalam sebuah daurah pada awal tahun ni. Ketika itu, salah seorang daripada kami bertanyakan perihal mutarabbi yang “tak berapa nak jadi sangat despite dah buat macam-macam.” Dan serius, seingat saya, dia memang tumbuk dinding. Bukan hiperbola. Bukan exa. Dan perkara ini bukan main-main.

Bagaimana dakwah ini mahu menang, jika daienya, di luaran seperti daie, tetapi di dalam, Allahu.. mengalahkan orang jahil, padahal, dia tidak lagi jahil. Di hadapan manusia, dialah penyeru kebenaran, penegak keadilan; tapi bila berseorangan, entahkan nenek moyang jahiliyah mana yang dibuatnya. Bila bersama ikhwah akhawat, dialah tukang kejut subuh, qiam tak pernah miss; tapi bila di rumah sendiri, masih solat subuh tapi pukul 8 pagi.

Aduhai, sang murabbi. Tidak malukah anda pada mutarabbi anda? Tidak malukah anda pada diri anda sendiri?

Tidak malukah anda pada Allah?

Jika hubungan sang murabbi dengan Allah entah ke mana, jangan peliklah kalau mutarabbi susah benar nak melekat dengan ayat Allah. Kalau murabbi pon tak pernah peduli tentang tarbiyyah jiwanya sendiri, sampai terabai penjagaannya, pembersihannya, dan pembinaannya… maka tak perlu lah kot nak harapkan mutarabbi jadi insan-insan hebat di jalan tarbiyyah dan dakwah. Tak perlu. Itu bukan lagi impian dan harapan, tapi angan-angan semata-mata. Dream on, it’s not going to happen.

Belum tibakah waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk secara khusyuk mengingat Allah dan mematuhi kebenaran yang diwahyukan (kepada mereka),

dan janganlah mereka seperti orang-orang yang menerima kitab sebelum itu, kemudian mereka melalui masa yang panjang sehingga hati mereka menjadi keras. Dan banyak di antara mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah al-Hadid ayat 16 [57:16]

Apa lagi yang kita tunggu? Lihat pada diri kita, apa saja yang menyibukkan diri kita sehari-harian. Masihkah perkara remeh yang mengisi garis waktu hidup kita? Fikiran dalam kepala kita, perbuatan kita, masihkah tiada beza dengan mereka yang belum mengenal tarbiyyah, yang belum mengenal dakwah? Apa bezanya kita dan mereka? Jika benar kita ini murabbi, maka mengapa tidak kita lakukan apa yang kita serukan? Apakah kita lupa, Allah, yang kepadaNya kita menyeru manusia; akan menghisab amal kita juga sebagaimana amal mereka?

Wahai sang murabbi,

Engkau murabbi yang bersungguh-sungguh dalam mujahadahmu. Yang tak kenal putus asa dalam mendidik mutarabbimu. Bertahanlah, hai sang murabbi. Bersabarlah dan kekalkanlah kesabaranmu. Teruskanlah usaha muliamu membina ummah. Walaupon kata-katamu seolah-olah tidak memberi kesan pada mereka, walaupon mutarabbimu seolah-olah tidak akan bertambah dan yang sedia ada seperti tidak akan berubah, yakinlah: pahalamu tetap ada, di sisi tuhanMu tempatmu tetap ada. Ingatlah, walaupon hasil seruanmu di dunia seakan tiada, ketahuilah di akhirat nanti pasti ada. Mungkin juga, kau cuma perlu bersabar dan menunggu sedikit lagi, sebelum mereka mula menunjukkan sinar mereka? 😉

Dan wahai sang murabbi, terhadap dirimu, janganlah kau lupa. Bersabarlah dalam ketaatanmu, hai sang murabbi. Perjuangan yang hebat perlukan bekalan yang hebat juga. Berlaku jujurlah terhadap dakwah yang kau bawa. Insya Allah, kelak kau akan berbahagia.

