Jangan tidur dulu!

Bismillahirrahmanirrahim.

[Disclaimer: Ini adalah sebuah cubaan menulis cerpen seram]

Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Bunyi-bunyi di luar biliknya menandakan rakan serumahnya sudah bangun dan sedang menggunakan bilik air.  Ringtone ‘walk in the forest’ berbunyi dari telefon pintarnya, mematikan lamunan Shak. Rakaat pertama tadi, punyalah nikmat Shak rasakan bila dapat berdoa panjang-panjang, puas-puas. Lama-lama lebih banyak berangan daripada doa. Sampailah sujud terakhir solat witirnya, tanpa sedar Shak sudah separa terlelap sehinggalah dikejutkan alarm tadi. Takpelah, still okeilah qiam belum miss lagi bulan ni.

Sesudah solat Subuh, Shak cepat-cepat bersiap untuk ke kerja. Jadualnya sedikit padat hari ini. Ada mesyuarat guru hingga pukul 4 petang, kemudian malam nanti pukul 8 dia ada usrah. Walaupun dia hanya guru gantian, namun keadaan sekolah tempatnya bertugas yang kekurangan guru menyebabkan beban kerjanya agak banyak juga. Pun begitu, Shak berasa bahagia dalam kesibukannya. Guru-guru lain di sekolah itupun, menerimanya dengan baik. Mengenakan shawl atau tudung labuh tapi berperwatakan bersahaja dan ceria, tentu sekali Shak disenangi dan disayangi guru-guru lain yang lebih senior lebih-lebih lagi kerana dia juga seorang yang ringan tulang.

Sehingga petang itu, so far, so good. Semua kerjanya beres dan murid-muridnya seperti berkelakuan lebih baik daripada biasa. Hari ini dia tidak perlu berleter kepada si Adamia 4 Dahlia tu, yang selalunya akan tertinggal buku latihan di rumah. Dan kerja sekolah si Hanif 5 Anggerik tu pula lebih kemas dan siap sepenuhnya, tidak seperti selalu. Selalunya, mutu kerja si Hanif tu pasti akan menyebabkan darahnya naik. “Dahlah tak siap, comot, lambat hantar pulak tu!” selalu menjadi komentar dalamannya untuk kerja sekolah Hanif.

Harapnya mesyuarat harini cepat habis. Bolehla masak then rehat kejap before usrah. Yezz tak sabar nak usrah. Harini bincang topic favourite.

Seminggu yang lalu, naqibahnya telah menugaskan dia dan adik-beradik seusrahnya untuk melakukan sedikit pembacaan sebagai persediaan usrah minggu ini. Pada hari itu juga Shak menghabiskan bacaan itu, siap buat nota dan dan menulis ulasan di blognya. Nak katanya punyalah bersemangatnya. Namun-hampa. Pada pukul 7.03 petang, naqibahnya menghantar mesej ke group whatsapp usrahnya:

“Assalamualaikum adik2 yg disayangi kerana Allah. Akak mohon maaf kerana x dapat meneruskan perjumpaan kita malam ni. Kesihatan akak x mengizinkan *emoji muka sedih berpeluh* *emoji heartbreak*

Mohon PM akak ya homework yang akak kasi. Jzkk “

Adoyaii tak jadi pulakk. Cepat saja Shak membalas mesej itu dengan

“Syafakillah akakk *emoji bunga ros*”

dan kemudiannya dalam masa kurang 3 minit selesai menghantar gambar nota-notanya dalam mesej peribadi kepada naqibahnya.

Hmmm.. bosanlah. Apa kata kita..Kita baca bukulah. Takyah bukak laptop. Kalau tengok laptop tu ada tendency untuk..

Tangan Shak pantas menghidupkan komputer riba yang hampir setiap masa ada di atas meja tulisnya. Dia dan komputer riba itu mempunyai sejarah yang panjang bersama. Sejak ‘zaman jahiliyah’nya, itulah komputer riba yang digunakan. Games, chatting, drama Korea, muat turun filem secara haram, dan macam-macam laman web yang pelik-pelik sudah dia lawati dengan komputer riba itu. Setelah dia mengenal tarbiyyah, itulah juga yang digunakannya untuk menyampaikan daurah, berusrah online serta membaca dan menonton bahan tarbawi. Orang lain sudah bertukar komputer riba setelah tamat zaman belajar, namun komputer ribanya yang satu ini masih gagah dan berfungsi seperti baru. Shak selalu berasa bahawa komputer ribanya itu panjang umur kerana dia masih belum sehabis baik memanfaatkannya.

Bayyinah Institute, Quran Weekly, Merciful Servant. Khusyuk Shak melayan video-video di saluran-saluran YouTube tersebut hingga tak sedar azan Isyak sudah berkumandang. Pada suatu ketika, Shak menghentikan sebentar video yang sedang ditontonnya lalu menanggalkan earphone di telinga.

Macam ada orang ketuk pintu tadi.. ada orang nak ajak solat kot tadi Hmm takpelah.

Shak kembali menonton video tadi. Sekonyong-konyong matanya terpandang jam di bucu monitor komputer ribanya. Tapi dah pukul sembilan ni… aku belum solat lagi. Okay, ni last video.

*Enam (atau lapan kot.Entahlah) video kemudian*

Ya Allah, dah pukul 10 lebih! Gila lah. Terbayang-bayang di benaknya wajah naqibahnya dan apa yang mungkin dikatakannya kepada Shak jika dia melihat perbuatan Shak sekarang. Shak segera menekan butang sign out dan menunggu halaman tersebut dihalakan semula ke halaman asal sebelum dia memadamkan rekod pautan-pautan yang telah dilawatinya hari itu. Tabiatnya dari dulu: sign out, clear history. Ataupun incognito mode. Tak perlu padam-padam. Dan Allah pula memelihara aibnya. Tak pernah kantoi. Belum sempat dia menutup tab YouTube itu, matanya terpandang senarai video-video yang sedang trending.

Return of Batman Episode #444 *New* Watch Sang Ilkuk…. 97k views

No, Shak. Kita dah tinggalkan dunia tu. Tutup tab tu cepat! Better kau solat. Tilawah tak abes lagi kan?  Hmm tadi baru tengok kat Facebook kata parenting skills dia orang Barat pon puji.

Hmmm…

Apa salahnya. Parenting skills pon ilmu bermanfaat. No, Shak! Not too late untuk tutup! *open in new tab*

Kalau tadi semasa dia sedang menonton video Islami Shak terdengar-dengar seperti orang mengetuk pintu untuk mengajaknya solat, kali ini lain pula. Terasa.. diperhatikan. Sekejap-sekejap Shak memandang pintunya, untuk melihat samada biliknya berkunci atau tidak. Sekali dua dia bangun dan memastikan pintunya rapat dan tombolnya berkunci. Sekejap-sekejap dia menghentikan sebentar video. Macam dengar bunyi kat pintu tadi. Setiap kali habis satu video, dia membiarkan sahaja YouTube memainkan video yang ada dalam playlist berkenaan. (Padahal kalau video Islami pasti dia akan klik ‘Autoplay off’.)

0:00 AM. Seriously, Shak? Kau ni, mengalahkan anak usrah kau! Sayonara jahiliyah konon.

Terus Shak terbayangkan satu persatu wajah anak usrahnya yang bersebelas itu. Teringat lagi bagaimana reaksi mereka sewaktu dia menyampaikan tajuk Sayonara Jahiliyah dalam usrah beberapa bulan yang lalu.  Tiba-tiba, bunyi-bunyi asing yang bukan dalam bahasa Korea kedengaran di telinganya, menyebabkan Shak kembali fokus kepada video yang sedang bermain di monitornya.

Sekali pandang saja, Shak tahu dia tidak patut menonton video itu. Orang Islam yang tak ikut usrah pon tahu berdosa tengok, Shak! Namun entahlah. Entahkan salahnya pada solatnya kah. Entahkan salahnya pada qiamnya kah. Atau tilawahnya kah. Entahkan pada usrahnya. Entahlah silapnya di mana, namun Shak tewas dalam mujahadahnya malam itu. Dunia silam Shak yang kelam, yang sudah bertahun dia tinggalkan sejak ditarbiyyah, pada malam itu seperti meraikan kepulangan Shak. Satu demi satu ditontonnya, dan setiap kali, hatinya diserang rasa resah dan bersalah tetapi dia seakan-akan tak berdaya berbuat apa-apa.

Hatchuu!

Alhamdulillah.”

Spontan kalimah itu meluncur daripada mulut Shak setelah bersin. Shak tersentak. Kau bersin, kau sebut nama Allah konon kau ingat Allah lah. Yet relax je kau buat maksiat ye? Berhentilahh, Shak.  Solat. Then solat taubat sekali before tido tu.

Ustaz Ilyas Uthman (bukan nama sebenar) pernah berpesan dalam salah satu daurah yang pernah Shak hadiri. Katanya, salah satu amalannya: selepas muhasabah sebelum tidur, dia akan menilai samada hari itu lebih baik atau lebih buruk dari semalam. Jika lebih buruk, dia akan bangun daripada katilnya dan solat sunat taubat dua rakaat dahulu baru tidur. Shak sering berkongsi pesanan itu kepada anak-anak usrahnya dan adik-beradik usrahnya yang baru.

Shak melihat jam. Sudah pukul 2.30 pagi.

Kalau tido dulu, then bangun before masuk Subuh, solat Isyak pastu solat taubat. Dah kira qiam. Lagi untung.

Jangan Shak. Kau pon tahu kalau tido sekarang mesti terbangun lepas azan Subuh. Solat je lah sekarang. Lagipon, kalau mati time tido camana

Ahh tido dululah. Shak mematikan komputer ribanya dan menekan suis lampu lalu terus berbaring atas katilnya. Nikmatnyaa baring.. sakit tengkuk. Dalam separa kegelapan, Shak terkebil-kebil menetapkan alarm baru dalam Galaxy Note-nya. 4.00AM, 4.30AM, 5.00AM. Paling last before Subuh, 5.40AM. Tolong bangun okei, Shak. Kau tak solat Isyak lagi ni. Kot ye pon tak sempat solat taubat tu at least kena solat Isyak. Keluar dari aplikasi jam, Shak terpandang pula ikon aplikasi Instagram. Woi tidolah! Nanti tak bangun karang. Shak memadamkan telefon pintarnya dan menutup matanya. Tak sampai setengah minit kemudian, Shak terus terlelap.

