Ramadhan: bulan daie bertapa?

Bismillahirrahmanirrahim.

Masa sememangnya tidak pernah menunggu sesiapa, dan tanpa sedar kita sudahpun makin dekat dengan pertengahan bulan Ramadhan yang mulia ini. Pastinya group chat masing-masing juga sudah penuh mesej-mesej peringatan dan tazkirah yang panjang sejak awal Ramadhan lagi. Yang membaca al-Quran satu juzuk sehari, pasti sudah hampir menghabiskan juz 15 bukan? Bagi yang gemar masjid-hopping, pasti sudah ada beberapa masjid yang anda lewati dan ada masjid kegemaran di hati. Yang menyimpan jurnal doa Ramadhan, log book tadabbur, dan sebagainya, mungkin sudah separuh buku anda tulis.

Dan tentu sekali, bagi kebanyakan daripada kita; tentu sudah setengah bulan tidak ada usrah kan?

Jika tidak ada jilsah ruhiyah, atau jika anda yang tidak hadir; dan anda tidak pula menziarahi mereka, pasti sudah setengah bulan anda tidak bertemu murabbi, adik beradik seusrah dan mutarabbi-mutarabbi anda bukan?

Bagi yang tinggal di luar negara atau yang tinggal dalam suasana asrama, liqa’ usrah mungkin tidak begitu terkesan dengan Ramadhan. Masih boleh bertemu murabbi dan usrahmates semasa iftar atau terawih di masjid atau musolla. Ada je yang boleh mengadakan liqa’, selepas subuh atau sebelum iftar misalnya; lebih-lebih lagi bagi yang mengikuti usrah secara online. Tapi selalunya, memang liqa’ usrah akan direhatkan sepanjang bulan Ramadhan untuk memberi tumpuan kepada ibadah di bulan Ramadhan.

Pernah suatu masa dahulu, saya tertanya-tanya: mengapa jika pada bulan ini, kesemua ibadah dilipatgandakan, tetapi usrah ditiadakan. Bukankah ada keperluan yang lebih banyak di bulan ini untuk saling memperingati, saling check mutabaah masing-masing supaya Ramadhan dapat dioptimakan sebaik mungkin? Bukankah pada usrah juga kita boleh mendapatkan bekalan ruhiyyah dan motivasi untuk taqarrub ilallah? Tetapi setiap kali Ramadhan tiba, begitulah. Pasti pada liqa’ terakhir sebelum Ramadhan, murabbi akan berkata sesuatu seperti :

“Ini liqa’ kita yang terakhir sebelum bulan Ramadhan. Most likely kita takde usrah bulan puasa nanti, untuk kita fokus kat ibadah. Maybe kita akan buat short session sekali dua just borak-borak, tilawah tadabbur ke (selalunya takde pon sebab kekangan masa dan urusan masing-masing). Keep in touch.” 

Lama-lama, saya belajar bahawa, bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling menuntut tarbiyyah zatiyyah seseorang. Pada bulan inilah kita diberi ruang untuk memantapkan tarbiyyah zatiyyah kita sebagai bekalan untuk 11 bulan yang akan datang. 11 bulan akan datang nanti, tarbiyyah zatiyyah masih perlu berjalan seperti biasa, kerana liqa’ usrah memang bukan tempat untuk mendapat segala-galanya. Di bawah manhaj tarbiyyah, jemaah memang cuba sedaya upaya untuk mentarbiyyah ahli-ahlinya melalui wasail yang ada.

Tetapi, realitinya, untuk menyampaikan kesemuanya hatta melalui ketujuh-tujuh wasail itupun adalah tidak mungkin, baik kerana keterbatasan waktu dan kesempatan mahupun kerana adanya tuntutan-tuntutan lain yang perlu dipenuhi para murabbi. Tarbiyyah zatiyyah-lah yang akan memenuhi keterbatasan-keterbatasan itu. Jadi, setiap ahli bertanggungjawab untuk melaksanakan tarbiyyah zatiyyah untuk memastikan dirinya terjaga, berkembang dan mampu menyumbang, bukan hanya menunggu suapan murabbi.

Maka, jika pada bulan yang kita diberi ruang untuk fokus terhadap tarbiyah zatiyyah kita pun, kita tak mampu untuk memberi komitmen terhadapnya, bagaimana nanti bila ruang untuk fokus itu sudah tiada apabila Ramadhan berakhir? Masa kita akan dipenuhi pula dengan program da’awi dan program tarbawi, liqa’ usrah sendiri dan liqa’ usrah mutarabbi, program umum, program untuk mustawa sendiri dan sebagainya. Tuntutan kerja dan keluarga pula sudah tentulah ada sepanjang tahun bukan? We are creatures of habit. Jika pada waktu lapang, kita tidak terbiasa untuk melakukan sesuatu amal, jangan haraplah kita akan mahu melakukannya apabila kita tidak punya banyak waktu.