 

[Kredit]

Jiwa syurga

Bismillahirrahmanirrahim,

lan tasqut

 [Kredit]

 

1230

Saat ini, sudah 1230 jiwa yang terbang pulang ke kampung halaman mereka

Saat ini, jiwa-jiwa itu sedang bergembira dengan nikmat yang Dia sediakan di sana.

Saat mereka di dunia, dunia ini bagaikan neraka buat mereka.

Terkepung, terperangkap, tersekat, serba kekurangan. Serba tidak ada.

 

Rumah-rumah mereka, yang berapa tahun lamanya masa untuk dibina, ranap.

Padahal, rumah-rumah itu bukan sekadar batu dua tiga tingkat bernama ‘rumah’.

Tapi di situ cinta terjalin. Kasih sayang tumbuh mekar. Memori tercipta. Tempat membesar dan dibesarkan.

Satu saat saja, ranap.

Terbayang di mataku, rumahku sendiri.

Di dalamnya ada ayah ibuku, di situ tempat aku belajar masa nak exam dulu-dulu, ruang tamu tempat tengok tivi, dapur tempat masak dan meja makan yang meriah masa raya, bilik adik tempat kami main game masa kecik sikit dulu.

Rumah itu, yang kadangkala menerpa saat kerinduan itu datang;

Terbayang di mataku andai ada satu masa, aku melihatnya hanya tinggal debu dan batu, asap dan abu kelabu. Allah.. kuatnya kalian, hai pemilik jiwa-jiwa syurga!

 

Yang kecil, yang besar, yang tua, yang muda, berserakan tompokan darah di badan kalian.

Berterabur serpihan daging kalian,

Wajah-wajah kalian diselaputi campuran debu dan darah, namun pada wajah-wajah itu juga; tersimpul senyuman.

Senyuman mereka yang mencapai seni kematian paling indah-syahid! Subhanallah!

Aku yang tertinggal ini, betapa aku cemburu dengan kalian!

 

Hai jiwa-jiwa syurga yang telah dahulu mendahuluiku,

Dan jiwa-jiwa syurga yang masih menunggu-nunggu giliran untuk pulang,

Ancaman mereka tidak menggetarkanmu

Kekejaman mereka tidak menggoyahkanmu

Keperitan tidak melunturkan imanmu

Malahan kalian makin kuat bersemangat. Makin teguh. Makin meninggi keinginan bertemu pencipta dengan iman menebal di dada!

Subhanallah!

 

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur.

Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).

Surah al-Ahzab ayat 23 [33:23]

 

Sang ibu menitis air mata melihat anaknya gugur,

Tapi sang ibu itu juga yang sujud syukur atas sebab yang sama.

“Anakku syahid alhamdulillah!”

“Aku ummu syuhada!”

 

Sang bapa yang merangkul erat tubuh-tubuh kaku anak mereka

Yang mencium apa saja anggota yang masih tertinggal.

Namun sang bapa yang sama mengucapkan ikrar yang padu:

“Aku akan menuntut bela untukmu anakku!”

 

Allahu, sang ibu dan bapa ini. Cahaya mata kalian baru diragut dari kalian.

Tapi apa kata jiwa-jiwa syurga ini?

“Tiada apa yang lebih membahagiakan kami dari anak-anak kami yang terlebih dahulu masuk syurga dari kami.

Dan kami akan menyusul mereka!”

 

Dan si kecil, bagaimana pula dengan si kecil?

Allahu, kalah aku pada jiwa-jiwa syurga dalam tubuh-tubuh kecil itu!

“Ayahku syahid, abangku syahid, kelak akan tiba giliranku!”

 

Wahai jiwa-jiwa syurga sekalian,

Malunya aku membandingkan diriku dengan diri kalian,

Apa rahsia kalian, begitu hebat menanggapi ujian?

(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata

“Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepadaNya lah kami kembali.”

Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Surah al-Baqarah ayat 156-157 [2:156-157]

 

Apa sangatlah ujian-ujianku jika dibandingkan dengan ujian-ujian kalian,

Kalian sudah lama melepasinya,

Aku ini sahaja yang berkali-kali terpaksa mengulanginya.

Apa sangatlah yang terlalu meyesakkan dadaku berbanding dengan kalian

Apa sangatlah yang memberatkanku berbanding kalian

Apa sangatlah.

Apa sangat sajalah.

Jiwa yang menggerakkan tubuh ini, apa layakkah digelar jiwa syurga seperti kalian?

T_T

Wahai jiwa yang tenang!

Kembalilah kepada tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya.

Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,

Dan masuklah ke dalam syurgaKu.

Surah al-Fajr ayat 27-30 [89:27-30]

Tunggu aku.

Tunggulah aku di kampung kita itu.

Ya?

Kurus kering

Bismillahirrahmanirrahim

Jannah menolak perlahan pintu biliknya. Teman sebiliknya sudah lama terlena, sudah hampir pukul 12 malam pun. Tapi dia baru saja pulang lepas menghantar anak-anak usrahnya ke rumah masing-masing. Baru hendak mula menelaah pelajaran dan menyiapkan kerja setelah seharian ke kelas dari pagi hingga pukul 5 dan kemudian pukul 8 berusrah dengan anak-anak usrah terchenta.

Perlahan-lahan, dengan seminima mungkin bunyi, Jannah membuka suis lampu mejanya dan menukar pakaian. Memakai dua tiga lapis baju tebal, membalut kakinya dengan selimut dan duduk di hadapan meja belajarnya. Sejuk. Dan sejuk itu mengundang rasa mengantuk. Dia juga sudah penat. Kelas baru naik dari cuti musim sejuk dua minggu lalu, tapi Jannah berasa seakan-akan dia tak pernah bercuti pun.

Sejak hari pertama cuti, hingga hari terakhir, dia sibuk menguruskan program untuk adik-adik. Ke sana ke sini membeli barang. Meninjau tempat. Memikirkan aktiviti. Menyediakan kelengkapan. Meeting. Sudahlah dia juga salah seorang penyampai. Banyak persediaan yang perlu dilakukan. Di hari-hari program lagilah. Tercungap-cungap juga dia hendak menjaga mutabaah amal hariannya. Hingga terlentok-lentok membaca quran dan tertidur dalam sujud masa qiam.

Sebaik habis program, kelas pun bermula. Buku-buku dan nota-nota semester lepas tak sempat lagi dikemasnya, sudah perlu ditukar baru untuk semester baru. Siang ke kelas dari pagi hingga petang, malam dia ke rumah adik-adiknya. Atau menghadiri usrahnya sendiri. Kemudian menelaah pelajaran atau menyiapkan kerja. Hujung minggu dia sibuk lagi. Mengajar budak-budak mengaji, menziarahi rakan-rakan atau kakak postgrad, mengemas rumah. Penuh. Jadual waktunya padat.

Tidak dinafikan, Jannah berasa penat sekali. Memberi, memberi dan memberi. Mujur dia masih mengekalkan tilawah dan tadabburnya. Mujur usrahnya masih berjalan. “Kalau tidak,” fikirnya; “mesti aku mati kering. Sibuk duk program adik-adik, program untuk aku takde. Sebbaik ade usrah.” Ewahkau.

Jannah menghidupkan komputer ribanya dan terus ke portal universitinya. Ada kerja yang perlu disiapkan. Esei 1500 patah perkataan perlu dihantar dua minggu lagi. Minggu depan ada ujian dalam tutorial, merangkumi tajuk yang telah dipelajari selama dua minggu itu. Dan untuk esok? Dia perlu menyalin kembali nota petang tadi kerana kantuknya mengakibatkan bukunya dicemari cakar ayam yang mungkin ayam pun tak faham nak baca. Eh.