Jam menunjukkan pukul 5.40 pagi. Bunyi-bunyi di luar bilik Shak menandakan rakan serumah Shak sudah bangun. Ringtone ‘walk in the forest’ kedengaran dari bilik Shak buat kali keempat pagi itu. Cuma saja seorang Shak sudah tidak mampu lagi mematikan alarm itu. Seorang Shak sudahpun pergi menghadap Allah kurang tiga jam yang lalu.

certot

[Kredit]

——

Cerpen yang diinspirasikan oleh sebuah status twitter (gambar). Banyak tema yang saya cuba selitkan dalam cerpen ni. Terbuka kepada interpretasi masing-masing.

p.s: Kalau anda tak faham kenapa dengan ayat-ayat yang di strikethrough itu: kononnya situasi mujahadah melawan nafsu lah :B

p.p.s: Maaflah kalau bukan seperti cerita seram yang anda jangkakan.Wahaha

Abadan abada V

Bismillahirrahmanirrahim

Meja tulis Ayyid Saghyir bergetar bersama getaran telefon pintarnya. Mesej baru di wasep. Ayyid Saghyir melihat skrin telefonnya. Kalau mesej bukan-bukan entah dari siapa, malas dia hendak membukanya. Orang tengah busy ni, dahlah addmaths macam hape..

Madzlan Mansur @The Ummah Avengers: Assalamualaikum semua..

Pantas jari Ayyid Saghyir menyentuh skrin telefon pintarnya dan memasukkan kod rahsianya, lalu terus membuka aplikasi wasep. Lan baru saja menghantar mesej ke wasep group usrah mereka. Ayyid Saghyir suka dengan mesej-mesej di Lan wasep group mereka ini, kerana Lan selalu tau banyak video best. Selalu saja Lan berkongsi pautan ke video-video best dari youtube. Namun, mesej Lan pada hari itu benar-benar meruntun jiwanya.

Assalamualaikum semua (emotikon nangis) Saya ada berita buruk ni. Ayah baru je meninggal pagi tadi. Accident nak ke tempat kerja (3 emotikon nangis)

Sesiapa yang boleh, datangla rumah saya. Doakan ayah saya plis. Mama dah tak keruan. uhuu.

Yang pertama sekali membalas mesej itu, Ayyid. Mengucapkan takziah dan meminta Lan untuk banyak bersabar. Kemudian berjanji akan ke rumahnya masa rehat makan tengah hari nanti. Ayyid Saghyir juga menghantar mesej lebih kurang dengan mesej Ayyid. Kemudian, dia segera menghantar mesej kepada Che’, mengajaknya pegi bersama. Hari itu, sekolah mereka berdua cuti kerana semalam hari sukan. Abdullah pula sudahpon berkata dengan gaya machonya seperti biasa, “Otw bro. We’re there for you. Don’t worry okeh.”

Sedang Ayyid Saghyir bersiap-siap, pintu biliknya diketuk orang, kemudian dibuka dari luar. Ibrahim menjengukkan mukanya di pintu bilik anaknya.

“Eh, awal papa balik?”

“Ha’ah, ni balik kejap. Ayyid ada dengar pasal Dato’ Mansur tak?”

“Ada, pa. Ayyid baru je nak pegi dengan Che’.”

“Jom. Kita pegi sekalilah.”

Ketika Che, Ayyid Saghyir dan Ibrahim tiba di rumah Lan, rumah itu sudah mula dipenuhi orang. Wanita, kanak-kanak, orang tua. Yang paling ramai, lelaki-lelaki dewasa berkot dan berkemeja siap bertali leher. Rakan sekerja arwah agaknya. Mungkin kawan-kawan papa jugak, fikir Ayyid Saghyir. Benar fikiran Ayyid Saghyir. Ibrahim menyuruh dia dan Che’ masuk dulu sementara dia pula ke arah beberapa lelaki yang berdiri seperti dalam sebuah bulatan pula di laman rumah yang besar itu. Sebaik tiba di ruang tamu rumah Lan, tangan Ayyid Saghyir dan Che’ ditarik orang. Lan.

“Korang. Tolong bacakan yassin untuk ayah please. Tolong doakan. Apa saja. Aku dah tak tau apa nak buat. Dari tadi ramai orang, tapi aku, tok imam and sorang pacik ni je yang duduk baca yassin and doakan ayah. Please.”

Mata Lan bergenang dengan air mata. Tiba-tiba saja, Lan memeluk mereka dan akhirnya menangis perlahan-lahan di bahu Ayyid Saghyir. Ayyid Saghyir menggosok-gosok belakang Lan. Dia juga tidak mampu berkata apa-apa. Di tengah-tengah ruang tamu Lan yang dihias cantik dengan gaya Bali, kelihatan sekujur tubuh bertutup kain batik. Arwah Dato’ Mansur. Sudah siap dimandikan dan dikafankan. Di penjuru kanan dalam rumah itu, orang-orang perempuan sedang duduk dan berbisik-bisik atau berborak dengan suara rendah. Sesekali terdengar suara bayi menangis. Dua orang budak perempuan kecil berlari-lari sekeliling ruang tamu, dan kemudian dimarahi ibu mereka.

Di penjuru kiri pula, orang lelaki. Tapi yang duduk di dalam, rata-rata agak berumur. Adalah seorang dua membaca yasin. Yang lebih muda, ramainya di luar. Yang berkemeja dan berkot tadi, kebanyakannya merokok dan berbual. Ada juga yang sudah masuk ke dalam melawat jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Lan.

Sesudah menyapa rakan-rakan sekerjanya, juga sesudah menyapa bos dia dan arwah Dato’ Mansur yang turut hadir pada hari itu, Ibrahim masuk ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakannya itu. Tidaklah rapat sangat, cuma pernah beberapa kali bekerjasama dalam beberapa projek yang sama. Sebaik masuk ke dalam rumah itu, telinganya menangkap suara anak-anak remaja membaca yassin. Matanya mencari-cari sumber suara-suara itu. Bila matanya terjumpa sumbernya, Ibrahim melihat sebuah pemandangan yang mengharukannya.

Di sebelah sekujur tubuh itu, ade tiga orang anak muda. Lan, Abdullah dan Che’, rakan karib anaknya. Abdullah paling tua, lapan belas ke sembilan belas tahun, dia sendiri tidak ingat lagi penerangan anaknya. Kedua, Lan, tujuh belas tahun. Che’ pula setahun lebih muda, sebaya anaknya. Mereka sahaja yang sedang membaca yassin, termasuk seorang pacik tua yang dia tidak dia kenali. Padahal tetamu yang datang boleh tahan ramai. Rakan sekerjanya yang lain, semua bersembang kosong saja di luar. Tadi, dia sendiri tak terkecuali.  Sayu dia melihat anak tunggal arwah Dato’ itu tersedu-sedu membaca yassin.

Oh tuhan. Aku tak pernah ajar Ayyid baca quran. Nanti siapa yang akan baca kalau esok aku mati?

Sekonyong-konyong Ayyid Saghyir muncul dari arah belakang rumah Lan. Dari tandas agaknya. Tumpah air mata Ibrahim bila melihat Ayyid Saghyir mengeluarkan sebuah quran kecil warna merah dari poketnya lalu duduk di sebelah Lan dan mula membacanya. Allah..

Semasa zuhur, Ayyid tiba di rumah Lan. Sampat Ayyid memberi salam kepada Ibrahim, namun, Ibrahim ketika itu sedang sesak melayan perasaaannya. Ibrahim seperti sedang termenung jauh. Selepas solat zuhur, imam masjid kawasan perumahan itu mengajak semua orang yang mahu untuk mengerjakan solat jenazah. Ibrahim berasa tak senang duduk pula. Dia sudah ingat-ingat lupa dah cara mengerjakannya. Diam-diam, dia cuba menyelit ke saf belakang sekali. Dan di saf paling depan? Beberapa orang pacik tua. Dan sebaris anak-anak muda. Lan di belah kiri imam. Ayyid pula di  sebelah kanan. Dan di kanan Ayyid,  anak lelakinya, kemudian Abdullah dan Che. Sekali lagi Ibrahim berasa sebak. Sepanjang solat empat takbir itu, (yang terasa amat panjang sekali dek ketidakpastiannya dalam mengerjakannya), Ibrahim menangis.

Selesai solat, Ibrahim terus bergegas mendapatkan anaknya. Di hadapan semua orang, dia memeluk erat tubuh kurus Ayyid Saghyir. Dia menangis sehingga air matanya membasahkan rambut Ayyid Saghyir. Dan air mata Ayyid Saghyir juga tumpah pada hari itu.

Lama Ibrahim memeluk Ayyid Saghyir begitu. Tanpa sebarang kata-kata. Hanya sedu tangisnya sahaja kedengaran. Lama sekali, hingga orang yang dari tadi memandang tidak lagi peduli akan mereka. Masing-masing sudah mula mengerjakan urusan masing-masing. Jenazah arwah Dato’ Mansur juga sudah diangkat keluar.

Setelah selesai semuanya, Ibrahim mengajak Ayyid Saghyir dan Che’ pulang. Ayyid Saghyir mengangguk saja dengan mata yang masih merah. Di pintu keluar rumah Lan, mereka bertembung dengan Ayyid. Che’ dan Ayyid Saghyir bersalaman dengan Ayyid dan kemudian keluar, mendahului Ibrahim. Ibrahim pula cuma memandang Ayyid. Dan Ayyid membalas pandangan itu dengan mata yang bergenang dengan harapan yang tak pernah pudar. Kalaulah, aku boleh menarikmu semula..

Tiba-tiba, Ibrahim tersenyum sambil matanya masih bertentang mata Ayyid. Manis senyumannya. Sudah lama benar Ayyid tidak melihat senyuman itu.

“Assalamualaikum, Ayyid,” katanya, dan terus berlalu pergi.

Hanya kata-kata itu. Sekuntum senyum itu. Namun pada sepasang mata bundar itu, seakan terbit nyalaan berbeza.

Dan tiba-tiba sahaja, Ayyid berasa tenang. Sebak di dadanya tadi, seperti sudah hilang. Senyuman seperti tadi, pandangan seperti tadi; dia arif  benar. Kedua-duanya sama seperti senyuman dan pandangan bertahun-tahun lalu. Ayyid turut sama tersenyum, walaupon Ibrahim tidak ada lagi di situ.

Allahu rabbi, Kau tak pernah mengecewakanku.

* * * * * * *

“Bang Berahim benci betul ek, kat saya time tu? Mesti abang benci jugak kan, surat-surat saya hantar tu?”

“Aish, kalau tak sentuh isu sensitif, gamaknya bukan kau, Ayyid!”

Ayyid tertawa. Semua ini bagaikan mimpi. Hampir dua belas tahun dia berusaha. Selama dua belas tahun, dia tak pernah berhenti mendoakan. Ada saja yang dilakukannya untuk menarik Ibrahim untuk kembali ke jalan tarbiyyah dan dakwah. Kini, dia sudah boleh berborak-borak tarbawi semula dengan insan ini. Setelah bertahun-tahun. Subhanallah.

“Jujurnya, masa kau datang, abang rasa malu. Malu dan jeles. Mungkin sebab ego jugak, abang jadi marah dan benci. Masa tu, entahlah, memang abang bencilah dengan kau. Bukan kau je. Semua yang ikut tarbiyyah, yang bangga duk canang-canang ‘kami ikut usrah!’, abang benci. Entah. Tapi memang bencilah!”