Jadi, wahai duat, gunakanlah ruang yang diberikan pada bulan ini untuk memperbaiki hubunganmu dengan Allah, hubunganmu dengan al-Quran: baik tilawahnya, tadabburnya dan hafazannya. Mantapkan qiyamullailmu, kerana kekuatan seorang daie itu antaranya, datang dari ‘qiam dan siam’: bangun malam (untuk solat) dan puasa. Jika selama 11 bulan yang lalu anda merengek tidak punya cukup waktu untuk membaca bahan bacaan di luar bidang anda, Ramadhan inilah masanya untuk membaca buku-buku fikrah, fiqh dakwah, sirah, buku motivasi, buku peningkatan skills dan sebagainya. Janganlah hanya membaca blog-blog dan bahan bacaan ringan semata-mata; simpan itu semua untuk waktu-waktu anda sudah penat membaca bahan bacaan yang lebih berat.

 quran rose   [Kredit]

Saya setuju jika dikatakan fokus kepada ibadah di bulan Ramadhan ini. Akan tetapi, itu tidaklah bermakna pada bulan Ramadhan, seorang daie itu hanya duduk bertapa di rumah atau di masjid dan memencilkan dirinya daripada masyarakat. Baca al-Quran hingga 3 juzuk sehari, beriktikaf di masjid siang dan malam tetapi tidak sedikitpun menyantuni ibu sendiri yang masih belum bertudung, atau si abang yang terang-terangan merokok di waktu siang (contohhhh saje). Ini bertentangan dengan tarbiyyah yang diajarkan oleh Rasulullah saw yang bersifat harakiyyah. Kita tidak akan duduk diam-diam dan beribadah sendiri-sendiri sementara kemungkaran berlaku terang-terangan depan mata kita.

Maka, bagi saya, bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan untuk mendidik dakwah zatiyyah kita. Dakwah zatiyyah bukanlah dakwah fardiyyah yang bermaksud dakwah kepada individu. Tetapi dakwah zatiyyah ialah sebuah perasaan (yang membuahkan kepada amal) untuk membuat dakwah, walaupun ketika berseorangan. Contohnya, jika ia ke masjid di bulan Ramadhan dan melihat sebuah peluang untuk mengadakan sesi tazkirah sementara menunggu waktu Isyak, ia tak perlu menunggu arahan naqibah untuk melaksanakannya.  Semestinya ia perlu berbincang dan meminta izin naqibahnya. Pointnya di sini, ia mencari inisiatif sendiri untuk melakukan dakwah, bukan hanya menunggu arahan semata-mata.

Apabila peluang dakwah sudah terbuka depan mata dan hanya ada waktu yang sangat sekejap (tak sempat hatta untuk wasep naqiboh sekalipon!) untuk mengambil keputusan samada mahu atau tidak mengambil peluang itu, kefahaman yang terbina hasil usaha tarbiyyah zatiyyah mampu untuk membantu kita dalam membuat keputusan yang matang dan bernas. Membantu kita untuk berfikir di luar skop perbincangan liqa’ usrah.

Namun itu tidaklah bermakna seorang daie itu bebas untuk melanggar adab-adab amal jamaie seperti isti’zan dan syura atas nama dakwah zatiyyah. Tidaklah bermakna ia boleh bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan arahan qiyadah. Seorang daie itu perlu bijak menyeimbangkan antara meningkatkan kapasiti tarbiyyah dan dakwahnya dengan mematuhi prinsip-prinsip dan adab-adab amal jamaie. Dan keseimbangan itu tidak akan datang melainkan dengan pemerhatian ke atas orang-orang yang lebih lama dan melalui pengalaman. Maka wahai duat, beramallah, jangan hanya merancang. Jangan takut untuk membuat kesilapan kerana daripada kesilapan itu kita akan belajar.

Jika Nabi Yusuf semasa dipenjarakan mampu berdakwah kepada teman sepenjaranya, jika Jaafar bin Abi Talib semasa di Habsyah boleh berhujah kepada Raja Najasyi walaupun berada jauh dari Rasulullah saw, jika Mus’ab bin Umair boleh menyampaikan islam ke Madinah tanpa adanya Rasulullah saw di sisinya; maka seharusnya dakwah seorang daie di bulan Ramadhan juga tidak patut pudar.

Bulan ini adalah bulan di mana semua orang berlumba-lumba untuk kebaikan dan berlumba-lumba untuk menjadi baik. Jika anda selama ini mahu terapkan solat berjemaah di rumah anda tetapi tidak berani, inilah masanya! Jika anda selama ini teringin mengajak rakan sekerja anda mengikuti usrah tetapi segan, inilah masanya! Jika selama ini anda mahu memberi taujihat di sekolah atau kolej lama anda, inilah masanya! Jika anda selama ini mahu menyantuni kejiranan anda tetapi tidak ada kesempatan, inilah masanya!

Inilah masanya, wahai duat;  untuk menggandakan kapasiti tarbiyyah dan dakwahmu. Rebutlah peluang yang berbaki 15 hari ini!