Sekali dua, Jannah menguap. “A’uzubillahi minasy syaitonirrajimm mengantuknya ya Allahh…”

Jannah merenung komputer ribanya buat seketika. Di latar belakangnya terdengar nafas panjang dan aman teman sebiliknya yang nyenyak tidur. Matanya terpandang jam di penjuru bawah kanan desktopnya. Dengan tak semena-mena, sebak dan air mata itu datang. Entah dari mana. Jannah gagal mengawal perasaannya lantas menutup mukanya dengan tangan lalu menangis. Menangis.

Sungguh, dia amat penat. Badannya letih. Dan jiwanya pula terasa kering. Kering yang amat.

* * * * * * *

Saya pasti, ada di antara kita pernah merasakan perkara yang sama. Rasa ‘kering’ kerana kita asyik memberi, asyik mendakwah orang, tapi tarbiyyah sendiri entah ke mana. Hilanglah tilawahnya, hilang tadaburnya, terhenti hafazannya, tak bersambung bacaan bukunya, terabai mutabaah amalnya; dek terlalu sibuk dengan ‘kerja dakwah’. (sibuk la sangat kan. dush)

Bak kata sebuah video yang pernah popular di Youtube satu masa lalu, “dakwah-dakwah, mana lu punya tarbiyyah?!”

Maka, di situ, terdapat sebuah persoalan. Bila pertama kali saya mendengarnya, seperti terbuka horizon baru di pemikiran saya. Seperti disimbah air sejuk saat mata baru terbuka untuk bangun bersahur. Seperti..alah fahamla kan. ehee.

Soalannya:

Kenapa daie itu, tidak melihat kerja dakwahnya sebagai tarbiyyah Allah untuk dirinya?

Bahkan. Apa yang membuatkan daie itu tidak merasakan kerjanya menyeru manusia kepada Allah itu suatu bentuk didikan penuh kasih sayang dari Allah?

Ya, saat kita mendakwah kita memberi. Dan seorang daie sejati tidak akan mengharapkan pun untuk menerima apa-apa kembali bila dia memberi. Dia lah yang mencurahkan ilmunya, fikrahnya, kasih sayangnya; kepada yang objek dakwahnya. Jika mereka berkongsi ilmu mereka dengannya, itu bonus. Jika mereka membalas kasih sayangnya, itu bonus. Dia tidak mengharapkan apa-apa saat dia mentarbiyyah orang.

Jadi apakah sebab daie itu berasa kering dari tarbiyyah setelah dia mentarbiyyah?

Ikut logik akal, memang, sebuah bekas yang penuh berisi air, kalau dituang dan dituang keluar airnya, tanpa ditambah semula, lama-lama akan kering bukan?

Di sini letaknya beza itu. Siapa kata saat daie itu mendakwah dan mentarbiyyah, berlaku pencurahan keluar?

Bahkan, seandainya daie tu dianalogikan sebagai belon air yang gemuk, saat dia mendakwah dan mentarbiyyah, sebenarnya air makin banyak masuk ke dalam belon tu. Makin gemuk dan gedebab belon tu.

Tapi, hanya jika daie itu melihat kerja dakwah dan mentarbiyyahnya itu, satu bentuk tarbiyyah buat dirinya.

Kalau dia tidak melihatnya begitu, maka terjadilah. Seperti kes di atas. Kerja, kerja, kerja kemudian penat, lapar, dahaga, kurus kering. Kemudian bai-bai.

Kenapa saya kata macam tu? Tengok ni ea. Nak bergaul dengan orang, satu hal. Nak sampaikan mesej pada orang, satu hal lagi. Nak tau bila, macam mana nak sampaikan mesej pada orang, satu hal lagi. Nak buat apa lepas orang terima mesej, macam mana nak tau orang terima ke tidak, nak buat macam mana kalau mesej tak sampai, macam-macam lagi.

Nampak tak?