Telan air liur juga Ayyid mendengar pengakuan jujur Ibrahim itu.

“Tapi kenapa bang? Bukan dulu abang buat benda yang sama ke?”

Ibrahim menarik nafas panjang kemudian menghembusnya perlahan-lahan.

“Entahlah Yid. Dulu, kamu tengok abang la yang banyak buat semua tu kan?”

“Uish, mestilah! Abang yang tarik saya, geng saya masuk usrah. Dani, Idham, Ammar; semua abang la yang tarik. Ingat tak? Kalau tak entah kat mana-mana saya hari ni.”

Ibrahim tersenyum tawar. Matanya memandang Ayyid, tapi Ayyid tahu Ibrahim tidak melihatnya.

“Haha… Kat Tassie dulu, boleh kata, abangla yang paling aktif buat semua tu. Usrah sana, usrah sini. Pegi sana, pegi sini. Then, bila abang grad, dah back for good from Tassie,  dah tercampak kat mesia ni; ya Allah, barulah abang sedar. Yang dulu, abang buat semua tu, sebab memang tu lah yang orang sekeliling duk buat. Tak percaya, kau tengoklah! Bila tercampak sorang, bila dah takde orang nak ajak pegi usrah pegi daurah, kau tengoklah, abang camana. Lesap!”

“Tapi takkan sampai camtu sekali kot, bang?”

“Betul, Ayyid. Kau bayangkanlah, dulu time belajar overseas, bolehla murabbi menghantui, kejap wasep, kejap sms, suruh pegi usrahlah, programlah. Bila balik, sorang-sorang, dengan usrahmate jauh-jauh; murabbi bertukar, online lah apelah, lagi senang untuk kau hanyut daripada kau berenang menongkah arus. Eh paham ke?”

“Haha..saya faham bang. Saya pon, lalu benda yang sama time mula-mula grad dulu. Culture shock la kejap. Hahaha!”

Mereka tertawa. Kemesraan yang sudah lama terbina kini kembali erat.

“Kat situlah, abang beza dari kau, Ayyid.  Kau, teruskan berenang. Abang, memilih untuk hanyut.”

Ibrahim tertunduk sebak. Bertahun-tahun dia lari dari tarbiyyah dan dakwah yang pernah menjadi sebahagian besar hidupnya. Tahun-tahun yang kini dirasakannya terbazir begitu sahaja.

“Takpelah bang,” Ayyid memujuk. “yang lepas tu, lepaslah. Saya bersyukur sangat, abang sekarang memilih untuk sambung berenang.”

Ayyid menghadiahkan senyuman kepada Ibrahim. Ibrahim cuma mampu membalas senyuman itu dengan mata yang berkaca-kaca.

“Terima kasih Ayyid. Terima kasih sangat. Terima kasih sebab tak pernah bosan tarik abang.”

“Ehhee. Sama-sama bang. Dulu, abang yang tarik saya.”

“Haha..dah lama betul tu kan. Sebelum ni, abang betul-betul tak faham, kenapa kau beria sangat nak ajak abang join tarbiyyah dakwah ni semula. Macam, kalau duit, abang tau buat semua ni, bukan ada gaji pon. Nak kata orang suruh, siapa pulak nak suruh engkau menyibuk dalam hidup abang. Ahaha.”

“Betul tu bang. Ade je masa, saya tertanya-tanya seniri. Saya tertanya-tanya jugak, untuk apa saya buat semua ni? Bersusah pegi sana pegi sini, dengan minyak mahal, kerja lagi. Tapi bila saya tengok, budak-budak yang macam saya dulu-dulu, lama-lama berubah jadi manusia, saya yakin; mende ni lah yang saya nak buat. Seseorang telah memperkenalkan saya kepada Allah, dan nikmatnya tu, saya rasa macam nak bagi satu dunia rasa.”

“Sebab kau buat semua kerana Allah lah, abang rasa kau mampu bertahan, Yid. Bertahun-tahun, kau tetap lagi kat jalan ni. Tak macam abang. Mungkin dulu time belajar, abang buat tak sepenuhnya kerana Allah. Itu yang… akhirnya… hanyut. Then, lesap. Lepastu benci pulak kat orang yang buat tarbiyyah dakwah. eheh.”

Ayyid tertawa. Ibrahim ikut ketawa. Baru Ibrahim sedar. Betapa dirinya juga rindu hendak berborak seperti ini. Ayyid memandang mata Ibrahim, tapi, kini tak mampu lagi memandang mata itu lama-lama. Seperti dulu. Aura yang dulu sudah hilang dari mata Ibrahim, kini sudah muncul kembali. Dan kini lebih kuat lagi. Di hadapannya seorang hamba yang tersedar dia sudah tersilap. Dan hamba itu sedang berusaha kuat untuk kembali ke jalan tuhannya.

“Abang tau tak, first time saya jumpa Ayyid, saya terkejut betul. Hehe. Tak sangka langsung.”

“Hahah. Takdir Allah Yid. Tau kenapa abang namakan dia camtu? Sebab by the time dia lahir, abang da mula hanyut dah. Tapi teringin nak balik semula. Tapi takde kekuatan untuk cari seniri. Takde kekuatan nak lawan nikmat dunia ni. Abang teringat yang kau cakap dulu-dulu tu. Tapi tulah. Kalau sendiri tak usaha, takkan dapat jugak, en. Korang ade je wasep, mesej semua time tu kan, tapi tengoklah. Takde abang balas pon. Adeh.”

“Hmm cantiknya susunan takdir Allah tu bang. Takdir Allah jugak yang jumpakan saya dengan abang. Yang campak saya masuk tarbiyyah. Dan yang dah tanam satu benda ni dalam kepala otak saya. Dengan benda tu, alhamdulillah, saya masih ade kat jalan ni. Dengan mende tu, alhamdulillah, abang pon dah ada semula.”

“O ye? Ape bendanya?”

“Time abang mula-mula grad, kan kitorang dapat Abang Umar tu jadi naqib? Pastu, aish. Memang saya takde mood dah nak usrah. Sebab lainlah. Dia garang. Dengan onlinenya, tak nampak muka, jumpa sebulan sekali, wasep salah faham, emel jawab lambat. Orang busy katakan.Kalau dulu time abang, nak tau apa, nak curhat ke; pegi je bilik, borak. So..dia basuh kitorang dengan satu fikrah ni. Saya pegang fikrah tu sampai sekarang. Sampaikan, tak kesahlah apa yang saya lalui tu best ke tak best, susah ke senang, fikrah tu la yang tetapkan hati saya untuk terus je buat.”

“Adoi..Abang Umar tu..memanglah. Sebijik cam Umar. Habestu? Fikrah apa yang dia heartwash kat korang?”

“Allahu ghoyatuna. Allah tujuan kami.”

* * * Tamat * * *

allah all u need

 [Kredit]

Siri abadan abada:

Abadan abada

Abadan abada II

Abadan abada III

Abadan abada IV

_ _ _ _ _ _ _

Alhamdulillah. Tamat dah (kot? :p) Insyaallah akan extract ibrah dari siri cerpen ni sebab rasanya berterabur sikit penceritaan. First timer katakan. Terasa beza menulis fiksyen rekaan dengan fiksyen berdasarkan pengalaman sebenar. Harapnya mesej tetap sampai. Apa-apapon, moga Allah redha.

Abadan abada IV (alternative ending)

Bismillahirrahmanirrahim

abadan abada iv-2

[Kredit]

“Ayyid, agak-agak an, kalaulah, satu hari nanti abang futur, dah tak join tarbiyah, tak buat dakwah… gugur. Kau sanggup tak tarik abang semula?”

Ayyid yang sedang tersengguk-sengguk membaca al-quran itu tiba-tiba terbuka kembali matanya. Dan matanya lebih bulat lagi apabila melihat ekspresi wajah Ibrahim yang berbaring di atas pahanya. Ibrahim mengelip-ngelipkan matanya sambil pipinya sedikit dikembungkan, mulut sedikit muncung. Comel lah konon. Ala-ala korea gitu. Dengan kopiah di kepala, gayanya macam K-pop taubat.

“Hish bang Berahim nih!” Dek terkejut agaknya, Ayyid menolak kepala Ibrahim dari pahanya. Terhentak kepala Ibrahim atas lantai, mujur berkarpet.

“Macam ni engkau layan murabbi engkau? Ish ish ishhh.” Ibrahim membuat muka kecewa sambil menggosok-gosok kepalanya.

“Abang tu! Siapa suruh buat camtu?” Ayyid mencapai bantal dari atas sofa kemudian membalingnya ke arah Ibrahim. “Nah ambek. Bantal!” Mereka tertawa.

“Tapi seriously Ayyid. Sanggup tak? Eh ke kau tak dengar ponn abang tanya tadi?”

“Dengarlaa.. walaupon saya mengantuk, telinga ni tajam tau!” Ayyid menjawab dengan sedikit berseloroh.

Ibrahim tertawa. Memang anak usrahnya yang seorang ni dikenali dengan selalu tertido dalam kelas. Dalam usrah dan daurah dia tak pernah tertido. Tapi dalam kelas hampir tak pernah tak tido. Pelik.

“Habis tu? Jawapannya?”

Suasana sepi ketika. Yang kedengaran hanyalah bunyi jam di ruang tamu itu. Lagi dua puluh minit sebelum masuk waktu subuh. Selalunya memang mereka berdua sahaja yang sudah bangun seawal itu. Selalunya, sejam sebelum subuh, mereka berdua sudah bangun mengerjakan solat malam.

Ayyid memandang tepat ke arah wajah murabbinya. Kemudian segera mengalihkan matanya. Dia memang tidak boleh memandang mata murabbinya lama-lama. Ada satu macam aura yang akan memanggil air matanya untuk keluar jika dia merenung sepasang mata bundar itu. Betapa dia sangat, amat bersyukur kepada Allah kerana menghantar sosok bernama Ibrahim itu ke dalam hidupnya. Dengan didikannya, kini dia menghargai detik-detik sujud kepada Allah di akhir malam sebegitu. Kalau tidak, waktu-waktu ini dia masih ‘membuta’.

“Macam mana bang Berahim tarik saya, selamatkan saya dari hidup penuh jahiliyah tu, macam tu la saya sanggup tarik abang semula kalau abang jatuh. Saya sanggup buat apa saja, sebab kalau boleh, saya nak jumpa orang yang memperkenalkan saya semula dengan Allah kat syurga nanti. Apa saja..termasuklah kalau..”

“Kalau?”

“Kalau kena tolak kepala abang kat atas lantai pon saya sanggup tolak, kalau itu yang selamatkan abang. Hahaha!”

“Hei yang sorang ni! Kacau mood betullah! Pegilah kejut yang lain-lain tu. Dah nak subuh ni. Hish.”

“Baik pak!”

Sebelum menghilang, sempat Ayyid memberi kata-kata terakhir dari balik pintu ruang tamu mereka,

“Bang Berahim!”

“Ye?”

“Kalau tak pon, abang namakanla anak abang Ayyid jugak. Pastu abang tarbiyyah dia kaw-kaw. Nanti kalau abang futur, ‘Ayyid’ jugak yang selamatkan abang. Hahahaha!”

“Sudahlah! Pegi!”

Hilai tawa Ayyid kedengaran dari jauh. Ibrahim menggeleng kepalanya. Bilalaahhh budak ni nak serius sikit. Namun pada mulut Ibrahim, tersimpul satu senyuman. Senyuman penuh makna.

* * * * * * *

“Ayyid Saghyir? Nak kongsi tak?”

Ayyid Saghyir-kecil. Murabbinya bernama Ayyid juga, namun beza umur mereka agak jauh juga. Abang Ayyid muda sedikit saja dari ayahnya. Lalu di kalangan ikhwah-brothers, dia dikenali sebagai Ayyid Saghyir. Dan murabbinya pula, kadangkala dipanggil Ayyid Kabir-besar, bila dia juga ada di situ. Takut confuse, kata mereka.  Mulanya dia rimas juga dengan gelaran itu. Eii ngarut jelah nickname arab-arab ni! Entah hape-hape! Setelah beberapa bulan berusrah dengan Abang Ayyid, dia dapat menerimanya.

Malahan, dia sangat seronok dengan rakan-rakan seusrahnya, semua lebih kurang seusia dengannya. Dan lebih kurang juga minat dan perwatakan sepertinya. Che’-teman karib dan pesaing hebatnya dalam breakdance. Kaki rokok, suka merempit. Namun terdetik untuk berubah setelah pulang dari umrah bersama keluarganya. Bila Ayyid Saghyir mengajaknya ke usrah, bagai orang mengantuk disorongkan bantal!

Abdullah(dulu mesra dipanggil Dol) masa sekolah dulu suka ponteng sekolah, suka kacau perempuan, terlibat dalam kegiatan curi dan jual henfon. Kini bekerja di kedai makan selepas SPM, dan setelah ditangkap Ayyid ketika dia cuba mengambil henfonnya di surau, kemudian dibelanja makan Nando’s pulak yang diikuti dengan one to one talk dengan Ayyid, Dol bertukar menjadi Abdullah dan bertekad mahu membanggakan ibunya dengan menjadi insan yang lebih baik. hoyeah!

Dan akhir sekali, Lan, bakal menduduki SPM tahun ini. Anak tunggal orang berada yang kesunyian di rumah. Sudah puas dia mencuba segala macam benda di internet untuk mengisi kekosongan jiwanya. Sehinggalah dia terbaca tweet Ayyid Saghyir yang teruja selepas sesi usrah pertama dengan Ayyid. Tambah mengujakan bila dia dapat tahu rumah Ayyid Saghyir dekat saja dengan kawasan perumahannya. Tiba-tiba sahaja dia dan Ayyid Saghyir berkawan walaupon mereka tak pernah kenal pon. Kemudian, tiba-tiba sahaja Lan juga menyertai usrah mereka. Takdir Allah yang menemukan mereka dengan cara yang tak tersangka-sangka. Subhanallah.

Selalunya, sebelum mengakhiri usrah mereka, Ayyid akan mengajak mereka bercurhat-curah hati. Menceritakan apa saja yang mereka risaukan, gembira, sedih, atau pertanyaan-pertanyaan yang terbuku di hati mereka. Masa awal-awal dulu, masa mula-mula kenal, Ayyid Saghyir jarang berkongsi masa curhat. Segan. Lama-lama, setelah dia makin selesa, dan ukhuwah antara mereka mula terbina, dia suka pula dengan sesi ini. Terasa seperti sebuah keluarga yang sebenar. Di rumah, dia tak pernah dapat bertanya soalan-soalan atau meluahkan perasaan yang berkaitan dengan islam.

Ayyid menunggu anak usrahnya itu bersuara. Harapannya tinggi untuk mereka semua, terutamanya dia ini. Harapan yang tersimpan sejak bertahun lalu, yang hidup kembali setelah pertemuan pertama mereka beberapa bulan lepas.

“Emm… sebenarnya..saya ada soalan. Em.. eii camana nak cakap ni?”

Empat pasang mata memandangnya penuh minat. Ayyid bersuara:

“Apa dia?”

Ayyid Saghyir memandang muka Ayyid. Kemudian menjatuhkan matanya dan menyambung,

“Macam mana nak buat, supaya papa suka usrah?”

Mereka semua terdiam memikirkan soalan Ayyid Saghyir. Lebih kurang sebulan lalu, Ayyid Saghyir menceritakan bagaimana papanya seakan-akan mengamuk bila dapat tahu yang dia dah mengikuti usrah selama beberapa bulan. Mulanya, papa tak tahu pon. Cuma pelik dengan perubahan anak lelaki sulungnya itu. Bermula dari perubahannya  yang tidak lagi melepak depan tivi sepanjang siang dan malam tapi akan berhenti kejap-kejap untuk solat. Kemudian sekonyong-konyong satu hari itu dia membeli sebuah quran terjemahan. Kemudian, tiba-tiba sudah mula menghadiri solat jumaat. Dan yang paling hairan bin ajaib, dia mengajar pula adik-adiknya yang kini di sekolah rendah, Aqil dan Aqilah, untuk solat. Sesuatu yang dia sendiri tak pernah ambil berat sangat tentang mereka.

Amboi budak ni! Kenapa sekarang lain sangat? Betul ke ni anak aku? Dulu asal balik membuta dalam bilik, atau tengok tivi macam hantu, dahlah tu, kalau keluar pulak mesti mintak duit.

Bila papa dapat tahu, terjawab semua persoalan. Ini rupanya yang kau buat sampai kau lain sangat!

“Papa ade cakap ke dia tak suka?”

“Haah..Dia.. dia cakap…”

Ayyid Saghyir terhenti. Mukanya yang putih kemerahan bertukar merah padam. Usrahmatenya yang lain diam saja. Tak berani bersuara.

“Papa cakap, siapa yang pandai sangat ajar Ayyid semua ni? Kalau nak belajar agama, papa boleh upah ostad ostajah datang rumah, ajar. Tak payah ikut usrah-usrah semua tu! Baru belajar sikit nak tunjuk dah pandai tu lah pandai ni lah! Dulu masa tak ikut usrah okei je nak kawan dengan papa lepak kat Starbucks semua. Ni dah ikut usrah semua nak baca itulah, inilah; tak nak makan Mekdilah, nak pegi sana nak pegi sini!”

Ayyid Saghyir tidak dapat menahan sebak. Air matanya mengalir dari hujung mata kanan. Dia menyekanya dengan satu jari, kemudian mengelap hidungnya dengan belakang tangan.

“Hish, terkeluar pulak!” katanya.

Mereka tertawa sedikit. Suasana berat tadi kini ceria sedikit. Lan menumbuk perlahan bahu kanan Ayyid Saghyir.

“Lek, bro!”

Ayyid tersenyum melihat keakraban mereka. Mereka semua masih sangat baru mengikuti tarbiyyah. Masih jauh perjalanan. Insyaallah dah on the right track. Allah, kurniakanlah kami kekuatan!

“Ohh yeke.. awat hang tak habaq Ayyid Saghyir oii..eheh. Awak ok tak ni? Tadi keluar papa tak kata apa-apa?”

“Hehe..okeilah insyallah. Tengok orang la! hahah.”

“Eleh tengok orang pon, gugur  jugak air mata jantan. Ahaha!” Abdullah mengusik.

“Hiyahh!”

Ayyid Saghyir membuat gaya mahu menerkam Abdullah yang duduk di hadapannya dalam bulatan itu, dan Abdullah pula membuat gaya hendak lari, sambil membaling topi yang dipakainya kepada Ayyid Saghyir.

“Hei sudah, sudah! Korang ni..!”

Mereka tertawa. Ayyid Saghyir berasa lega, walaupon masalahnya belum pon lagi di selesaikan. Sejak awal dia masuk usrah pon, papa dah bertanya macam macam. Mujur dia memang tak banyak bercerita dengan papanya. Jadi, takdelah teruk sangat dia disoal siasat. Namun, sejak ayahnya tahu dia menyertai usrah, hubungan antara mereka berdua sedikit renggang. Entah kenapa, Ayyid Saghyir pon tak tahu. Seolah-olah ayahnya tidak senang dia bergaul dengan ‘budak-budak usrah’. Dulu, geng b-boynya, takde pulak papa marah. Sekarang, kalau dia pulang dari mana-mana, ada saja sindiran ayahnya:

“Keluar dengan budak-budak usrah tu lagilah tu!”

“Okey, abang rasa-”

Tiba-tiba, henfon Ayyid Saghyir berbunyi. Musik techno kegemarannya. Avi-apa entah namanya. Sudah popular lama dulu masa Ayyid masih belajar di bumi Ostrolia, kini tak popular sangat dah. Boleh dikira old-school dah lagu tu. Tapi setiap kali henfon Ayyid Saghyir berbunyi lagu tu, Ayyid pasti akan terkejut. Bingit betul.

“Sori bang. Jap ea.” Sambil bangun, Ayyid Saghyir melihat skrin henfonnya. Papa?

“Okey, kitorang tunggu.”

Ayyid Saghyir turun dari wakaf taman itu untuk menjawab panggilan itu jauh sedikit dari mereka.

Dari jauh, Che’ mengusiknya, “Takpe, Yid, we have alllll day!”

Ayyid Saghyir menunjukkan isyarat penumbuk. Mereka yang di wakaf tertawa.

“Hello? Pa?”

“Ayyid. I’m watching you ni dari kereta. From the car park. Turn right. Some more. Nampak?”

Di hujung tempat letak kereta itu, kelihatan sebuah kereta mewah berwarna hitam. Kereta papa!

Ayyid Saghyir berasa tak sedap hati.  Kenapa papa ada kat sini?

“Okay, papa nak Ayyid panggil kawan-kawan usrah Ayyid tu. I’m dying to meet them!”

Ayyid Saghyir semakin berdebar. Apa yang papa nak buat ni? Dia memanggil usrahmate dan murabbinya lalu menceritakan kata-kata papa.

Beberapa minit kemudian, kelihatan seorang lelaki bercermin mata hitam dan berkemeja merah berjalan ke arah wakaf tempat mereka duduk. Ibrahim bin Abdul Rahman. Ayyid teringat semula pertemuan terakhir mereka lebih daripada sedekad lalu. Tiba-tiba saja dia berdebar (dan terasa sangat tua pula!) Ayyid Saghyir pula terasa semacam deja vu tiba-tiba. Tak tahu kenapa.

Sebaik Ibrahim mendekati mereka, Ayyid mengangkat tangan dan memberi salam.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikum  salam.” Ibrahim menanggalkan cermin  mata hitamnya. Seorang demi seorang, dia memandang wajah anak-anak usrah Ayyid.