Banyak perkara yang kita boleh belajar. Bersabar dengan orang, berlembut, cakap ikut tahap pemikiran orang, berlapang dada, melebihkan orang, empati, maaaacamm macam. Pengalaman yang kita dapat, kemahiran yang terasah, baik manis atau pahit, mendewasakan atau tidak, hebat atau tidak, apa itu bukan tarbiyyah ke namanya?

Saat mendakwah dan mentarbiyyah orang, kita nampak betapa besarnya nikmat Allah kerana telah meletakkan kita pada posisi memberi. Agungnya ciptaan Allah yang bermacam ragam dan gaya. Baru kita hargai pengorbanan mereka yang bersusah payah mentarbiyyah kita dahulu. Baru kita tau, tak mudah rupanya nak sampaikan mesej islam itu pada manusia. Bayangkan, Rasululullah s.a.w dahulu macam mana? Sesaknya dada, tapi diletak ke tepi je sesak tu supaya kita umat dia ni yang tak pernah jumpa dia dapat rasa nikmat iman dan islam. Baru kita belajar. Baru kita faham.

Tarbiyyah Allah kepada kita, amat luas. Bermacam cara. Ya, saya yakin usrah itu jalan paling berfokus untuk mendapat tarbiyyah. Saya juga yakin, program yang disusun khusus untuk kita juga, akan memberi kita tarbiyyah yang cukup padu.

Yang saya ingin tekankan, ialah; janganlah membataskan kita menerima tarbiyyah hanya dari program dan usrah semata-mata. Usrah itu bagi saya, suatu keperluan yang tidak boleh tidak ada. Tapi, kalau kita membataskan dapat tarbiyyah hanya dari usrah, itu yang  bila usrah batal atau takde program terus rasa tak bersemangat, lemau lah nak futurlah.

Tengoklah Mus’ab bin Umair dan Jaafar bin Abi Talib. Seorang dihantar ke Madinah dan seorang pula jurucakap umat islam di Habsyah. Rasulullah s.a.w pula di Mekah. Zaman takde wasep, takde fon, macam mana nak hubungi murabbi? Mereka berdua ni pendakwah dan pentarbiyyah tegar. All out untuk dakwah. Semua pintu diketuknya Mus’ab tu. Habis sentap, terharu dibuatnya Raja Najasyi tu mendengar hujah Jaafar. Kalau ikutkan pemahaman macam cik Jannah tadi, mesti diorang dah lama rasa kering, rasa “alaaa aku nak balik Mekahla cenggini, asyik aku je bagi, tak dapat pon tarbiyyah.” Kan?

Tapi mereka tidak begitu. Dakwah mereka kekal mantap dan hebat, walaupun tidak mendapat input. Semangat mereka kekal tinggi, gerak kerja terus melaju, tanpa menoleh ke belakang atau tercungap-cungap tak cukup nafas. Mereka kekal gemuk dan sihat, lantas menggemukkan orang lain.

Seharusnya, seorang daie itu, melihat setiap perkara yang berlaku ke atasnya di jalan dakwah dan tarbiyyah ini, sebagai satu bentuk tarbiyyah dari Allah. Dengan itu, dia tak akan pernah kering. Takkan pernah sekali-kali dia kering. Semakin banyak dia memberi, makin banyak pula dia menerima. Insyaallah

kurus kering

Daie gemuk sedang mengejar mad’u nya. wahaha

[Kredit]

Oh. Tapi itu bukanlah alasan untuk tidak menjaga mutabaah amal ye. Mutabaah amal harian sendiri tu indikator keseriusan kita menjaga hubungan dengan Allah.

“Ala kena ke habiskan tilawah harini? Kan kita tengah buat program untuk adik-adik ni? Besar tarbiyyahnya kat situuu.”

Saya gigit nanti baru tahu.

_ _ _ _ _ _

Manfaatkan baki ramadhan jom! Tembakkan doa sebanyak-banyaknya buat saudara-saudara kita terutama di Gaza sana 🙂