“Ohhh, ni rupanya kawan-kawan Ayyid! Lah, anak Dato’ Mansur pon ada sekali!” katanya sebaik melihat Lan. Lan tersengih saja.

“Haah, ni lah kawan-kawan Ayyid bang. Baik budak-budaknya,” Ayyid bersuara.

Ibrahim terdiam melihat Ayyid. Lama dia merenungnya. Riak wajahnya yang tadi serius tiba-tiba bertukar semakin garang. Menyinga.

“Kau? Kau, Ayyid? Tak cukup lagi kau hantui aku selama ni, sekarang kau rosakkan anak aku pulak?”

Ayyid Saghyir tercengang.

“Papa kenal Abang Ayyid?”

“Apa tak kenal, dulu time belajar dulu lagi dah papa kenal. Bila papa dah grad, few years after papa balik, Ayyid kecik lagi time tu, empat ke lima tahun tah, dia datang. Cari papa. Papa tak nak jumpa dia. Lepastu tau apa dia buat?”

Ayyid Saghyir memandang Ayyid. Dia berasa terkilan pula dengan Ayyid. Selama ini, dia menelan kepahitan sorang-sorang bila berhadapan papanya. Tak disangka murabbinya sendiri kenal dengan ayahnya.

“Sampai hati Abang Ayyid? Susah tau kat rumah Ayyid sorang je cakap pasal usrah, pasal tarbiyyah; Ayyid je yang kena marah, kena sindir. Rupanya Abang Ayyid kenal je dengan papa! Kenapa tak pernah ajak papa, Abang Ayyid?”

“Ayyid, abang-”

Ibrahim terus menghamburkan kata-kata, tanpa menghiraukan drama yang sedang terbina antara Ayyid kecil dan besar itu,

“Dia datang lagi. Lagi dan Lagi. Bila papa kata nak panggil polis, dia berhenti datang. Tapii dia start hantar surat pulak dah! Berlambak-lambak! Sampai sekarang. Hei, susahkan orang tau tak?”

“Bang, bang Berahim baca tak surat tu bang?” lembut suara Ayyid. Memujuk. Juga, demi menjaga qudwahnya di depan mutarabbinya.

“Baca! Dan jawapannya masih sama, walaupon aku tak pernah balas. Aku tak mahu! Faham?”

Ibrahim berhenti seketika. Nafasnya bising, turun dan naik dadanya menahan marah. Setelah terdiam sejenak membiarkan kemarahan Ibrahim reda, Ayyid kembali bersuara,

“Mintak maaf, bang, kalau bang Berahim tak suka. Mintak maaf sangat. Tapi, saya tetap nak usrahkan Ayyid dan kawan-kawannya ni. Dan Ayyid..”

Ayyid memandang mutarabbinya itu. Matanya terasa panas. Allahu..seandainya kau tahu..harapanku buatmu dan ayahmu…

“Maafkan abang sebab tak bagitau Ayyid. Abang tak mau Ayyid terasa kalau dapat tau, tapi harini, dah terbongkar pon. Ya, memang abang kenal papa Ayyid. Sebenarnya, papa Ayyid, orang yang mula-mula kenalkan abang kat usrah. Dia murabbi abang yang pertama.”

Ayyid Saghyir ternganga. Begitu juga Lan, Che’ dan Abdullah yang asyik menonton drama di antara dua orang dewasa di hadapan mereka itu.

Papa pernah join usrah? Even penah jadi murabbi Abang Ayyid? Habistu kenapa..papa benci sangat sekarang? Logik apakah ini?

* * * bersambung * * *

Siri abadan abada :3

Abadan abada

Abadan abada II

Abadan abada III

_ _ _ _ _ _ _ _

Sebenarnya siri cerpen ni dah saya tamatkan dalam Abadan abada III. Tapi, seseorang yang saya sayangi telah menasihati saya untuk menyambung cerita itu atau et lis jelaskan sedikit endingnya dan/atau ibrah dari cerita itu. Nyatalah yang point yang saya cuba sampaikan, tak sampai rupanya. Maka, terimalah-sambungannya. Moga Allah beri kekuatan untuk tidak mensia-siakan peluang kedua ini 😉

 

Abadan abada III

Bismillahirrahmanirrahim

Sebelum mula membaca, anda mungkin mahu baca ini dulu 😉

Abadan abada

Abadan abada II

webjazba.com-3923112013

[Kredit]

*******

“Ya, ini siapa, mahu cari siapa?”

Ayyid dan Dani berpandangan. Suara perempuan.

Sayup-sayup terdengar suara lelaki dari interkom itu. Mungkin berkata-kata sesuatu kepada perempuan itu. Tak cukup jelas untuk mereka menangkap butiran kata-katanya. Tapi mereka berdua kenal benar suara itu. Bang Berahim!

” Emm, saya Ayyid. Muayyid bin Mursyid. Saya kawan Ibrahim. Dah dua kali saya datang sebelum ni. Ibrahim ada?”

Buat seketika, tiada suara keluar dari interkom itu. Kemudian

” Maaf ya. Encik Ibrahim tidak ada hari ini. Lain kali mungkin, ya?”

“Oh ye ke? Tapi saya rasa saya dengar suara dia tadi. Cik pasti ke dia takde ni?” Dani pula mencuba nasib.

Diam lagi. Dani baru sahaja hendak membuka mulut semula bila Ayyid bersuara:

“Bang Berahim! Saya tahu abang kat dalam tu. Ni kali ketiga saya datang. Saya takkan balik kali ni selagi saya tak dapat jumpa abang. Selagi saya tak puas hati kenapa abang buat kami macam ni saya takkan balik!”

Suara Ayyid sedikit bergetar di hujungnya. Ya Allah, tolonglah jangan jadi macam yang aku fikir ya Allah. Ya Allah tolong..

Dani memegang bahu kanan Ayyid. Dia faham benar perasaan Ayyid. Dia juga takut akan perkara yang sama.

Selama hampir lima minit, mereka berdua tercegat sahaja di situ. Tanpa sebarang respons dari Ibrahim mahupon perempuan tadi. Tiba-tiba, gril besi rumah besar itu terbuka. Mendengarkan bunyi itu, Ayyid dan Dani sekali lagi berpandangan. Dari celahan pagar mewah rumah itu, mereka ternampak pintu hadapan rumah itu dibuka.

“Tante, nape kite keluar ni? Nak jumpa siapa?”

“Sebentar ya, kita jumpa tamu encik.”

Suara itu sama dengan suara yang mereka dengar tadi. Kelihatan seorang wanita pertengahan umur lengkap bertudung sarung keluar menemui mereka berdua di pagar. Dari pakaiannya yang mereka dapat lihat di balik celahan pagar itu, Ayyid dapat mengagak yang wanita ini mungkin pembantu rumah di rumah itu. Lebih-lebih lagi bahasa yang digunakannya masih ada sedikit ‘lagu’ indonesia walaupon sudah menggunakan perkataan bahasa melayu. Namun Ayyid lebih tertarik lagi dengan si kecil yang menemani wanita itu. Masih sangat kecil, empat atau lima tahun mungkin. Rambutnya sedikit keperangan, seperti juga rambut Ibrahim. Kulitnya putih kemerahan. Comel. Tangan kiri wanita itu dipegang erat.

Dani memulakan bicaranya.

“Assalamualaikum cik. Apa khabar?

“Waalaikumussalam encik. Khabar baik saja. Ada apa Encik ke mari?”

“Kami datang ni nak jumpa Ibrahim. Dia ada?”

“Oh…maaf encik, Encik Ibrahim tidak ada hari ini. Lain kali saja ya Encik datang?”

Si kecil itu tiba-tiba saja mencelah “Eh, tante, papa adelah! Papa ade tadi!”

Wanita itu sedikit kaget. haila macamana nak cover ni?

“Eh, tak ngapa, udah, Yid; mari masuk ya?”

“Tak nak! Uncle tu nak jumpa papa kite, biarlah dia jumpa! Tante nii!” Melompat-lompat si kecil itu, sambil tangannya masih memegang tangan wanita itu. Wanita itu meletakkan satu jari ke mulutnya, isyarat diam mungkin. Setelah anak itu tenang, dia kembali bersuara kepada Ayyid dan Dani:

“Maaf ya Encik. Encik Ibrahim tidak dapat berjumpa dengan encik hari ini.”

Kemudian, dia menambah dengan suara yang perlahan,

“Encik, ini ada satu benda saya mahu bagitahu sama encik. Encik Ibrahim tak mahu lagi jumpa encik. Minta tolong ya, tak perlu lagi datang kembali, kerana Encik Ibrahim takkan mahu jumpa sama encik biar berapa kali pon encik datang. Encik Ibrahim tak suka dengan jenis-jenis macam encik ni. Berjanggut, lagi-lagi kalau encik pakai kopiah atau serban. Pernah sekali dia marah sama seorang encik yang mahu mengajak ke masjid ke apaan katanya. Saya kasihan sama encik, udah tiga kali datang tapi pulang hampa.”

Ayyid berasa sedikit sebak. Tidak. Tidak mungkin ini berlaku. Allahuu..

Dia merapatkan mukanya ke celahan pagar. Anak kecil itu sedang memandang ke arahnya dengan satu jari di mulutnya. Wajahnya, sangat mirip wajah Ibrahim. Ayyid teringat dulu pernah sekali Ibrahim membuat ‘muka comel’ masa berbaring di atas pahanya selepas mereka qiyamullail sama-sama. Geli geleman juga Ayyid masa itu. Meremang bulu tengkuk. Tapi kini, dia nampak wajah itu, pada wajah kecil di hadapannya.

Wajah orang yang mula-mula menarik mereka ke dalam tarbiyah. Orang yang mula-mula memperkenalkannya semula kepada tuhannya setelah lama dia hidup dalam kelalaian. Orang yang pertama menyedarkannya hidupnya lebih dari sekadar makan minum dan main dota. Yang menyedarkannya islam itu bukan hanya solat dan puasa, tapi juga mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dan kini, orang itu sudah tidak lagi bersama mereka dalam tarbiyyah. Tidak mahu lagi untuk berjumpa mereka pon.

Dan anak itu… mungkin tidak dapat merasai tarbiyyah yang mereka rasakan melalui ayahnya sendiri. Mungkin akan membesar seperti Ayyid yang dahulu, yang baran, liar, dan mahu berseronok saja. Ayyid dahulu, daripada keluarga biasa-biasa saja. Tidak pernah menekankan nilai-nilai agama. Dia tidak pernah merasa belajar islam daripada ibu bapanya sendiri. Setelah dia besar dan belajar di luar negara, barulah dia kenal islam yang sebenar. Melalui ayah si kecil ini.

Ironi.

“Maaf ya encik. Pergi dulu.” Wanita itu merangkul budak comel itu dan berjalan perlahan-lahan meninggalkan mereka.

“Ayyid, dahlah jom. Kita balik, okei?”

“Wahh nama kite pon Ayyid! Yeay yeay sama! Sama!”

Mata Ayyid terasa panas. Sebak mengenangkan murabbinya dahulu sudah tidak lagi bersama mereka di jalan tarbiyyah, padahal dialah yang mula-mula menariknya masuk ke jalan itu. Dan si kecil itu, Ayyid juga namanya, mungkin sama dengan nama Ayyid, siapa yang akan mertabiyyahnya? Siapa yang akan mengajarinya tujuan hidup? Setitis air mata mengalir membasahi pipi kanan Ayyid.

“Nama kite Muayyid! Uncle sama jugak ke?”

*******

Hati-hati dengan niatmu! Sent by Umar Ahmad Shamsuri.

Assalamualaikum.

Ikhwah yang disayangi, atas dasar apa kau memilih jalan ini?

Awal-awal dahulu, mungkin kau tertarik dengan manisnya ukhuwah. Seronoknya makan sedulang, berjalan sama, berbuka sama, malah tido dan qiam pon bersama.

Maka inginku bertanya, andai satu hari nanti, kau dapati saudara-saudaramu seakan terlalu sibuk untuk melayanmu, seakan hendak tak hendak membalas tanya kabarmu, apa kau akan berhenti daripada berjalan di jalan ini? Andai ukhuwah yang kau temui kering, bosan, dan robot, apa kau akan berputus asa dengan tarbiyyah?

Atau mungkin, dulu- kau tertarik dengan pengisian dan perkongsian yang basah. Yang menaikkan semangatmu. Yang memarakkan api cita-citamu. Yang terasa dekat di hatimu.

Maka inginku bertanya, andai kini, pengisian yang kau terima terasa berat, keras, atau memaksa, maka apakah engkau tidak lagi mencintai tarbiyyah ini? Malahan kini mungkin akan banyaknya pengisian yang perlu kau beri sendiri berbanding apa yang kau terima, maka apa engkau akan berpaling, lari dari sini?

Mungkin juga, kau suka dengan murabbimu yang dulu. Yang dulu memanjakanmu, setiap hari mengikuti perkembanganmu, baik mesej, baik emel, baik ziarahnya. Yang mendengar cerita drama hidupmu, melayan keluh kesahmu, menatangmu bagai minyak penuh!

Biarku khabarkan kepadamu ikhwahku sayang, setiap murabbi pasti akan bertambah tenggungjawabnya setelah masa berlalu, pasti dipenuhi dengan tanggungjawab tarbiyyah, tanggungjawab dakwahnya, juga tanggungjawab terhadap kerja dan keluarganya juga. Belum dikira lagi ujian-ujian yang tidak dapat tidak pasti akan menimpanya.

Maka ingin aku bertanya, andai murabbimu tidak lagi melayanmu seperti anak kecil di awal dulu, andai keluh kesahmu tidak begitu diambil berat lagi, apa kau sudah tidak mahukan tarbiyyah lagi?

Ikhwahku sayang, sedarlah! Hati-hatilah memilih niatmu!

Atas dasar apa kau memilih tarbiyyah?

Sedarlah ikhwah, beradalah di sini hanya kerana Allah. Jadikan Allah sebagai motivasi mu di jalan ini.

Bukan pada ukhwah. Bukan pada murabbi. Bukan pada pengisian. Bukan pada apa saja! Tapi hanya pada Allah.

Tidak ku nafikan pasti akan lahir di hati kita sedikit kekecewaan. Pasti ada kesakitan dan kepedihan.

Tapi ubatilah kekecewaan itu dengan bertindak membetulkan keadaan. Bukannya merajuk atau keluar terus dari jalan ini.

Ibarat melompat keluar dari sebuah kapal yang bocor dengan terjun ke tengah-tengah lautan. Menanti dan terus menanti adanya kapal yang sempurna. Sedangkan ia tidak pernah wujud.

Andai kau berehat atau berhenti, adakah akan menambahbaik kapal kita ini?

Terbayang-bayang di fikiranku wajah mereka yang terabai disebabkan kita yang selalu melayani perasaan kecewa tanpa disusuli dengan tindakan untuk memperbaikinya.

Semoga Allah ampuni dosa kita akibat selalu bermain perasaan di jalan ini.

-Diadaptasi dari RumusanHidupku-

Ayyid, Amar, Idham dan Dani, abang harap, korang semua, sentiasa ingat balik kenapa korang mahukan tarbiyah. Kenapa korang nakkan usrah. Kenapa korang sanggup bersusah untuk islam. Sentiasalah jadikan Allah sebagai motivasimu 🙂 Satu hari nanti, abang mungkin dah tak ada nak psycho-psycho korang, korang pon mungkin terpisah, tercampak ke tempat yang mungkin, sorang-sorang, usrahmate tak masuk lah, ape-apelah. Tapi kalau Allah korang jadikan motivasi, insyaallah di mana jua korang berada, korang akan sentiasa teguh di jalan ini. Korang akan sentiasa cari jalan kepada Allah.

Walau apapon, jadikanlah Allah sebagai tujuanmu. Walau apa pon.

Abangmu yang menyayangimu kerana Allah;

Umar bin Ahmad Shamsuri

 

Ayyid tersenyum. Sudah lama benar emel itu. Lama benar. Masa itu, dia hilang semangat untuk meneruskan tarbiyyah kerana merasakan murabbi barunya tidak seronok. Tidak memberinya perhatian seperti murabbi lamanya. Emel itu datang tepat pada masanya. Tidak sepatutnya dia menjadikan murabbi tak best sebagai alasan untuk berhenti berlari ke arah Allah. Allah yang dia mahu tuju, bukan murabbinya, bukan usrahmatenya, bukan siapa-siapa! Tapi Allah. Sebab itulah, dia beremosi benar pertama kali dia membaca emel murabbinya ketika itu. Kesan puisi yang diadaptasi itu terus ‘menghantui’nya selepas itu. Ketika itu, hampir seminggu juga dia menangis sendiri dalam solatnya. Emel itu membuatnya sebak, bahkan hingga hari ini pon, dia masih akan membuka emel yang disimpan dalam folder itu sekali sekala. Meneguhkan niatnya, mengukuhkan langkahnya untuk terus mencari tarbiyyah. Dan kini, memberi tarbiyyah juga.

Telefon pintar Ayyid bergetar, menandakan sudah masuk waktu Asar. Ayyid mengalihkan al-Qurannya dari atas ribanya ke rak surau itu. Melihat jam. Kejap lagi, mungkin dia akan datang. Dah tiga kali dia datang masa-masa macam ni jugak.

Ini kali keempat Ayyid menunaikan solat Asar di kompleks beli belah itu pada hujung minggu. Sengaja, padahal dia tidak mencari apa-apa atau mahu membeli apa-apa pon di situ. Dia tertarik dengan remaja yang dijumpainya hampir sebulan lalu. Pakaiannya rugged, dengan rantai di seluar, dengan rambut terpacak, gelang-gelang di tangan. Jaket besar, kasut hip-hop warna merah terang. Perjumpaan pertama mereka, dia memuji bacaan al-quran Ayyid.

“Sedap, saya rasa best. Tenang semacam.”

Diajak solat, dia menolak.

“Selalunya saya lepak sini time penat, jarang ada orang solat. Tapi takpelah, solatlah. Saya nak tido je. hahaha”

Terpaksalah Ayyid solat seorang kerana hanya mereka berdua sahaja di situ. Ayyid yang nampak potensi pada remaja itu, sengaja datang lagi pada minggu berikutnya. Kali kedua, pon begitu juga. Kali ketiga, remaja itu datang lambat sedikit. Ayyid sudah di rakaat ketiga.

Alangkah gembiranya Ayyid bila menyedari remaja itu solat bersamanya. Bila Ayyid memberi salam, dia tidak bangun melengkapkan solatnya, tapi memberi salam juga. Selepas itu, entah kenapa, remaja itu cepat-cepat memakai kasut dan keluar dari surau itu. Namun itu sudah cukup memberi harapan kepada Ayyid. Dia tahu, remaja itu mungkin mencari-cari sesuatu. Dia faham benar, kerana dulu, dia juga begitu. Ayyid bertekad mahu memperkenalkan remaja itu dengan tarbiyyah. Aku takkan biar kau jadi macam aku yang dulu!

Ayyid menunaikan solat sunat. Dalam rakaat terakhirnya, dia mendengar pintu surau itu dibuka. Ayyid memberi salam kedua, kemudian memandang ke belakang surau. Remaja itu  sedang memerhatikannya. Ayyid tersenyum ke arahnya.

Remaja itu kelihatan sedikit resah. Sambil menundukkan mukanya, dia menguis-nguis karpet surau itu dengan jari. Tiba-tiba saja, mukanya bertukar merah padam. Dia mengangkat mukanya yang merah itu dan berkata dengan teragak-agak, “Emm..bang. Nak mintak tolong sikit, abang boleh tolong tak?”

“Apa benda? Kalau boleh tolong, abang tolongla. Tapi jangan la mintak tolong terjun bangunan ke apa pulak, dosa! hahaha” Ayyid bergurau, mahu menenangkan sedikit remaja itu.

Dia tersengih. “Emm.. ajar saya solat, agak-agak boleh tak?”

“Agak-agak boleh tak? Mestilah boleh! Nanti boleh kita solat sama.” jawab Ayyid sambil tersengih.

Riak wajah remaja itu bertukar ceria benar. Ayyid menepuk-nepuk belakangnya. “Nama apa?”

Remaja itu mengulurkan tangan kanannya. “Haa sekarang, baru saya rasa nak bagi abang kenal siapa saya. ahaha. Selama ni saya tido je kan,” katanya sambil tergelak kecil.

“Nama saya, Muayyid. Muayyid bin Ibrahim.”

Ayyid hampir tidak percaya. Nama itu, bukan nama common. Jarang, atau sebenarnya dia tidak pernah berjumpa orang lain selain dirinya yang bernama Muayyid.

Allahu. Mungkinkah?

 

***Tamat***

_ _ _ _ _ _ _

Diadaptasi, diolah dan sedikit ditokok tambah dari campuran pengalaman sebenar orang lain dan diri sendiri. Puisi asal tu pernah diberi oleh murabbi saya satu masa dulu :3 Dan memang masih banyak saya kena baiki dan belajar sebelum saya boleh menulis cerpen dengan baik. Jauh lagi perjalanan. uhuu.

Moga bermanfaat. Moga Allah redha.

 

Abadan abada II

Bismillahirrahmanirrahim

Sebelum membaca ini, anda mungkin mahu baca ini dulu 😉

Abadan abada

*******

“Dani, kali ni, kita mesti jumpa dia punya.”

Ini harinya. Hari ini, Ayyid mahu pastikan dia dan Dani dapat bersua muka dengan Bang Berahim.

Ayyid masih ingat betapa gembiranya dia bila, sebulan lalu, setelah hampir enam tahun mereka tidak bersua muka, Ayyid terjumpa dengan bang Berahim di masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Kuantan. Ayyid tidak ingat lagi apa nama masjid itu. Yang dia tahu, masjid itu serupa benar dengan rupa Masjidil Aqsa. Tepegun juga dia saat melihatnya buat pertama kali. Dia memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar di situ, kemudian takdir telah menemukan dia dengan insan yang telah terlalu lama dia tak ketemu itu. Selepas solat zuhur. Pada mulanya, dia hampir tidak percaya melihat lelaki sebelah kirinya yang hendak disalamnya selepas solat itu terlalu mirip dengan bang Berahim. Sejak bang Berahim menamatkan pengajiannya, bang Berahim seperti melesapkan diri. Wasep tak berbalas. Sms dan panggilan telefon tak pernah berjawab. Akaun facebook dan skype bang Berahim juga seolah-olah tidak wujud lagi.

Mula-mula mereka cuba juga menghubunginya. Lama-lama, mereka juga sudah tidak lagi menghubungi bang Berahim. Lebih banyak memfokuskan dengan tempat mereka sendiri. Dengan adik-adik baru yang memulakan pengajian mereka di universiti mereka, dengan pelajaran mereka yang semakin mencabar, dan dengan tugas-tugas dan tanggungjawab mereka yang makin berat namun makin membahagiakan. Begitulah hingga mereka juga berjaya tamat dengan Ijazah Farmasi masing-masing. Tiba-tiba, setelah enam tahun, takdir menemukannya dengan bang Berahim dengan tanpa disangka-sangka.

“Eh! Abang ni, Ibrahim ke? Ibrahim bin Abdul Rahman?”

Lelaki itu nampak sedikit terkejut. Hairan. Siapa pulak dia ni?

“Em ya, saya Ibrahim. Tapi awak ni siapa? Rasa macam tak kenal je. Hahaha”

“Saya Ayyid. Muayyid bin Mursyid.”

Ayyid mula tersenyum. Mengharapkan lelaki itu benar-benar bang Berahim. Mengharapkan sebutan namanya itu memberi sedikit pencerahan memori kepada lelaki yang terlalu amat mirip dengan bang Berahim itu. Namun lelaki itu diam saja.

“Abang dulu belajar kat Tasmania kan? Mecha engineering? Saya Ayyid laaa. Tak kenal dah ke? Dulu kan abang jadi naqib saya?”

Wajah lelaki itu sedikit berkerut. Seolah-olah cuba mengingat siapa anak muda berkemeja biru cair itu. Sejenak kemudian, riak wajahnya berubah. Jelas dia sudah teringat siapa anak muda ini.

“Ooh yee. Ayyid ek. Betul, betul. Dah tak cam dah.ahaha.  Lama betul takde orang panggil saya bang Berahim.”

Ibrahim memasukkan kedua tangannya ke dalam poket. Sekali-sekala memandang kakinya. Dia kelihatan sedikit resah. “Segan kot. ehee.” fikir Ayyid.

“Emm saya  sebenarnya nak kena pergi ni. Nice to meet you Ayyid.”

Ayyid yang terlalu gembira berjumpa dengan Ibrahim gagal mengesan yang Ibrahim tidak segembira dia.

“Eh lajunya, bang Berahim! Lama tak jumpa. Jomla kita borak-borak dulu ke..”

Ibrahim tampak sedikit tak selesa dengan kata-kata Ayyid tu.

“Saya ada meeting ni petang ni. Tempat tu pulak jauh jugak dari sini. Lain kali la ye.”

“Kalau saya belanja abang makan tengah hari ke? Ala kejap je bang.”

Ibrahim mengalah. Dia tahu Ayyid tidak akan melepaskannya begitu saja.

“Ok camnilah. Saya sekarang tinggal kat Pandorra Heights. Exit before highway. Awak cari la kat situ. Saya kena pergi ni.”

“Oh.. okei bang. Nombor ru-”

Tiba-tiba kedengaran getaran telefon bimbit. Ibrahim mengeluarkan telefon iPhone 5s daripada kocek kemejanya dan segera menyambut panggilan itu.

“Hello. Yes Abraham speaking. A moment please.”

Ibrahim menoleh ke arah Ayyid dan berkata “Maaf ye. Saya kena pergi sekarang,” lalu kembali kepada panggilan tadi sambil bergegas keluar dari ruang solat lelaki.

“Bang Berahim, nombor rumah? Nombor telefon ke?”

Ibrahim meneruskan saja langkahnya. Tanpa memandang Ayyid, tangan kirinya sedikit diangkat dari belakang, isyarat baibai kepada Ayyid.

Ayyid sedikit hampa perjumpaan setelah empat tahun itu berlaku begitu saja. Tiada pertukaran kabar, tiada borak mesra, tiada apa! Tapi dia cuba mempositifkan dirinya. Aku akan jumpa kau lagi. Insyaallah.

Masuk kali ini, kali ketiga dia berkunjung ke rumah mewah Ibrahim di Pandorra Heights itu. Cuma kali ini, Ayyid membawa Dani bersama. Idham dan Amar masing-masing tidak dapat melepaskan diri dari tempat kerja mereka, cuma Dani sahaja yang berkelapangan. Kali pertama dia ke situ, Ibrahim menolak kedatangannya dengan alasan banyak kerja. Tidak menjemput dia masuk pon, padahal dia sudah pon tercegat di hadapan pagar. Seketika kemudian, Ayyid nampak susuk seorang lelaki memerhatikannya dari dalam rumah itu, di balik langsir jarang warna putih. Ayyid cuba memberi salam sekali dua, namun susuk itu diam sahaja memerhatikannya. Setelah hampir setengah jam begitu, Ayyid pon pulang.

Kali kedua juga begitu. Suara Ibrahim juga yang menyambutnya di interkom setelah dia menekan loceng. Kemudian, setelah dia memperkenalkan dirinya, sekali lagi suara itu memberi alasan sibuk dan tidak boleh berjumpa. Sekali lagi susuk itu memperhatikannya dari jauh. Sekali lagi Ayyid menunggu hampir setengah jam sambil memberi salam hingga tiga kali. Dan sekali lagi Ayyid pulang hampa.

Kali ini, Ayyid mahu pastikan. Benarkah bang Berahim sudah tidak mahu lagi berjumpa dengan mereka, atau adakah hanya dirinya. Benarkah bang Berahim sedang melarikan diri dari mereka, atau adakah itu mainan perasaannya sahaja. Adakah mereka sudah kehilangan insan yang mula-mula memperkenalkannya kepada tarbiyyah itu?

No 62, Lorong 14/B. Mudah saja Ayyid mencarinya kali ini. Kali pertama dahulu beberapa kali jugalah dia tersalah masuk lorong, walaupon pacik jaga di pondok pengawal itu telah memberikan arahan yang agak jelas juga tentang kedudukan rumah ‘Encik Ibrahim Abdul Rahman’. Sebuah corner lot beratap maroon. Dua tingkat setengah. Pagar automatik coklat gelap dengan celoreng emas. Di tembok pagar itu, terletak sebuah plat nama berwarna hitam, dengan huruf berwarna keemasan juga.

Teratak Firdausi

Ibrahim bin Abdul Rahman. No 62 Lorong 14/B.

Dengan halaman yang besar berumput karpet, dari jauh lagi kedua-dua mereka, Ayyid dan Dani dapat melihat sebuah wakaf kecil di tengah laman itu. Bunga-bunga dengan pelbagai warna terang berjuntaian dari pasu yang digantung dari atap wakaf itu. Pokok-pokok pinang memagari tepian kawasan rumput sebelum dilindungi pula dengan tembok simen dan konkrit. Dari celahan pagar itu kelihatan tiga buah kereta, kesemuanya berwarna hitam. Sebuah motosikal berkuasa tinggi warna merah terletak di tepi sekali deretan kereta itu.  Ayyid mendengar Dani membisikkan masya Allah beberapa kali sambil matanya memerhati rumah mewah bang Berahim.

Ayyid menghentikan keretanya di sebelah tepi rumah itu. Mengangguk kepada Dani dan kedua-duanya keluar kereta.

[Kredit]

Best kan kalau ada orang sayang kita selama-lamanya hanya kerana Allah? :3

*******

Skype signing in…

Signed in.

Idham membuat dokumen baru dalam akaun Google Drivenya, bersedia untuk mencatat isi-isi usrah mereka hari itu. Dani masih membaca al-Quran. Amar menguap kemudian kembali menulis di buku notanya. Seketika kemudian, Ayyid muncul sambil membawa al-Quran berzip warna hitam dan buku notanya.

“Pergi mana? Dah nak start dah ni. Selamat kau sampai awal. Kalau tak..”

Ayyid tersengih. “Budak Daud tu ha mintak tolong bawak pegi Glenorchy cari kebab. Aku pon..ehee. Ape lagi!”

Ayyid mengambil tempat sebelah Dani. Tak sampai setengah minit dia duduk, window Skype Idham bertukar biru gelap menandakan ada panggilan sedang masuk.

Umar Ahmad Shamsuri calling..

“Ingat. Jangan sesiapa sebut perkataan sabun atau parcel atau ape-ape yang boleh buat dia ingat, paham?” Amar berbisik sambil memandang muka mereka seorang-seorang.

“shh! dah angkat ca-”

“Assalamualaikum semua.”

“Waalaikum salammm. ”

Mereka berempat menjawab salam Umar dengan sedikit gemuruh. ‘Hadiah’nya yang sampai kelmarin masih lagi menimbulkan kecuakan dalam diri mereka.

“Entah apalaaahhh yang dia akan cakap harini.” fikir Ayyid sambil merenung monitor laptop Idham.

Umar mula bertanya tentang khabar mereka. Seorang demi seorang, mereka menceritakan kejadian-kejadian yang telah menimpa mereka sepanjang minggu. Sesekali mereka tertawa bila masing-masing menyampuk dan saling mengenakan. Assignmentlah, clinical roundlah, lecture straight lima jamlah, pegi joging jumpa street daie church lah, keluarga pegi melancong senyap-senyaplah, semua diceritakan. Kecuali perihal mereka mendapat parcel yang dihantarnya.

“Alhamdulillah. Dengarnya macam macam-macam je yang korang dah buat kan minggu ni. Moga setiap apa yang kita buat boleh dikira sebagai amal ibadah yang mendekatkan kita kepadaNya.”

Dani memandang Ayyid yang kekenyangan makan kebab dengan Daud.

“Aku niat ea nak menolong mukmin. Bukan makan sesaja.”

“Yelah kau.”

“Haa. Ayyid? Dani? Bisik apa tu?”

Ah sudahhh

“Korang tak nak cerita ke pasal parcel abang hantar? Mesti dah sampai an?”

Ayyid memandang Dani dengan pandangan yang bermaksud “Ini semua salah engko!” Dani membuat muka, kemudian menjawab soalan Umar.

“Oh..parcel ea? Emm..dah, dah sampai dah kelmarin.”

“Pastu?”

Mereka berempat berpandangan. Nak cakap apa ni? Masing-masing memberi isyarat muka. Itulah salah satu ‘kelebihan’ usrah online. Murabbi tidak dapat melihat ‘konspirasi’ anak-anak buahnya. Jika mereka mahu, boleh saja mereka mengikuti sesi itu sambil tengok movie atau berbaring dan makan popkon. Tapi mujur tarbiyyah mengajarkan mereka erti ihsan. Beribadah seolah-olah melihat Allah. Juga mengajarkan mereka adab. Dani menyiku Amar, menyuruhnya menjawab soalan murabbi mereka.

“Oh..pastu em..jazakallah khair bang sebab bagi parcel tu. ahah” jawab Amar, kurang pasti hendak menjawab apa.

“Haha..okei. Waiyyakum. Takpe, korang taknak cakap en pasal parcel tu. Takpelah. Faham je. Maksudnya sampailah tu mesej abang. hahaha”

Tiba-tiba, Idham membuka mulut, “Tapi haritu Dani tak fa-”

Dani cepat-cepat menumbuk bahu Idham. Mereka bertiga menahan tawa masing-masing melihat wajah cuak Dani.

“Apa? Siapa cakap apa tadi?”

“Takde ape bang. Teruskan,” kata Idham yang tersengih sambil menggosok-gosok bahu kirinya.

“Okei. Abang cuma nak request korang hadirkan hati dan dengar betul betul apa yang abang nak sampaikan hari ni. Boleh?”

Ayyid tersenyum kelat. Hadirkan hati. Untuk berada disitu hari itu pon dia sudah bermujahadah benor. Entah kenapa dia tak bersemangat untuk berusrah sejak Umar menjadi murabbinya. Ah, manakan sama sentuhannya! Face to face dengan online mana sama!

“Tapi sebelum tu, abang ada something nak share dengan korang. Abang da send kat emel masing-masing. Bukak sekarang, abang bagi masa 7 minit setengah untuk hadam.hehe”

Masing-masing mengeluarkan telefon pintar untuk membuka emel tersebut.

Satu, empat, lima, tiga. Ayyid memasukkan kod rahsia telefon S3 mininya, kemudian menyentuh ikon emel. Di atas sekali, ada emel dengan tulisan warna putih, menandakan emel baru yang belum dibaca.

Hati-hati dengan niatmu! sent by Umar Ahmad Shamsuri 30s ago.

Eleh. Niat. Basic kot. Ayyid menjuihkan sedikit mulutnya.

Mulanya, laju saja matanya merempuh huruf-huruf kandungan emel itu. Kemudian kelajuan itu semakin perlahan. Matanya semakin berat. Berair. Tak semena-mena, air matanya tumpah. Ayyid mengesat matanya dengan belakang tangan kirinya.

“3 minit lagiii..hadam elok-elok ya anak-anakk.” Umar bersuara.

Ayyid terasa seperti ditampar-tampar sahaja oleh emel yang dihantar Umar itu. Tepat mengenai lubuk hatinya. Seolah-olah Umar tahu sahaja apa konflik yang melanda dirinya ketika itu. Ayyid tidak dapat lagi menahan perasaannya lalu menutup mukanya dengan kedua-dua tangan dan menangis perlahan-lahan. Bahunya turun dan naik. Dia tak peduli jika Dani, Idham dan Amar melihatnya menangis. Dia tak peduli jika mereka akan mengejeknya. Dan entah, senyap pulak ruang tamu itu ketika itu. Barangkali Dani, Idham dan Amar juga sedang menangis.

 

Allahu, ampuni kesalahanku ya rabb. Tepat sekali tamparanMu. Tepat sekali..uhuk. Terima kasih Allah, untuk peringatan ini..

***bersambung***

Sambungannya^^:

Abadan abada III

Abadan abada

Bismillahirrahmanirrahim

Lama Ayyid duduk bertafakur sesudah solat asarnya. Jauh dia mengelamun. Esok ada usrah. Selalunya, hari yang ada usrah merupakan hari yang paling ditunggu-tunggunya. Duduk dengan adik beradik usrah, bertemu murabbi, oh! gembiranya. Walaupon setiap hari dia mendoakan mereka, walaupon sering saja dia menghantar mesej wasep kepada mereka, terutamanya murabbinya, dia akan ternanti-nanti setiap sesi usrah berikutnya.

Tapi itu dulu. Lebih tiga bulan dulu. Waktu itu murabbinya masih seronok. Masa awal-awal dulu, masa Ayyid, Amar, Dani dan Idham baru sampai di pulau hujung selatan tu,  dia selalu datang rumah mereka, tengah malam bukan penghalang. Bila mereka berlima serumah, murabbinya sering memasak untuk mereka, datang berborak di bilik, kadangkala sekadar menghadiahkan secawan bubble tea dari Momo selepas pulang berjoging pon ada. Waktu itu, usrah pon seronok. Basah hatinya setiap kali usrah. Dia terasa seperti singa. Bersemangat. Mahu menimba sebanyak ilmu yang mungkin. Mahu belajar agama sebanyak mungkin. Mahu baiki diri sebaik mungkin, setiap kali lepas usrah.

Kini murabbinya bertukar. Bukan lagi abang Ibrahim atau mesra dipanggil bang Berahim oleh mereka empat ‘beradik’: Ayyid, Amar, Dani dan Idham. Tapi abang Umar. Awal-awal dulu, murabbinya tinggal tak jauh dari rumah mereka.  Sepuluh minit berjalan kaki lenggang kangkung, atau paling malas pon lima minit menaiki kereta. Kemudian, mereka berempat berpindah. Serumah dengan bang Berahim. Nak bertemu hari-hari pon boleh; apatah lagi mereka belajar di universiti yang sama.

Bang Berahim lah yang hampir dua tahun bersabar mendidik mereka. Daripada kosong, tak tahu apa-apa, tak pernah peduli apa-apa, hinggalah mereka akhirnya melihat tarbiyyah itu sesuatu yang paaaling penting sekali dalam hidup mereka. Tapi itu dulu. Setelah bang Berahim pulang ke Malaysia sebaik berjaya menamatkan Degree of Mechanical Engineering nya dengan First Class Honours, abang Umar pula mengambil tempatnya.

Tapi Abang Umar tak sama. Abang Umar tinggal di seberang pulau sana, di tanah besar sana, paling cepat sejam lima belas minit naik kapal terbang. Abang Umar tak dapat lawat hari-hari, tak dapat belanja makan Nando’s, tak dapat pergi makan Momo sama-sama atau borak-borak masa joging malam-malam di unifield. Abang Umar tak tinggal di rumah Ayyid macam bang Berahim, abang Umar tak pernah sama-sama dengan Ayyid bangun tahajjud sama-sama hujung malam winter dan kemudian solat sebelah-sebelah dalam sleeping bag masing masing macam bang Berahim.

Usrah dengan abang Umar pulak, online saja. Kadangkala dengar suara je kalau tak buat video call. Putus-putus, call dropped, kadangkala tertangguh di saat akhir kerana tuntutan di tempat abang Umar lebih besar. Dahlah tu, usrah dengan abang Umar penat. Asyik kena bincang pasal orang ini orang itu. Dah disentuh tarbiyah ke belum orang ni? Apa  yang mereka dah buat minggu tu? Sejauh mana hafazan? Buku apa baca minggu ni? Tidak lagi hanya berbincang tentang mujahadah masing-masing di rumah, atau apa kata emak bila balik dan tiba-tiba setiap pagi solat subuh berjemaah di surau. Basah masih basah. Tapi penat.

Tidak ada lagi gurau-gurau atau inside joke yang hanya difahami antara mereka. Hanya mesej wasep dan emel yang panjang dan kadangkala tersalah ertikan. Yelah, wasep dan emel tu cuma medium menggunakan perkataan, dia pula menulis dengan intonasi percakapan yang manalah mungkin abang Umar dapat mendengarnya. Salah faham selalu saja ada.

Lagi satu. Tak seperti bang Berahim yang mengambil Degree of Mechanical Engineering, abang Umar sedang menyambung pelajaran dalam bidang psikologi. PhD. Ayyid dan adik-beradiknya seringkali terasa seperti murabbi mereka itu pandai saja membaca setiap maksud tersirat dalam intonasi dan nada percakapan mereka. Dan bila bertemu sebulan sekali, bila abang Umar datang melawat mereka, lagilah. Mereka terasa seperti setiap tingkah laku mereka dapat ditafsirkan oleh abang Umar.

“Psycho.” pernah sekali Dani berbisik. Dan Ayyid mengiyakan. Psycho. Dan scary.

“Woi Ayyid!” teriakan Amar mengejutkan Ayyid daripada lamunannya.

“Apanya? Kau ni, terkejot aku.” Ayyid memandang Amar dengan mata menyinga, dan kedua-dua mereka tahu Ayyid sedang mengajuk siapa. Mereka tertawa.

“Pandainya kau. Ni haa. Ada parcel dari dia. Baru dapat. Dia tulis bukak sama-sama depan semua. Aku dah panggil Dani dengan Idham dah.” kata Amar sambil berlalu ke dapur.

Ayyid segera bangun. Parcel? Menarik! Pernah sekali abang Umar mengepos empat kotak cokolat Aldi dari mainland sana. Rasanya sebijik Kinder Bueno. Tapi jauh lagi murah. Wahh besnya.

Di dapur, Idham dan Dani sudah pon duduk menunggu Amar dan Ayyid di meja makan.

“Pe lagi Dani, Idham? Bukak la wei” kata Ayyid sebaik ternampak mereka.

Dani segera mengoyak bungkusan itu. Masing masing tertanya-tanya apakah isi parcel yang kecil itu (dan masing-masing mengharapkan adalah hendaknya sebatang dua cokolat Aldi tu walaupon nampak macam tak mungkin).

“Haa? Apa yang dia bagi kita ni?’

Di dalam parcel yang dibungkus kemas itu, rupa-rupanya ialah sebungkus serbuk sabun mencuci pakaian.

Ayyid yang tiba-tiba faham maksud tersirat ‘hadiah’ itu menelan air liur.

Dia, Amar dan Idham berpandangan. Cuak terlihat jelas di riak wajah masing-masing.

“Aku tak fahamlahh. Apa sabun ni? Kenapa?” Dani memandang mereka bertiga, keliru.

“Maksudnya..Abang Umar, nak basuh kita lah wei!”

Bulat mata Dani mendengarnya.

“Habeslah kitaa..”

*** bersambung ***

umbrellas_to_heaven_by_systemabnormality-d519itj

[Kredit]

Abadan-abada: selama-lamanya 🙂

Sambungan-sambungannya^^:

Abadan abada II

Abadan abada III